Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

Pengarang Harakah didakwa di bawah Akta Hasutan

KUALA LUMPUR, 12 Jan (Hrkh) - Pengarang Harakah, Zulkifli Sulong didakwa dibawah Akta Hasutan Seksyen 4 (1) (C) hari ini berikutan dari tersiarnya kenyataan akhbar yang dibuat oleh Timbalan Presiden KeADILan, Dr. Chandra Muzafar dalam Harakah 2 Ogos 1999 lalu.

Turut didakwa adalah pemilik lesen Percetakan Prema, syarikat yang mencetak Harakah, Chia Lim Thye. Bagaimanapun, Dr. Chandra sendiri tidak didakwa kali ini.

Sebelum ini, Dr. Chandra pernah didakwa berhubung dengan kenyataan beliau itu tetapi telah ditolak oleh mahkamah.

Zulkifli dan Chia akan dibawa dibawa ke Mahkamah Sesyen Jalan Raja dekat sini pada jam 9.00 pagi 13 Januari untuk didakwa atas dakwaan tersebut.

Beliau telah diiringi oleh ASP Goh Lee Shen, Pegawai Penyiasat kes ini serta Pengarah Urusan Harakah, Dato' Hishamudin Yahya.

Mengikut Seksyen 4 (1) (c)Akta Hasutan 1948, mana-mana orang yang mencetak, menerbitkan, menjual, menawarkan untuk dijual, mengedar, atau mencetak semula sebarang bahan berunsur hasutan adalah bersalah mengikut akta ini.

Untuk kesalahan pertama, yang didapati bersalah boleh dihukum tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Dipetik daripada HARAKAH DAILY


Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com