Oleh : Aman Rais
Debat antara Datuk Hishamuddin Hussein dengan Mahfuz Omar belum tentu akan berlangsung tetapi "debat" antara Datuk Nik Aziz Nik Mat dengan Dr Mohd Khir Toyo sedang rancak.
Kalau debat antara dua ketua pemuda itu diibaratkan bertemu buku dengan ruas, debat antara dua Menteri Besar itu diibaratkan seperti seorang tua lawan budak-budak.
Orang tua memang terkenal dengan sikap degil, apatah lagi kalau beliau sedar dirinya betul. Itu sebabnya Nik Aziz mencabar Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menunjukkan kesilapannya dalam siri ceramah di Selangor atau tempat-tempat lain.
Menteri Besar Kelantan itu menegaskan beliau akan tetap berceramah di negeri itu jika diundang lagi andainya Jais gagal menunjukkan kesilapan atau kesesatan ceramah-ceramah agamanya.
Manakala Menteri Besar Selangor yang dikatakan mempunyai latar belakang agama yang kuat itu pula membidas Nik Aziz dengan menasihatkan beliau agar tidak mencampuri urusan negeri lain.
"Nik Aziz tidak payah bersusah-payah berceramah di Selangor. Beliau sepatutnya memberikan perhatian kepada masalah taun, AIDS, masalah sosial dan jenayah di Kelantan," tegas Dr Khir.
(Nota: Satu pertanyaan untuk Dr. Khir, adakah berceramah agama di masjid boleh dikategorikan sebagai ‘mencampuri' urusan kerajaan negeri?)
"Debat" dua MB ini telah berlanjutan kira-kira seminggu. Dr Khir yang berasa tercabar dengan keberanian Nik Aziz yang dianggap melanggar arahan jabatan agama negerinya cuba bertindak lebih jauh. Beliau bukan sahaja mahu tindakan undang-undang dikenakan ke atas Nik Aziz, malah telah mengarahkan polis supaya membatalkan semua ceramah politik di negeri itu.
Besar sekali kuasa MB baru itu walau belum sampai tiga bulan. Nampak garang sungguh anak muda ini. Nik Aziz tentu tidak menyangka Dr Khir rasa tercabar sebegitu rupa.
Kesan negatif
Isu ceramah ini diperbesar-besarkan oleh orang Umno hingga menjadi satu isu nasional tanpa memikirkan kesan negatifnya terhadap usaha pemulihan parti itu.
Sedarkah Dr Khir bahawa kegagalannya membezakan antara ceramah politik dengan ceramah agama akan menyemarakkan kebencian orang Melayu pada Umno.
Apakah pernah MB Selangor mendengar pita rakaman ceramah Nik Aziz? Kalau benar beliau berceramah politik di sebuah surau di Kapar, memang "wajar" beliau diharamkan berceramah di negeri ini.
Tetapi jika ceramah Nik Aziz itu hanya satu ceramah agama, nyatalah Dr Khir sebenarnya takut pada bayang-bayang sendiri. Mungkinkah MB ini masih dihantui bayangan keputusan pilihan raya umum lalu?
Barang kali, langkah menyekat ceramah Nik Aziz satu perancangan Umno membendungkan perkembangan pengaruh PAS di Selangor - satu usaha yang sangat terdesak sebegitu rupa!
MB Selangor patut belajar daripada kesilapan yang dilakukan oleh Datuk Ibrahim Ali dan Datuk Anuar Musa yang keterlaluan menentang dan memburuk-burukkan Nik Aziz. Kedua-dua tokoh muda Umno Kelantan itu telah beberapa kali dibakul-sampahkan oleh pengundi dalam pilihan raya umum.
Pengaruh Umno di Selangor semakin menurun seperti terbukti dalam keputusan pilihan raya umum yang lalu berbanding cengkaman PAS yang makin berbisa. Dr Khir sendiri memenangi Pasir Panjang dengan majoriti tipis, kurang 200 undi.
Jika pelantikannya sebagai MB difikirkan telah menguatkan pengaruhnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) itu khususnya atau dapat memulihkan imej parti Melayu itu di Selangor, Dr. Khir sebenarnya tersilap.
Jangan tersilap langkah
Senario politik negara tidak banyak berubah walau Umno berhempas-pulas cuba mereformasikan dirinya. Kemarahan terhadap parti itu belum padam. Malah pengaruh Umno di kalangan orang bukan Melayu juga makin merosot setelah Perdana Menteri melabel Jawatankuasa Rayuan Pilihanraya Persatuan-persatuan Cina (Suqiu) sebagai "komunis dan al-Ma'unah".
Dr. Khir perlu menilai senario ini dengan baik. Jangan tersilap langkah sehingga terpaksa menjejaki nasib dua pendulunya, Datuk Seri Abu Hassan Omar dan Tan Sri Muhammad Mohd Taib.
Sepatutnya isu ceramah Nik Aziz tidak dipanjang-panjangkan. Dr. Khir patut menyerahkan isu ini sepenuhnya kepada Jais untuk menguruskannya. Hanya dengan cara ini sahaja, arahan larangan ceramah itu tidak dilihat bermotifkan politik.
Jais pula hendaklah dilihat beroperasi secara bebas dan adil. Tidak selalunya jika seseorang ulama itu menjadi wakil rakyat, ceramahnya di masjid menjadi ceramah politik.
Nik Aziz tahu membezakan di mana pentas untuk berceramah politik dan di mana pula medan untuk ceramah agama. Adalah tidak adil jika beliau diharamkan berceramah di masjid di Selangor semata-mata kerana beliau seorang MB daripada PAS sedangkan ceramah-ceramahnya di masjid atau surau lebih menjurus kepada soal-soal agama, ibadat dan akhlak.
Kalaupun ada ketikanya Nik Aziz tersasul menyentuh soal-soal politik atau menegur pemimpin tertentu, apa salahnya? Bukankah politik dan akhlak itu sebahagian daripada agama!
Jais pula, setelah imejnya tercemar oleh sikap politik dalam kes tangkapan di pusat hiburan ‘The Ship' tempoh hari, perlu memulihkannya semula. Dan sekaranglah peluang terbaik untuk melakukannya - dengan cara membenarkan sesiapa sahaja yang bertauliah untuk menyampaikan ceramah agama di semua pusat ibadat di Selangor tanpa mengira latar belakang politik.
Jabatan kerajaan khususnya Jais jangan jadi alat politik kepada orang-orang tertentu. Orang politik pula janganlah memperalatkan jabatan-jabatan kerajaan.