Tipu lagi - Ahli UMNO bukan 2.7 juta

Fathi Aris Omar

sumber http://www.malaysiakini.com/ 11am, JUM: Penganalisis politik dan aktivis Parti Keadilan Nasional, Raja Petra Kamaruddin, mendakwa ahli Umno di seluruh negara tidak sampai 2.7 juta orang seperti sering dipaparkan di akhbar-akhbar.

Ahli Umno hanyalah sekitar sejuta orang, selebihnya ditambah untuk menunjukkan kehebatan parti itu sahaja, dakwanya lagi dalam satu tulisan yang terbaru sebagai mengulas jumlah undi yang diperolehi oleh Barisan Nasional dalam pilihanraya ke-10 lalu seperti disiarkan dalam laman webnya.

"Sebenarnya Umno tidak mempunyai seramai 2.7 juta ahli," dakwa Raja Petra dalam tulisannya, "Umno's ghost members" (ahli-ahli hantu Umno). "Keahlian sebenar Umno hanyalah sekitar sejuta orang. Seramai 1.7 juta orang ditambah bagi menunjukkan kehebatan part itu."

Beliau yang pernah menulis untuk akhbar The Star selama lebih enam tahun turut mendakwa 13 parti komponen Barisan Nasional tidak mempunyai 1.3 juta ahli.

"MCA, MIC dan banyak lagi parti komponen BN membuat dakwaan yang sama [dengan Umno]," jelasnya lagi. "Anggaran sebenar keahlian BN tidak melebihi jumlah dua juta orang. Inilah jawaban mengapa BN hanya memperolehi tiga juta undi."

Kempen keahlian Umno berjalan rancak selepas parti itu diharamkan pada 1988. Parti utama dalam BN itu selepas didaftarkan semula dengan nama Umno (baru) terpaksa mencari semula kira-kira 70 peratus keahliannya bagi membolehkannya mengambil alih harta-harta yang dibekukan. Dalam pendaftaran semula ahli, tulis Raja Petra, Umno memasukkan nama-nama individu yang tidak jelas termasuklah nama orang yang sudah mati.

Menurutnya lagi, tidak sedikit cawangan dan bahagian Umno (baru) gagal mengadakan mesyuarat agung tahunan kerana tidak cukup korum.

"Mereka tidak mampu mendapat 'ahli' yang secukupnya walaupun untuk mengadakan mesyuarat agung tahunan kerana ahli-ahli ini tidak wujud atau nama mereka terdapat di atas kertas sahaja," tulis Raja Petra yang pernah terlibat dengan Umno dan PAS.

"Banyak bahagian [Umno] mengalami nasib ini dan mesyuarat agung hanya boleh diadakan bagi panggilan kali kedua selepas penangguhan. Inilah masalah yang sentiasa wujud dalam Umno, khususnya selepa ditubuhkan Umno (baru)."

PAS mendakwa beberapa ratus ribu bekas ahli Umno menyertai parti itu selepas peristiwa pemecatan Anwar Ibrahim dan kini keahlian parti Islam itu melebihi setengah juta orang. Dalam pilihanraya umum lalu, PAS mendapat 45 peratus daripada 2.7 juta undi yang diberikan kepada Barisan Alternatif.

Bagaimanapun, ahli-ahli Umno yang meninggalkan parti itu tidak memaklumkan bahawa mereka berhenti daripada parti. "Oleh itu, dalam senarai keahlian Umno, nama mereka masih ada," jelasnya lagi.