KUALA TERENGGANU, 3 Jan - Menteri Besar Terengganu Haji Abdul Hadi Awang hari ini menjelaskan bahawa kerajaan negeri akan melantik wakil Cina setiap Daerah.
selepas mengadakan pertemuan dengan 16 anggota Perhimpunan Persatuan Tiong Hua Terengganu di Wisma Darul Iman di sini hari ini, Haji Abdul Hadi berkata kerajaan negeri akan melantik seorang atau dua wakil masyarakat Cina di setiap daerah menjelang 1 Mac ini.
"Pelantikan mereka dalam majlis daerah dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) itu akan membolehkan kerajaan mengetahui pandangan dan pendapat dari masyarakat Cina di negeri ini," katanya.
Beliau berkata jumlah wakil itu akan diputuskan melalui beberapa faktor termasuk jumlah masyarakat Cina di daerah berkenaan.
Presiden Perhimpunan Persatuan Tiong Hua cawangan Terengganu Tan Choon Huat ketika ditanya mengenai wakil masyarakat Cina berkata pihaknya akan mengemukakandua nama untuk daerah Kuala Terengganu iaitu satu untuk Majlis Perbandaran Kuala Terengganu dan satu lagi untuk mewakili masyarakat Cina dalam Majlis Syura.
Mengenai pertemuan dengan Menteri Besar, Choon Huat berkata ia bertujuan membolehkan pihaknya megemukakan pendapat dan cadangan mengenai beberapa perkara termasuk menambah kawasan perkuburan Cina di Terengganu termasuk di bandr Kuala Terengganu, Besut, Paka dan Kemaman.