KUALA LUMPUR : 13 Jan - Editor akhbar Harakah Zulkifli Sulong hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap tuduhan menyiarkan berita berunsur hasutan berhubung konspirasi polis dan Peguam Negara dalam kes liwat bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Artikel bertajuk "Liputan pengakuan Sukma hina dan jahat - Dr Chandra" itu disiarkan di akhbar rasmi PAS itu pada 2 Ogos 1999 di muka surat 40. Dr Chandra Muzaffar adalah Timbalan Presiden Parti Keadilan Nasional.
Artikel itu antara lain mengandungi perenggan berbunyi:" Adalah memalukan bahawa elemen-elemen dalam pasukan polis, pejabat Peguam Negara, mahkamah dan media bersedia diperalatkan dalam konspirasi yang terbesar yang dirancang oleh Perdana Menteri Mahathir Mohamad dan konco-konconya, ujar beliau."
Hakim Abdul Karim Abdul Jalil menetapkan lima hari mulai 22 Mei ini untuk perbicaraan kes itu.
Hakim juga membenarkan Zulkifli, 37, diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin.
Zulkifli dari Kampung Changkat, Gombak di sini, selaku penyunting akhbar itu didakwa melakukan kesalahan pada atau sekitar 2 Ogos, 1999 di 28A, Jalan Pahang Barat off Jalan Pahang, Kuala Lumpur.
Beliau didakwa melakukan satu kesalahan di bawah Sekyen 4 (1) (c) Akta Hasutan 1948 (Akta 15) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4 (1) akta yang sama.
Zulkifli diwakili oleh Aimi Zaini dan P. Uthayakummar manakala pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Tun Abdul Majid Tun Hamzah.
Zulkifli yang memakai baju kemeja hijau muda kelihatan tenang ketika pertuduhan dibacakan.
Mahkamah juga dipenuhi dengan wartawan tempatan dan asing serta penyokong-penyokong Zulkifli.