UMNO OH UMNO

Oleh: Cicit Dato' Maharajalela

BARANGKALI, memang begitulah budaya Umno. Menjadikan orang lain sebagai kambing hitam dalam setiap permasalahan yang dihadapinya. Apabila ahli-ahli dan para penyokong PAS memperkenalkan kempen pemasangan bendera- hingga menyakitkan leher mereka akibat kononnya sering mendongak- Petronas disalahkan. Maka berhujahlah mereka melalui para wakilnya yang 'ampusini ampusana' dan disokong pula kepimpinan wanitanya yang 'dengan tegas tidak akan tunduk kepada 'penyelewengan ini untuk bertindak menukar logo Petronas kepada yang lebih relevan'. Akhirnya, penyokong dan pendukung PAS kekal dengan iltizam mereka, sementara negeri sumber asli dan punca minyak Petronas jatuh kepada PAS.

Apabila negara dilanda krisis ekonomi dan merosotnya keyakinan pelabur, George Soros disalahkan. Berhujahlah mereka bahawa spekulator mata wang perlu dibendung bagi mengelakkan sistem ekonomi yang dibina runtuh. Banyaklah ulasan yang timbul kemudiannya, sehingga kerajaan memperkenalkan kawalan mata wang yang menyekat ringgit daripada diniagakan di luar negara. Anehnya, 'Soros' yang ada di negara sendiri tidak pula dipersalahkan. Bukankah merekalah yang terlebih dahulu membina asas keruntuhan sistem ekonomi itu sendiri dengan cara menggunakan dana negara untuk kepentingan peribadi dan kaum kerabat mereka.

Tidak sedikit pun rasa bersalah timbul semasa mereka menggunakan duit rakyat untuk membina 'Monumen Menara Berkembar', Litar Sepang yang sekadar inginkan pujian - bahawa ia merupakan litar F1 tercanggih di dunia, pembinaan mahligai termoden dan terbesar, termasuk juga tiang bendera tertinggi, jalur gemilang terbesar hingga menutupi sebuah bangunan Angkasapuri dan sebagainya.

Kini mereka menyalahkan PAS atas kegagalan mereka menawan hati rakyat dalam pilihan raya yang lalu, meskipun setelah begitu banyak janji pembangunan dan sekian macam kempen kotor dijalankan. Alasan yang diberikan - bahawa PAS menabur fitnah, bahawa Harakah tidak melaporkan dengan tepat dan 'sumber fitnah', para pelayar internet mudah terpedaya dengan tulisan di laman web yang anti kerajaan, kakitangan kerajaan tidak berterima kasih kepada kerajaan dan sebagainya. Paling akhir barulah dinyatakan kelemahan dalam parti (itu pun sekadar ulasan di pinggiran).

Melihat perubahan minda masyarakat Melayu, yang pasti tidak pernah dijangkakan oleh para pemimpin Umno khasnya dan Barisan Nasional amnya, pasti kita dapat menyelami sesuatu yang ingin dizahirkan melalui corak pengundian dalam pilihan raya lalu.

Selama ini, masyarakat Melayu digambarkan memiliki pemikiran tertutup dan tidak mengambil peduli dalam tempoh yang panjang terhadap sesuatu isu. Para pemimpin Umno menganggap bahawa mereka akan melupakan segala-galanya selepas sedikit masa dan kembali bertaut menyokong Umno.

Tidak sedikit pun mereka berasa bersalah apabila mereka sendiri menyemai budaya fitnah dalam mencapai matlamat mengejar keuntungan politik. Saban tahun, semasa persidangan tahunan mereka berlangsung, fitnah demi fitnah mereka lemparkan terhadap parti pembangkang khasnya dan lawan politik mereka amnya. Kempen-kempen pemilihan jawatan, sama ada di peringkat cawangan, bahagian atau pusat, sentiasa diisi dengan cakap-cakap tentang keburukan peribadi musuh politik mereka. Selain politik wang, surat-surat layang disebarkan hinggakan pada satu peringkat, surat-surat tersebut dibukukan menjadi 'dalil' yang disebarkan kepada para perwakilan.

Ulama turut menjadi mangsa kononnya hanya pandai memanipulasi ayat-ayat al-Quran dan hadis, menjual air jampi, mengkafirkan ahli-ahli Umno dan pelbagai tuduhan lagi. Keadaan ini mengingatkan penulis kepada satu cerita seorang wakil rakyat Umno di Melaka yang dicalonkan untuk penggal kedua dalam pilihan raya yang lalu. Beliau menuduh kononnya seorang pesara kerajaan (asalnya berjawatan tinggi di sebuah pusat pengajian tinggi) yang menyertai PAS bersama-sama isterinya apabila pencen, bukanlah ikhlas menyertai perjuangan Islam. Sebaliknya, penyertaan pesara tersebut dalam PAS, menurutnya adalah kerana 'fahaman orang PAS bahawa sesiapa yang menyertai PAS akan dijamin masuk syurga'. Ucapan tersebut terbit dari mulutnya lantaran kekhuatiran beliau melihat sambutan yang diberikan oleh orang ramai terhadap PAS di kawasan beliau.

Hakikat yang harus diterima oleh para pemimpin dan penyokong Umno adalah, budaya dalam Umno mesti dimasukkan roh Islam dengan mengambil pendekatan anjuran al-Quran dan sunnah. Tidak logik kalau mengatakan bahawa parti-parti pembangkang menjadi punca kepada kekalahan calon-calon mereka. Tuduhan bahawa Harakah menjadi media penyebar fitnah juga tidak dapat diterima kerana PAS hanya mempunyai satu media untuk berkempen sedangkan mereka menguasai semua media cetak dan elektronik di negara ini. Lihatlah sendiri terhadap segala isu yang cuba diketengahkan melalui sebaran media mereka yang akhirnya memakan diri sendiri.

Kita juga berasa amat pelik dengan sikap mereka menyalahkan pengguna internet yang dituduh menyebarkan berita-berita palsu. PAS khasnya, dan pembangkang amnya, pernah dituduh oleh seorang bekas senator yang ditolak oleh rakyat dalam pilihan raya lalu, menyediakan dana dan sumber yang besar bagi menaja laman-laman anti kerajaan.

Nampaknya, ulasan yang hampir selari ini (dengan menyalahkan penerbit laman anti kerajaan) diberikan oleh Majlis Tertinggi Umno. Sedangkan pada kenyataannya, penerbitan laman-laman anti kerajaan tidak langsung dibiayai oleh PAS dan Barisan Alternatif, sebaliknya, atas kesedaran ilmuwan siber untuk memberi maklumat kepada pelayar internet.

Tidak dapat dinafikan bahawa kadangkala, terdapat golongan yang tidak bertanggungjawab (seperti yang berlaku semasa semaraknya demontrasi reformasi yang lalu) yang 'menjual maruah berita,' kononnya sebagai pendokong reformasi, dengan menerbitkan berita yang dicurigai lalu memasukkannya dalam laman berkenaan.

Walau bagaimanpun, Umno harus bertanya kepada ahli-ahlinya - berapa keratkah di kalangan mereka yang secara sukarela bersedia mengorbankan masa menguruskan laman-laman web bagi menjawab tuduhan 'laman anti kerajaan' tersebut. Ketika pemimpin atasan mereka sibuk mempromosi teknologi komputer dan alam siber, berapa keratkah pula di kalangan mereka yang benar-benar celik Teknologi Maklumat dan dunia komputer?

Semasa pilhan raya lalu, pondok panas PAS misalnya menyediakan kemudahan semakan daftar pemilih untuk para pengundi yang hadir melalui komputer berbanding kertas dan pembaris oleh Barisan Nasional. Penulis sendiri pernah bersua dengan seorang Setiausaha Pemuda Bahagian yang terpaksa mengupah seorang pekerja di syarikat jualan komputer untuk menaip surat-surat untuk satu aktiviti anjuran Umno Bahagian berkenaan.

Sesuatu yang harus disedari oleh Umno bahawa mereka bukan lagi menjadi satu-satunya wadah untuk masyarakat Melayu. Masyarakat Melayu di Malaysia sedar bahawa Islamlah sebaik-baik pelindung dan payung yang menjamin nasib bangsa dan agama mereka.

Mereka mesti belajar menerima hakikat bahawa semakin canggih kehidupan, maka manusia mesti semakin dekat dengan pencipta-Nya. Golongan pengundi semakin matang menilai sesuatu isu, memerhati dengan penuh minat perkembangan semasa dan mengambil iktibar terhadap nasib agama dan bangsa mereka.

Mereka tidak lagi dapat menerima bahawa orang yang diamanahkan untuk mewakili mereka mengambil kesempatan di atas kedudukan tersebut untuk memperkaya diri dan keluarga. Telah pun menjadi rahsia umum tentang sikap wakil-wakil rakyat Umno/Barisan Nasional, yang walau hanya satu penggal menjadi Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri akan menjadi jutawan segera. Segala-galanya berubah apabila bergelar wakil rakyat - daripada rumah kediaman, kenderaan, tanah, saham, perniagaan dan sebagainya.

Mereka mesti sedar bahawa hanya Islam yang mampu menyelamatkan bangsa dan negara. Mereka tidak lagi boleh menjadikan orang lain sebagai mangsa untuk dikambinghitamkan. Orang akan ketawa apabila mendengar alasan bahawa kejatuhan Umno di Terengganu adalah disebabkan oleh sepuluh ahlinya yang belot.

Dipetik Daripada HARAKAH