SEJENAK BERSAMA YB KETUA DEWAN ULAMAK

Pada hari Sabtu yang lepas sejurus selepas solat tarawih saya berkesempatan untuk bersama-sama Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat yang juga anggota EXCO Kerajaan Negeri Trengganu yang baru iaitu YB Ustaz Harun Taib atas undangan Ketua Dewan Ulamak PAS Selangor. Ustaz Harun diiringi oleh YB Ustaz Ismail Mamat ADUN PAS Teluk Pasu dan mereka baru saja selesai menghadiri satu perjumpaan bersama para pelajar di UKM. Kami bertemu di R&R Awan Besar di KESAS Highway sambil menjamu satey kajang disana (Ustaz Ismail belanja - terima kasih). Dari situ kami terus ke tempat penginapan Ustaz Harun iaitu disalah sebuah hotel di Subang Jaya.

Disana Ustaz Harun memaklumkan kepada kami darihal keadaan di Trengganu kini. Dan kami pun mengambil kesempatan mengemukakan berbagai soalan. Alhamdulillah menurut Ustaz Harun segalanya terkawal dan para pegawai kanan kerajaan negeri yang sungguhpun ramai diketahui condong kepada UMNO satu ketika dahulu kini berkhidmat dengan baik dan penuh taat setia dibawah kerajaan pimpinan YAB Tuan Guru Hj. Abd. Hadi Awang. Mereka dinasihatkan bahwa mereka bertugas sebagai pelaksana dasar dan rancangan kerajaan negeri, dulu kerajaan UMNO, kini PAS namun tugas dan tanggungjawab mereka adalah sama dan mereka semua akur.

Ustaz Harun yakin kiranya mereka ini memberikan tumpuan pada tugas mereka satu hari nanti mereka akan dapat menyaksikan sendiri keadilan Islam itu dan tidak mustahil akan bersama-sama kita pula.

Memang ada beberapa tindakan kerajaan UMNO yang dahulu disemak semula oleh kerajaan PAS yang baru. Antaranya adalah berhubung imam-imam yang dipecat semata-mata kerana menjadi ahli PAS. Menurut Ustaz Harun pegawai yang bertanggungjawab dipanggil dan diminta mengambil semula semua imam-imam ini sekiranya tujuan mereka dipecat bukan kerana salah-laku atau jenayah tetapi semata-mata kerana menjadi aktivis PAS. Begitu juga dengan guru-guru agama negeri yang dipecat atas arahan tokoh UMNO tertentu umpamanya Yusof Nor, oleh kerana pemecatan mereka semata-mata kerana tindakan politik tokoh berkenaan maka guru-gururtadi diarahkan diambil semula.

Alhamdulillah kezaliman UMNO dahulu telah dapat diatasi dengan keadilan Islam yang cuba dibawa oleh PAS. Malah sehingga kini belum ada mana-mana aktivis UMNO yang memegang jawatan dalam kerajaan negeri samada sebagai pegawai kanan, pegawai biasa, kakitangan biasa, guru ataupun imam-imam yang telah dipecat atau diambil tindakan oleh kerajaan PAS atas sentimen politik. Kes SUK bukannya dipecat tapi meletakkan jawatan!

Ustaz Harun menegaskan bahwa beliau sendiri selaku EXCO Pendidikan, Dakwah dan Perlaksanaan Syariah amat berhati-hati dalam melaksanakan kerjanya terutama sekali dalam mengelakkan amalan kronisma dan nepotisma sebagaimana yang diamalkan oleh UMNO dahulu. Sebarang sokongan atau bantuan yang dikeluar atau disalurkan akan dipastikan berdasarkan merit seseorang dan tidak kerana pilih kasih. Nyatalah tugas yang didepannya dan begitu juga barisan EXCO yang lain begitu berat dan mencabar.

Kami berpuas hati dengan penerangan yang diberikan oleh Ustaz Harun yang berlarutan sehingga jam 1.30 pagi itu. Sebelum balik kami sempat bertanya kenapa Ustaz Harun dan Ustaz Ismail tinggal sebilik dan tidak berasingan, jawab Ustaz Harun, tak boleh kena berhati-hati, kami semua tersenyum faham (peristiwa fitnah yang tekena pada YB Mat Sabu satu ketika dulu perlu menjadi iktibar kepada pimpinan PAS) Sesungguhnya puak-puak musuh bersengkang mata untuk mencari peluang mengaib dan menjatuhkan PAS yang telah menampar kuat mereka pada pilihanraya lalu.

Selamat berjaya Kerajaan Trengganu yang baru!

[Roslan_s@yahoo.com]