PM Dr M @ Cek Det semalam memberi dua nasihat baik. Pertama, pertubuhan belia MAYC sepatutnya memberi laluan kepada orang muda untuk menjadi pemimpin. Kedua, wakil rakyat BN hendaklah menjalankan tanggungjawab mereka dengan selalu menghadiri sidang parlimen. Cili Api setuju dengan kedua-dua nasihat ini.
MAYC sudah berpuluh tahun dipimpin oleh Datuk Seri Sanusi Junid, yang baru-baru ini menjadi terkenal sebagai peninju di KLIA. Beberapa minggu lalu, Setiausaha MAYC mengumumkan bahawa Sanusi tidak akan bertanding lagi dan tempatnya akan diganti oleh Datuk Syed Hamid Albar. Sanusi tuduh setiausahanya berbohong. Akibatnya setiausaha itu terpaksa meletak jawatan.
Cili Api lihat Syed Hamid memang ghairah hendak mengganti Sanusi. Tetapi Sanusi pula tidak ghairah untuk mengosongkan kerusinya. Agaknya beliau mengambil teladan daripada tok gurunya, supaya jangan mudah berundur dari jawatan. Cili Api tidak tahu siapa lebih tua di antara Sanusi dan Syed Hamid itu. Tetapi Cili Api boleh lihat kepala siapa lebih berkilat. Sudah tentu mereka sudah jauh melampaui umur belia. Sememang patutlah mereka ini mengikut nasihat pembesar mereka dan beri laluan kepada orang lebih muda.
Tetapi Cili Api terkilan sedikit. Mengapakah Cek Det cukup pandai memberi nasihat kepada orang lain, tetapi tidak cekap mengikut sendiri nasihat yang beliau beri itu. Cek Det tentu sedar dia sudah lama jadi PM. Takkanlah hendak tunggu sampai 30 tahun seperti Suharto? Lagi pula, beliau sudah tidak muda lagi. Mengapa tidak berundur saja secara terhormat dan beri laluan kepada pemimpin lebih muda, sebelum dinyah daripada jawatan PM itu secara tidak terhormat?
Sebaliknya, Cili Api lihat bahawa Cek Det sentiasa mengubah perlembagaan UMNO agar beliau terus berkuasa. Dulu, pencalonan bagi presiden dan timbalan diberi undi bonus, iaitu sepuluh undi bagi satu pencalonan. Apabila sistem ini mengancam kedudukannya, maka Cek Det menukarnya dengan sistem baru. Seseorang yang hendak melawan presiden mesti mendapat pencalonan sepertiga daripada jumlah bahagian. Seperti yang berlaku dengan kes Kuli baru-baru ini, hampir semua bahagian takut hendak mencalonkan orang lain daripada Cek Det, yang maha berkuasa itu.
Mungkin sistem ini sekarang tidak begitu baik. Itu sebab Cek Det mahu ubah lagi. Beliau hendak adakan pemilihan MT hanya selepas pilihanraya umum pula. Siapa boleh terpedaya dengan cakap-cakap Cek Det akan berundur sebelum pilihanraya akan datang? Cili Api percaya ada tiga sebab dia akan cuba terus berkuasa sampai hujung hayat. Pertama, Cek Det cukup suka menduduki jawatan tinggi yang memberi segala kemudahan serta keistimewaan, duduk dalam mahligai dan terbang ke sana ke mari dengan jet eksekutif. Kedua, Cek Dek seram memikirkan apa nasib yang boleh menimpanya jikalau beliau tidak menjadi Perdana Menteri lagi. Tengok saja apa yang berlaku kepada bekas Presiden Korea dan bekas Perdana Menteri India. Bila sudah tidak ada kuasa lebih mudah tindakan mahkamah diambil kerana segala rasuah dan salah guna kuasa yang dilakukan. Ketiga, Cek Det mahu lebih lama lagi berkuasa untuk melindungi kepentingan anak-pinak dan suku-sakat beliau.
Berhubung dengan kehadiran dalam parlimen pula, nampaknya Cek Det kurang senang sebab ramai wakil rakyat BN selalu ponteng. Mereka datang sekejap untuk sain kehadiran supaya boleh tuntut elaun. Lepas itu senang pergi jolirama. Ada juga yang rajin sedikit duduk lama dalam dewan. Tetapi mereka cuma panaskan kerusi saja. Ataupun melelapkan mata yang ngantuk dalam kedinginan udara dewan itu. Tidak pernah bercakap dan tidak ada buah fikiran yang mampu mereka kemukakan.
Apabila ditanya oleh wartawan apa tindakan yang akan Cek Det ambil terhadap mereka yang selalu ponteng itu, beliau berkata nama mereka mungkin digugurkan daripada senarai calon untuk pilihan raya akan datang. Dalam sesi belanjawan tahun lalu, ramai wakil dari BN yang tidak hadir sidang. Kalau tak salah Cili Api, Cek Det telah memberi amaran. Tetapi tidak ramai yang ambil apek (peduli) pun terhadap amarannya.
Cili Api lihat di antara mereka yang selalu ponteng ialah menteri-menteri. Antaranya Ling Liong Sik dan Lim Keng Yaik. Bahkan mereka agaknya sama banyak memonteng dengan Cek Det sendiri. Cili Api perhatikan kebanyakan menteri tidak hadir untuk menjawab soalan-soalan yang ditujukan kepada mereka pun. Mereka hantar timbalan menteri, atau Setiausaha parlimen saja, untuk menjawab. Mereka tidak mengambil berat tugas mereka dalam parlimen.
Sepatutnya menteri-menteri seperti ini pun patut diambil tindakan. Kedudukan mereka dalam kabinet perlu ditimbang semula selepas pilihanraya akan datang. Tetapi adakah Cek Det, selaku PM, mempunyai kekuatan moral untuk berbuat demikian? Sebenarnya, menteri-menteri itu cuma mengikut teladan Cek Det saja. Lebih lanjut lagi, Cili Api perhatikan Cek Det akan pergi melancong keluar negeri, walaupun semasa Parlimen bersidang. Beliau bukan hormat sangat kepada parlimen. Beliau sudah merasakan lebih berkuasa daripada parlimen.
Sekali lagi kita lihat Cek Det ini pandai memberi nasihat kepada orang lain saja. Tetapi beliau tidak begitu pandai mengikut atau mengamalkan nasihatnya sendiri. Bahkan bukan kepada ketua belia dan anggota parlimen saja Cek Det pandai memberi nasihat. Beliau lebih bijak lagi memberi nasihat kepada kuasa-kuasa besar dunia supaya mengamalkan demokrasi, menghormati hak asasi manusia, menjamin kebebasan media dan macam-macam-macam lagi.
Tetapi beliau tidak mengamalkan sama sekali dalam negeri apa yang dinasihatkan di luar negeri. Itulah namanya cakap tak serupa bikin. Agaknya inilah yang dimaksudkan oleh Cek Det “Malaysia Boleh!”.
Cili Api