Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

Akhbar dan TV3 akan dipulau Februari ini

KUALA TERENGGANU, - Kerajaan Pas Terengganu telah siap merangka dasar dan konsep kegiatan Unit Pembangunan Insan (UPI) yang ditubuhkan bagi menggantikan Unit Perpaduan Ummah di negeri itu.

Menteri Besar, Haji Abdul Hadi Awang berkata, penubuhan UPI bagi menggantikan UPU bukanlah bersifat politik atau untuk menjalankan tugas-tugas menyebarkan propaganda politik Pas di Terengganu.

"Ia (fungsi UPI) termasuklah untuk memulihkan para penagih dadah ... saya tak tahulah kalau itu pun dikatakan politik juga.

"Unit itu akan melaksanakan pendekatan sendiri dalam membentuk keperibadian manusia di semua peringkat di negeri ini," katanya pada persidangan berita di pejabatnya di sini, hari ini.

Beliau berkata kerajaan negeri kini dalam proses pengambilan kakitangan untuk unit itu yang dijangka diselesaikan akhir bulan depan dan jumlah yang akan diambil akan bergantung kepada keperluan unit itu.

Kerajaan Pas Terengganu sebelum ini membubarkan Unit Perpaduan Ummah yang ditubuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) sejak tahun 1989 kerana penubuhan Unit Perpaduan Ummah lebih kepada kepentingan politik UMNO dan banyak membawa kepada perpecahan.

Pihak UMNO yang tersempit telah menjadikan perkara ini sebagai isu poltik dan memutar belitkan mengenai kontrak 420 pegawai dan kakitangan unit itu yang tamat mulai akhir Disember lepas yang dikatakan dipecat.

Ketika ditanya oleh pihak akhbar adakah kerajaan Pas Terengganu akan memulaukan akhbar New Straits Times dan Utusan Malaysia serta TV3, Abdul Hadi berkata, "Saya tak baca lagi berita itu, saya berhajat bertanya kepada (Datuk) Fadzil Noor dulu sejauh mana berita itu," katanya.

Akhbar telah melaporkan kenyataan Presiden Pas Datuk Fadzil Noor bahawa Pas akan memulaukan Utusan Malaysia, New Straits Times dan TV3 mulai Februari ini sebagai tindakan awal parti itu dalam Barisan Alternatif membantah sikap penerbitan itu yang didakwa memutarbelitkan kenyataan mereka.




Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com