oleh Saidah Hairan
KUALA LUMPUR, 21 Okt (hrkh) - Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Lo' Lo' Mohamad Ghazali, kesal dengan kenyataan Naib Presiden Wanita Umno, Dato' Sharizat Abdul Jalil yang mempersendakan hukum Allah dalam kes jurutera komputer dirogol sebagaimana yang dilaporkan dalam akhbar tempatan baru-baru ini.
Menurut beliau, Shahrizat tidak sepatutnya mempersendakan hukum Allah dan tidak wajar kenyataan seperti itu keluar daripada mulut seorang wanita Islam.
"Kes jurutera komputer dirogol kenapa Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat yang dipersalahkan, kenapa mempersoalkan hukum Allah," ujarnya.
Katanya, kes yang menimpa mangsa tersebut adalah disebabkan sikap keganasan dan kejahatan seseorang itu serta kelonggaran sistem perundangan di Malaysia.
"Kenapa pemandu bas yang ada rekod jenayah dibiarkan hidup bebas dan tidak diberikan perhatian serius. Kita memang tidak tahu bila penjenayah ini akan menyerang dan kita juga tidak tau siapa mangsa mereka. Hal ini telah ditentukan dan sikap mempersendakan hukum Allah adalah tidak wajar".Tragedi ini membuktikan bahawa undang-undang yang ada sekarang tidak tegas dan makin longgar tegasnya.
Beliau berkata, dalam kes ini tidak semestinya mangsa hanya mereka yang mendedahkan aurat tetapi semua wanita harus berhati-hati disebabkan sikap keganasan seseorang itu.