Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

Terengganu Angkat Martabat Wanita

MARANG : Kerajaan PAS Terengganu memberi peranan kepada muslimat dalam menyampaikan pandangan dan membangunkan masyarakat, kata Menteri Besar, Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan negeri mewujudkan satu jawatankuasa khas bagi muslimat iaitu hal Ehwal Wanita yang diamanahkan kepada Ustaz Awang Dagang Jusoh.

Selain itu, katanya, kerajaan negeri juga melantik Ahli Dewan Negara (Senator) dari kalangan muslimat iaitu Naib Ketua Dewan Muslimat PAS negeri, Puan Safinah Jusoh.

Ini, katanya kerana dalam suasana politik di negara ini pada hari ini tidak mengizinkan muslimat untuk terlibat dalam pilihan raya sebagai calon.

Beliau berkata demikian pada majlis sempena kunjungan wakil Dewan Muslimat PAS Pusat yang diketuai oleh ketuanya, Senator Jamilah Ibrahim, di Rusila, Jumaat lalu.

Begitu juga, katanya, muslimat mempunyai wakil sebagai ahli majlis daerah dan Jawatankuasa Syura Rakyat (JSR) sekurang-kurangnya dua orang di peringkat kampung.

Tambahnya, peranan muslimat turut diberi dalam Unit Pembinaan Insan di samping tenaga muslimin.

Di samping itu, menurutnya, banyak peranan muslimat dalam Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu untuk kaunseling dan sebagainya.

Beliau juga meminta pihak Dewan Muslimat memberikan pandangan dan cadangan kepada jawatankuasa khas bagi menggubal semula undang-undang keluarga di negeri ini.

Ini, katanya kerana undang-undang keluarga yang sedia ada yang digubal pada tahun 1970-an ada yang bercanggah dengan Islam.





Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com