Wasilah, Tamadun terima amaran KDN

‘Ein Azmi

Laporan lengkap : www.malaysiakini.com

Dua majalah bulanan hari ini mendedahkan mereka menerima surat amaran daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) atas dakwaan tidak mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh kementerian itu. Wasilah yang pertama kali diterbitkan bulan lalu diminta menjawab surat amaran dari KDN selewat-lewatnya pada 8 Januari depan atas dakwaan tidak menggunakan nama penuhnya, "Al-Wasilah". Sementara Tamadun pula disifatkan oleh kementerian sebagai "telah terpesong daripada skop asal permohonan."

Minggu lalu malaysiakini melaporkan akhbar tabloid PAS, Harakah, diberikan tempoh sehingga 8 Januari depan untuk menjawab surat tunjuk sebab dari KDN sebelum pihak berkenaan mengambil tindakan.

Wasilah, dalam surat rasmi kementerian bertarikh 24 Disember lalu, juga didakwa memindahkan permit asal daripada syarikat penerbitan Meli Info Media kepada syarikat baru, Penerbitan Pemuda yang dimiliki oleh Ahmad Lutfi Othman yang juga pengarang majalah ini.

Pengurus Pemasaran Wasilah, Rozani Morad bagaimanapun memberitahu malaysiakini, "soal pindah permit tidak timbul kerana kami hanya membantu menyediakan bahan-bahan tulisan dan membantu mengedar majalah."

"Lutfi hanya bertugas sebagai pengarang dan beliau dipilih kerana pengalamannya yang luas dalam bidang penulisan. Saya pula membekalkan pengalaman mengedarkan majalah. Ini semua untuk menolong syarikat Bumiputera."

Sementara itu sebuah lagi majalah bulanan yang telah lama di pasaran, Tamadun, didakwa lebih banyak menyiarkan rencana-rencana yang berunsurkan politik berbandingkan rencana jenis lain. Kementerian, dalam surat rasmi yang dikeluarkan pada 28 Oktober kepada penerbit majalah itu, mendakwa, "rencana-rencana yang berunsurkan politik secara keseluruhannya disiarkan lebih difokuskan kepada politik pihak pembangkang" dan rencana-rencana tersebut dikhuatiri "menyinggung mana-mana pihak terutama pihak perseorangan."

"Selain itu, terdapat rencana yang mengungkit cerita-cerita lama yang dapat mengundang kebencian rakyat kepada kerajaan. Kementerian ini memandang serius terhadap penyiaran rencana di dalam penerbitan ini yang tidak memenuhi skop asal permohonan dan ketidakseimbangan dalam penyiaran rencana-rencana tersebut," sumber rasmi yang sama dipetik.

Majalah ini mula diterbitkan pada tahun 1996 lagi tetapi jualannya mulai meningkat selepas krisis ekonomi pada Julai 1997 dan ia pernah dicetak sehingga 140,000 naskhah -- rekod tertinggi yang pernah dicapai oleh majalah seumpamanya -- sebulan selepas Anwar dipecat, 2 September 1998.

Bagaimanapun, ketika dihubungi malaysiakini hari ini, Tamadun tidak menerima surat tunjuk sebab.

Dalam perkembangan berkaitan, akhbar mingguan Eksklusif, menurut sumber kakitangan tabloid tersebut, yang menyiarkan lebih 60 peratus berita-berita berkenaan parti Umno turut didakwa KDN sebagai "menyebarkan fitnah." Akhbar itu menerima amaran KDN seminggu selepas pilihanraya umum lalu.

Sementara itu Detik masih belum menerima sebarang jawapan bertulis dari kementerian tentang kedudukan permit penerbitan tersebut. Malaysiakini difahamkan pihak KDN minggu lalu menggunakan alasan-alasan baru kepada Detik, antaranya majalah tersebut didakwa tidak menulis alamat lengkap penerbit dan kementerian juga mempertikaikan perlantikan Lutfi sebagai ketua pengarangnya.




Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com