juga dikategorikan sebagai hudud - perselisihan pendapat dalam pengkategorian sahaja) seperti yang tersebut di atas. Apabila sesuatu jenayah itu merupakan jenayah hudud, maka pendakwaannya mesti dan wajib secara perbicaraan hudud jika kita mengaku sebagai orang yang beriman dengan al-Quran dan sunnah (lihat surah al-Nisa': 65), kerana semua hukuman ke atas jenayah hudud itu datangnya daripada Allah s.w.t. dan Rasul-Nya s.a.w. Ia dinamakan 'hudud' (kata jamak daripada 'hadd') itu pun telah membawa makna terhad dan terbatas, iaitu terhad dan terbatas hukumnya kepada hukuman yang telah diwahyukan Allah s.w.t. dalam al-Quran atau hadis.
Yang menjadi persoalannya, apakah negara Malaysia hari ini telah menjalankan terlebih dahulu proses perbicaraan hudud bagi jenayah-jenayah hudud yang tersebut di atas? Kalau jawapannya TIDAK (dan sememangnya tiada satu jenayah pun dikategorikan sebagai hudud di Malaysia), bagaimana Astora boleh mendakwa, mendusta dan mengelirukan orang (salah seorang daripadanya ialah sdr sendiri, tetapi nasib baik sdr berhati-hati) dengan mengatakan hukuman yang dijalankan di Malaysia kini ialah menurut proses ta`zir dan bertepatan dengan hukum Islam. Sedangkan proses ta`zir bagi jenayah-jenayah hudud hanya boleh dilakukan setelah bukti-bukti dan syarat-syarat hudud tidak cukup. Sebaliknya di Malaysia, dari awal-awal lagi, tiada satu jenayah pun boleh dibicarakan secara hudud. Ini bermakna, tidak kira sesuatu jenayah itu dikira sebagai hudud ataupun tidak dalam perundangan Islam, semuanya dibicarakan sebagai jenayah ta`zir dalam perundangan Malaysia. Bukankah ini bermakna mendahului Allah s.w.t. dan Rasul-Nya s.a.w. dalam membuat hukum, sedangkan umat Islam dilarang mendahulukan diri mereka atau sesiapa sahaja ke atas keputusan Allah s.w.t. dan Rasul-Nya s.a.w. (Surah al-Hujurat: ayat 1). Hukuman hudud ialah keputusan Allah s.w.t. dan rasul-Nya s.a.w.
Astora menulis, "Dalam kes merogol dan membunuh dalam bas ini mestilah dilaksanakan melalui proses takzir ini dan bukan melalui proses hudud yang mudah terhapus. Itu baru dianggap adil. Hukuman yang disabit melalui proses takzir ini dipanggil hukuman takzir dan ia sebenarnya yang mampu menegakkan kestabilan dalam negara. Hukuman takzir ini yang dilaksanakan di Malaysia kini."
Kalut, kelam kabut dan sungguh caca merba sekali 'pemikiran Islam' Astora Jabat ini. Apakah beliau menganggap hukum hudud itu tidak boleh menjamin keadilan dan menegakkan kestabilan dalam negara? Saya telah membahaskan punca berlaku kekalutan dan kelam kabut ini dalam rencana saya yang bertajuk 'Salah tanggapan terhadap hudud Islam' seperti yang terpapar di laman Minda Rakyat dan Tranung Kite, iaitu puncanya kerana Astora jahil terhadap himpunan lengkap nas-nas berkaitan jenayah hudud. Saya mengatakan 'jahil' kerana ingin berbaik sangka, kalau tidak saya mengatakan lebih teruk lagi bila beliau mendakwa seolah-olah hudud tidak boleh dianggap adil dan tidak menjamin kestabilan negara.
Jadi jawapan ringkas kepada soalan nombor satu sdr itu ialah TIDAK BENAR dan BATIL.
Bagi soalan kedua dan ketiga itu pula; hukum ta`zir ialah hukum yang diputuskan oleh manusia berdasarkan kemaslahatan umum di sesuatu tempat dan masa. Dengan itu ia boleh berubah-ubah, tidak seperti hudud, yang ditetapkan Allah s.w.t. dan terhad kepada apa yang diputuskan Allah s.w.t. sahaja. Sesiapa yang melangggar batas had ketetapan Allah s.w.t. ini dikira ingkar sama ada kafir, fasiq atau zalim (surah al-Maidah: 44, 45 dan 47).
Secara ringkasnya, ta`zir ialah hukum bagi jenayah atau kesalahan yang selain daripada jenayah hudud yang tujuh atau lapan jenis itu. Contoh-contoh hukum ta`zir ialah seperti hukuman dalam semua kesalahan yang terdapat dalam undang-undang yang diamalkan di negara ini seperti Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Pengangkutan Jalan, Akta Buruh, Akta Mesin Cetak, Akta Keselamatan Dalam Negeri, Akta Perbankan, Kanun Acara Jenayah, Kanun Kesiksaan dan semua akta atau kanun yang ada di dunia ini yang dibikin dan digubal oleh manusia melalui dewan perwakilan rakyat.
Walau bagaimanapun, apabila kita mengatakan semua akta atau kanun bikinan manusia itu sebagai hukum ta`zir, itu tidak bermakna semuanya bertepatan dengan Islam. Di antaranya ada yang bertepatan dengan kehendak Islam dan banyak juga yang bercangah dengan hukum Islam. Sebahagian contoh percanggahan itu telah saya sebutkan dalam rencana saya yang bertajuk 'Amanat… Syahid… Takfir… Solat dua imam', yang juga terpapar di dua laman web yang tersebut di atas dan laman rasmi PAS. Selain itu, terdapat banyak percanggahan dengan hukum Islam dalam undang-undang Kanun Kesiksaan (KK) yang diamalkan sekarang. Ada juga undang-undang Islam yang tidak dijadikan undang-undang dalam kanun tersebut, seperti kesalahan tuduhan zina (dan seerti dengannya seperti tuduhan liwat) yang merupakan kesalahan khas yang tidak boleh disamakan dengan tuduhan atau fitnah (defamation dalam seksyen 499 KK) yang selainnya. InsyaAllah, jika dipermudahkan saya akan menyiapkan sebuah buku tentang perbandingan undang-undang jenayah Islam dan sivil tidak lama lagi. Sdr doakanlah semoga dipermudahkan Allah s.w.t.
Jadi, yang dikatakan salah dan berdosa ialah menjadikan kesalahan-kesalahan hudud dan bukan hudud sebagai ta`zir kesemuanya, kerana apabila kita menjadikan kesalahan hudud sebagai ta`zir, bermakna kita telah campur tangan terhadap keputusan Allah s.w.t. dalam kesalahan yang tujuh atau lapan jenis itu.
Sekiranya negara ini telah memperkanunkan (codify) undang-undang hudud Islam itu, sama ada hendak menamakannya sebagai 'undang-undang hudud' ataupun sekiranya orang takut, namakanlah apa sekalipun selagi bertepatan dengan keputusan al-Quran dan hadis ataupun selitkan sahaja ke dalam KK itu mana-mana kesalahan hudud yang belum ada dan pinda mana-mana hukuman yang bercanggah dengan hukuman hudud Islam, maka mahkamah pun boleh menjalankan pendakwaan, perbicaraan dan keputusan berdasarkan hukum Islam itu. Yang menjadi halangan sekarang ialah parlimen tidak meluluskan atau pun menolak mentah-mentah usul yang dibuat untuk memperkanunkan undang-undang Islam. Parlimenlah yang bertanggungjawab menggubal dan meluluskan sesuatu undang-undang, bukan mahkamah atau hakim. Siapakah ahli-ahli parlimen yang paling kuat menyokong atau membantah sesuatu usul kalau tidak dari pihak UMNO/BN yang menguasai majoriti lebih dua pertiga? Dan siapakah pula yang membuang undi untuk mereka menjadi ahli parlimen itu? Kalau sampai ke sini persoalannya, jelaslah bahawa orang yang membuang undi untuk mereka juga terlibat sama dengan dosa menghalang undang-undang Allah diamalkan. Bukankah sesuatu dosa itu (jika yang melakukannya tidak bertaubat dan memperbaiki diri) membawa ke neraka? Ini bukan kempen parti politik atau menyalahgunakan agama, tetapi ini adalah satu hakikat kepercayaan dan akidah orang yang beriman dengan al-Quran dan sunnah. Apakah orang di sebelah sana faham hakikat ini??? Atau pun mereka sebenarnya sudah faham, tetapi kerana kefanatikan buta mereka, mereka menolaknya dan menuduh kita menyalahgunakan agama dalam kempen pilihan raya. Maa syaa AllaaaaH!
Ataupun jika penduduk negara ini yang majmuk menjadi halangan terhadap pengkanunan undang-undang Islam secara umum dan merangkumi seluruh orang Islam dan bukan Islam, maka berikanlah keizinan kepada negeri-negeri untuk melaksanakannya di bawah pentadbiran jabatan agama Islam dan mahkamah syariah masing-masing untuk digunakan ke atas umat Islam sahaja dahulu. Tidak berbangkit soal ketidakadilan terhadap orang Islam kerana sememangnya undang-undang Islam hanya untuk orang yang beriman dengannya sahaja. Orang yang bukan Islam tidak tertakluk dengannya melainkan apabila mereka sendiri meminta diadili secara perundangan Islam, seperti yang pernah terjadi kepada pasangan Yahudi yang berzina di zaman Rasulullah s.a.w. Berikan keizinan dan kebebasan kepada negeri yang ingin melaksanakan perundangan Islam di bawah enakmen jenayah syariahnya dan jangan menghalang atau mengugut untuk mengenakan tindakan tegas seperti yang terjadi ke atas Kelantan. Mereka yang menghalang dan mengugut, lepas itu mereka mendakwa Kelantan hanya berjanji hendak melaksanakan undang-undang Islam, lepas menang tidak dilaksanakan pun. Sungguh bijak mereka membohongi rakyat melalui media-media mereka termasuk media Astora Jabat. (Siapa yang belum lihat surat rasmi ugutan tersebut boleh memintanya daripada PAS)
Jika sekiranya undang-undang hudud itu diperkanunkan atau dibenarkan kepada negeri-negeri untuk melaksanakannya, maka proses pendakwaan kesalahan bagi tujuh atau lapan jenis jenayah itu dilakukan secara proses hudud. Sekiranya mana-mana pendakwaan hudud tidak boleh dijatuhkan hukuman hudud disebabkan sesuatu syarat yang tidak dipenuhi (syarat hudud berbeza-beza antara satu kesalahan dengan kesalahan yang lain), maka barulah ketika itu jenayah yang asalnya jenayah hudud itu boleh dijatuhkan hukuman berdasarkan ta`zir. Jika dari awal lagi hukum hudud itu tidak diperkanunkan, tidak boleh sesiapa mendakwa kesalahan hudud itu dibicarakan secara ta`zir sekadar hendak menunjukkan seolah-olah hukum Islam itu telah diamalkan. Dakwaan sebegitu semata-mata untuk berdusta atas nama agama oleh pendusta agama!
Sebagai contoh, salah satu jenayah hudud ialah berzina. Pensabitan jenayah ini ialah sama ada dengan pengakuan tertuduh atau keterangan saksi. Pengakuan tidak memerlukan syarat yang banyak, pengakuan diterima jika yang mengaku dipastikan berakal dan waras, baligh dan tahu haramnya zina dan tidak mengandaikan perempuan yang dizinainya itu halal baginya (wati' syubhah). Tetapi keterangan saksi memerlukan syarat yang banyak, iaitu saksi hendaklah sekurang-kurangnya empat orang, lelaki (bukan perempuan), yang adil (bukan fasiq) yang melihat sendiri kemaluan tertuduh dimasukkan ke dalam kemaluan pasangannya, dan keterangan itu diberikan dalam satu majlis (bukan berasingan).
Jika syarat-syarat itu tidak dipenuhi, maka hukuman hudud zina tidak boleh dijatuhkan ke atas tertuduh. Sebaliknya hukum ta`zir dikenakan ke atas unsur-unsur kesalahan yang lain yang bersangkutan dengan jenayah zina itu seperti berkhalwat bersama bukan muhram. Maka hukuman ta`zir yang dijatuhkan bukanlah ke atas kesalahan zina yang tidak sabit, tetapi ke atas kesalahan berkhalwat yang pasti dilakukan sebelum berlaku zina.
Berkenaan kes liwat yang disebutkan oleh Astora dalam rencananya yang tersebut di atas itu, kononnya diadili secara ta`zir, adalah satu pembohongan dan pendustaan yang besar atas nama Islam.
Pertama,kita akui bahawa ulama berselisih pendapat sama ada liwat termasuk dalam kesalahan hudud atau ta`zir. Abu Hanifah berkata ia adalah kesalahan ta`zir, hukuman penjara sehingga bertaubat atau mati, atau bunuh bagi pengamal tetapnya pun adalah berdasarkan hukum ta`zir yang diijtihadkan oleh pemerintah. Tetapi majoriti ulama iaitu Malik, Abu Yusuf dan Muhammad (dua orang murid Abu Hanifah), Syaf`ie dan Ahmad mengatakan hukuman liwat ialah bunuh dan ia termasuk jenayah hudud (Dr. Ahmad Fathi Bahnasi, Madkhal al-Fiqh al-Jina'I al-Islami, m.s: 60).
Kedua, yang menjadi persoalan, apakah sabitan jenayah liwat ke atas DSAI menurut perundangan Islam? Kalau pun hendak dikira perbicaraan itu berdasarkan proses ta`zir sekalipun (ikut pandangan Abu Hanifah seorang dan mengetepikan seluruh pendapat selainnya), apakah saksi untuk tuduhan itu tidak perlu seorang yang adil? Apakah seorang saksi yang mengaku berzina boleh diterima sebagai benar, apatah lagi beberapa kali teragak-agak antara bersetuju atau tidak dengan tuduhan pendakwa? Saksi itu juga telah menafikan sebanyak tiga kali terhadap dakwaan DSAI meliwatnya, sebelum mengaku semula. Dan mengapa pula alibi (bukti ketidak wujudan tertuduh di tempat dan masa tuduhan) DSAI langsung tidak dicabar oleh pendakwa?
Ketiga, jika hukum liwat yang dijatuhkan itu adalah ta`zir (berdasarkan pandangan Abu Hanifah seorang), bagaimana pula hukum ke atas orang-orang yang menuduh DSAI meliwat dan berzina? Apakah ulama masih berselisih pendapat tentang jenayah tuduhan zina tanpa empat saksi adil (jenayah qazaf) ini? Jawabnya TIDAK ada perselisihan lagi kerana hukum hudud itu sudah jelas di dalam al-Quran (Surah al-Nur: ayat 4) yang bermaksud:
"Dan orang-orang yang menuduh zina terhadap perempuan-perempuan yang baik (muhsanat), kemudian tidak mendatangkan empat orang saksi lelaki, maka sebatlah mereka (penuduh) sebanyak lapan puluh kali sebatan dan janganlah kamu terima lagi persaksian mereka selama-lamanya, dan mereka itu adalah orang-orang yang fasiq"
Mungkin ada yang hendak membuat dalih dengan perkataan 'perempuan-perempuan' itu lalu mendakwa DSAI bukan perempuan dan penuduhnya tidak termasuk dalam jenayah qazaf. Ini adalah dalih orang fasiq dan tidak beriman dengan al-Quran. Bukankah ayat-ayat yang memerintahkan solat dan zakat itu dari segi tata bahasanya (qawa`id arabiyyah) hanya ditujukan kepada lelaki-lelaki? Adakah bila disebut lelaki maka perempuan tidak wajib bersolat? Sebenarnya, disebutkan perempuan dalam ayat qazaf itu kerana perempuanlah yang lebih tercemar maruahnya dan lebih tertekan dengan tuduhan zina itu, apatah lagi hukum yang diturunkan dalam ayat itu bersempena untuk membersihkan Saydatina `Aisyah daripada qazaf yang dilakukan oleh Abdullah bin Ubay dan orang-orang yang termakan hasutannya. Seluruh ulama tafsir seperti al-Tabari, Ibn Kathir, al-Qurtubi, al-Fakhr al-Razi, al-Suyuti, al-Alusi dan seluruh ulama Islam berpendirian demikian walaupun perketaan 'perempuan' disebutkan dalam ayat itu.
Dan mungkin juga ada yang berdalih kononnya tuduhan meliwat tidak dikira qazaf kerana ayat tersebut menyebut tuduhan zina. Bagi orang fasiq yang berdalih begini kita katakan, tuduhan liwat adalah lebih buruk dan memalukan daripada tuduhan zina! Maka sepatutnya tuduhan liwat dikenakan hukuman lebih daripada tuduhan zina secara ta`zir (80 sebatan hudud, tambahannya ta`zir).
Maka mengapa 'al-Syeikh' Astora Jabat mendiamkan diri daripada ayat yang terang lagi jelas ini? Bolehkah kalau saya mengatakan beliau cuba menyembunyikan sebahagian ayat-ayat Allah s.w.t. jika beliau menuduh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang menyembunyikan ayat al-Quran tentang hukum bersekutu dengan orang bukan Islam dalam memerintah negara (Mingguan Malaysia, 15/10/2000)? (Bersekutu untuk menegakkan sistem sekular dan mengekalkan peraturan penjajah memang haram hukumnya, berbeza dengan bersekutu untuk menegakkan keadilan dan hak bersama seperti dalam BA -lihat Surah al-Maidah: 2)
Kenapa Astora berdiam diri dan menyembunyikan ayat 4 surah al-Nur itu? Di situlah antara sebab mengapa UMNO/BN tidak rela hudud diperkanunkan, kerana jika diperkanunkan, mereka yang menuduh DSAI meliwat dan berzina itulah yang terawal kena sebat 80 kali termasuklah Astora Jabat sendiri, kerana beliau banyak menulis untuk meyakinkan pembaca bahawa DSAI memang bersalah meliwat. Sekarang mereka goyang kaki sahaja dan tidak bimbang apa-apa kerana tiada apa-apa peruntukan dalam perundangan negara tentang jenayah qazaf ini.
Sekian, saya rasa saya telah menjawab soalan-soalan sdr secara terperinci. Setelah sdr faham, sdr bertanggungjawab memberi kefahaman kepada orang lain pula, supaya fahaman sesat Astora tidak merebak di kalangan umat Islam hari ini.
Wassalam `ala man ittaba`a al-huda.
alimuda@hotmail.com
29/10/2000