Oleh
Anak Besut
SEBAGAI warganegara yang dilahirkan dalam tradisi keluarga yang hanya mengundi "Kapal Layar" dan "Dacing", saya turut meneruskan tradisi mereka dengan memangkah "Dacing" sebaik sahaja saya layak mengundi, walaupun keluarga saya tidak pernah menjadi ahli mana-mana parti gabungan BN.
Saya mula kenal politik kepartian ketika berumur 10 tahun dan belajar di darjah empat di sebuah sekolah di sebuah kampung di Daerah Besut (kini Setiu, setelah persempadanan semula Daerah Besut dan Kuala Terengganu pada tahun 1985) di Terengganu pada tahun 1974.
Saya masih ingat guru kelas saya menghentikan mata pelajaran yang sepatutnya pada hari itu (iaitu beberapa hari sebelum hari mengundi pada 24/8/74), semata-mata menerangkan proses demokrasi berparlimen di negara ini. Saya amat tertarik dengan penjelasan guru tersebut, lebih menarik lagi, di baju guru saya tersemat lencana "Dacing".
Sejak itu, "Dacing" begitu sinonim dalam hidup saya. Apa lagi calon "Dacing" di kawasan saya, iaitu YM Tengku Mahmud Mansor (kini YM Dato' Dr Hj) amat segak dan berkarisma sekali pada mata seorang budak mentah seperti saya waktu itu, berbanding calon "Kepala Lembu" yang menjadi lawannya.
Saya hanya memangkah ruangan "Dacing" di kertas undi sejak layak mengundi pada tahun 1986 di Setiu ketika berusia 22 tahun. Waktu itu saya masih seorang penuntut di universiti. Pada usia begitu dan sebagai penuntut, saya mungkin dianggap "radikal" dan tidak mungkin memangkah "Dacing". Keadaan ini berterusan apabila saya terus mengundi "Dacing" di Ampang Selangor pada pilihan raya 1990 dan 1995 di Kampung Raja Besut Terengganu.
Walaupun wujud masalah politik Melayu dengan kewujudan Parti Melayu Semangat 46, di antara pilihan raya 1990/1995, hati saya tidak pernah terpaut pada yang lain selain daripada "Dacing". Malah saya pernah menitis air mata kesedihan ketika Umno diharamkan pada tahun 1988.
Pada pilihan raya yang lalu, segala-galanya telah berubah, saya tidak lagi memangkah "Dacing" untuk Dato' Dr Yusof Nor dan Dato' Idris Jusuh, seperti yang saya lakukan untuk mereka pada pilihan raya 1995 yang lalu. Sekalipun undi itu adalah sulit, saya dengan perasaan bangga mempamerkan kertas undi berpangkah "Bulan" kepada petugas pilihan raya dan hanya melipat kertas undi di hadapan pegawai yang menjaga peti undi.
Mengapa keadaan ini berlaku? Terus terang, saya katakan keadaan ini berlaku sebaik sahaja pemecatan Dato' Seri Anwar Ibrahim. Sebagai non-partisan, saya tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan Anwar. Saya mengenalinya hanya sebagai pemimpin dan beliau pasti tidak pernah mengenali saya. Saya juga tidak pernah menghadiri mana-mana perhimpunan Reformasi di sekitar ibu negara. Pemecatan Anwar adalah satu kesilapan yang amat besar pernah dilakukan oleh Umno.
Perlakuan dan tindakan pemerintah terhadap Anwar pada pandangan saya dan manusia yang waras ternyata melampaui batas kemanusiaan. Saya tidak pernah menganggap Anwar sebagai dewa yang suci atau seorang yang bersifat maksum yang bebas daripada melakukan kesilapan. Anwar adalah manusia biasa seperti orang lain juga. Jika beliau bersalah, buktikan kesalahannya menerusi undang-undang yang adil. Usahlah mendahului undang-undang.
Pendedahan-pendedahan yang dibuat oleh Anwar berhubung kelemahan kerajaan yang pernah dianggotainya gagal ditangkis oleh pihak pemerintah dengan berkesan, malah adakalanya (pendedahan-pendedahan tersebut) tidak dihirau langsung oleh akhbar-akhbar utama, yang menyebabkan orang ramai/pembaca menganggapnya sebagai benar.
Dalam pada itu, saya amat tertarik terhadap cara Umno mengendalikan kes Tan Sri Rahim Thamby Chik dan Tan Sri Muhammad Muhd Taib. "Seseorang itu, tidak akan dianggap bersalah selagi beliau tidak dibuktikan kesalahannya". Begitulah ketegasan pemimpin tertinggi Umno suatu ketika dahulu. Sayangnya, kenyataan itu hanya untuk orang-orang tertentu sahaja. Anwar terkecuali.
Di samping kes Anwar, saya mula melihat PAS sebagai parti yang boleh menjadi wadah untuk orang Melayu. Kesederhanaan Nik Aziz adalah contoh terbaik dan sukar ditandingi oleh tokoh-tokoh politik yang lain. Walaupun, saya sedar keadaan ini selepas PAS memerintah Kelantan pada tahun 1990, namun demi "Dacing" saya sanggup "butakan mata" dan "pekakkan telinga".
PAS pada pandangan saya tidak lagi memainkan isu kafir-mengkafir, sebaliknya ia cuba dihidupkan kembali oleh Umno sebelum dan semasa kempen pilihan raya yang lalu. Di samping itu, PAS turut disertai oleh golongan profesional dan tidak lagi dianggap 'parti orang kampung'. Ini secara tidak langsung memberi gambaran kepada saya PAS telah mula bersikap liberal.
Saya percaya, ramai di kalangan pengundi bersikap seperti saya. Ini menyebabkan undi yang diraih oleh pembangkang begitu tinggi dan majoriti BN jatuh mendadak. Ketika pulang untuk mengundi, sepanjang perjalanan melalui Gua Musang, saya dapati orang ramai yang pulang bagaikan pulang untuk berhari raya. Waktu itu, saya tidak terkejut jika PAS akan terus memerintah Kelantan pada 30/11/99.
Saya juga melihat keputusan pilihan raya 1995 dan saya beranggapan Terengganu juga boleh jatuh ke tangan PAS dengan adanya pengundi seperti saya dan peratusan keluar mengundi meningkat. Telahan saya ternayata benar, tetapi apa yang mengejutkan saya adalah keyakinan begitu tinggi BN akan menawan Kelantan seperti disiarkan oleh akhbar-akhbar utama.
Dalam keluarga saya, terdapat seramai 15 orang layak mengundi, dan saya sekali lagi terkejut bila 11 daripada ahli keluarga saya memilih "Bulan" secara total.Berdasarkan pengalaman saya ini, saya berharap pemimpin-pemimpin BN usahlah mencari kesalahan yang lain yang menyebabkan kemerosotan undi BN, percayalah bahawa faktor Anwar adalah segala-galanya.
Aneh, tapi itulah hakikatnya apabila pemimpin-pemimpin BN tetap menunding jari kepada pembangkang sebagai pemfitnah dan menyalahkan rakyat terutamanya orang Melayu yang kononnya tidak tahu berterima kasih kepada kerajaan apabila mereka menolak BN dalam pilihan raya yang lalu. Pemimpin-pemimpin Umno juga lantang mengkritik ahli-ahli masyarakat yang agak arif dalam bidang keagamaan sebagai penjual air jampi dan sebagainya. Ini secara tidak langsung menambah simpati rakyat kepada PAS.
Adakah satu kesalahan dan fitnah bila PAS menggunakan isu air jampi dan penghinaan terhadap Nabi sebagai modal politiknya sedangkan hampir seluruh masyarakat Islam di negara ini mengetahui bahawa kenyataan itu benar-benar diucapkan oleh pemimpin tertinggi UMNO?. Bagaimana pula dengan tindakan UMNO mencetak dan mengedarkan gambar-gambar Lim Kit Siang yang berserban? Bukankah ini juga satu fitnah yang nyata sedangkan seluruh penduduk di negara ini tidak pernah melihat Kit Siang berpakaian sedemikian?
Benar, semua orang mengetahui bahawa BN begitu berjasa kepada rakyat dalam usaha membangunkan negara ini, tetapi kita tidak seharusnya lupa bahawa itu adalah tanggungjawab setiap kerajaan untuk memberi keselesaan hidup kepada rakyatnya. Usahlah menakutkan rakyat.
Pilihan raya adalah proses memilih kerajaan dan bukan tindakan melawan kerajaan. Ingatlah kita sekarang akan memasuki alaf baru, pemikiran rakyat sudah jauh kehadapan, rakyat bukan lagi berada pada era 40-an, 50-an atau 60-an.
Memburuk-burukkan keperibadian Nik Aziz tidak akan memberi keuntungan politik kepada BN kerana hanya orang pekak dan buta sahaja yang akan mempercayainya. Memburuk-burukkan Anwar juga tidak akan menyebabkan rakyat berpihak kepada BN setelah rakyat melihat bagaimana sukarnya pendakwa menyiapkan dakwaan terhadapnya. Memburuk-burukkan kedua-dua pemimpin ini juga menyebabkan rakyat mula mencari keburukan pemimpin-pemimpin Umno dan BN yang lain.
Kepada pemimpin-pemimpin Umno dengarlah keluhan dan pendapat orang lain. Pandanglah, lihatlah dan fikirkanlah untuk memahami apa yang berlaku di sekeliling. Usahlah berbangga dengan angka 2.7 juta ahli Umno, kerana itu hanyalah di atas kertas. Lihatlah ke mana mereka pada pilihan raya yang lalu? Kalau benar mereka belot, kita harus bertanya dan mencari punca mereka belot?
Sementara itu para pemimpin PAS Terengganu tidak seharusnya leka dan terlena dengan kejayaan pilihan raya kali ini. Janalah kerajaan dan rakyat ke mercu kejayaan. Buktikan kepada semua segala keupayaan yang ada sebagaimana PAS meyakinkan rakyat ketika memohon untuk mendapatkan kuasa.
Apakah saya terlalu mengikut perasaan bila meninggalkan "Dacing" yang saya anggap begitun sinonim dengan kehidupan saya selama ini? Jawapan adalah tidak, sebaliknya saya amat malu kerana sengaja membodohkan diri sendiri sebelum ini.
Adakah saya kecewa kerana pembangkang gagal memerintah negara ini? Jawapannya juga tidak, namun saya berbangga, sekurang-kurangnya pemimpin-pemimpin Umno dan BN dapat belajar tentang realiti sebenar pandangan rakyat terhadap mereka.
Kepada kedua-dua bekas wakil rakyat saya, saya memohon maaf kerana tidak memberi undi kepada mereka kali ini. Saya tahu bahawa mereka berdua sememangnya orang yang baik, tetapi kebaikan yang mereka miliki ternyata tidak berupaya mengubah kerosakan yang berlaku dalam Umno.
Saya juga tidak akan menitiskan air mata lagi untuk Umno sebagaimana air mata saya tertumpah ketika Umno diharamkan dahulu. Akhir sekali saya ingin mengucapkan 'selamat tinggal' kepada Umno. Mungkin 'Selamat Tinggal' untuk selama-lamanya.
Dipetik daripada HARAKAH