Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

Wan Mokhtar sama nasib dengan Sanusi

KUALA TERENGGANU, 9 Jan - Bekas Menteri Besar Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad hari ini berkata, beliau tidak akan menerima sebarang pencalonan untuk kerusi Majlis Tertinggi (MT) Umno pada pemilihan parti itu, Mei ini.

Beliau berkata keputusan itu diambil bagi memberi laluan kepada orang lain terutama pemimpin-pemimpin muda dalam Umno Terengganu untuk mencari sokongan daripada anggota parti untuk dicalonkan sebagai anggota MT.

Wan Mokhtar berkata sudah tiba masanya bagi beliau memberi laluan kepada generasi baru untuk mengambil alih tempat yang dikosongkannya.

"Bagaimanapun, saya akan terus bekerja untuk parti selagi khidmat saya diperlukan...kedudukan dalam parti tidak penting, apa yang penting ialah kejujuran dan komitmen kita berjuang untuk bangsa, agama dan negara," atanya ketika ditemui di rumahnya pada majlis rumah terbuka sempena Hari Raya di sini, hari ini.

Terengganu kini mempunyai dua wakil dalam MT yang mempunyai 35 kerusi iaitu Wan Mokhtar dan Ketua Penerangan Umno, Datuk Dr Yusof Nor.

Beliau berharap mereka yang dipilih sebagai anggota MT akan menunjukkan komitmen mereka dan dapat memberi sumbangan yang akan memperkuatkan parti serta mengukuhkan perpaduan di kalangan anggotanya.

Ketika ditanya peluang Barisan Nasional (BN) merampas semula Terengganu daripada PAS, Wan Mokhtar berkata ia boleh dicapai jika semua pemimpin dan anggota parti mengetepikan perbezaan pendapat dan bersatu untuk satu tujuan.

"Mereka perlu memulakannya dari sekarang dengan mengatur strategi untuk mengetahui sejauh mana pengaruh PAS di Terengganu.

"Untuk mendapatkan balik Terengganu kita (BN) tidak boleh terlalu bergantung kepada tradisi (menang) yang sentiasa memihak kepada kita sebelum ini kerana ia akan membuatkan kita berpuas hati dengan keadaan yang ada," katanya.

Sementara itu, anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Telemong, Tengku Putera Tengku Awang berkata, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu dijangka mempengerusikan mesyuarat pertama perhubungan Umno negeri sebelum Mei ini.

Beliau berkata pada mesyuarat itu, Abdullah dijangka mengumumkan pelantikan timbalan pengerusi, setiausaha dan anggota jawatankuasa umno negeri.




Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com