Warga Taiping menjadi saksi kepada lebih seribu orang
yang berhimpun di hadapan Kem Kemunting sempena
program Mansuhkan ISA jam 9.00 pagi 29 Oktober 2000.
Bermula dari tol masuk dari Taiping Utara, petugas tol
yang kehairanan memberi maklumbalas akan kehadiran
ramai pengunjung dari luar pada pagi itu. Ternyata
ramai juga warga Taiping yang ketinggalan berita
terkini tentang program tersebut. Namun kehadiran
ribuan penyokong-penyokong dari luar sudah cukup untuk
memberikan kesan yang menggegarkan pekan Kemunting
pagi itu.
Di Pekan Kemunting beberapa sekatan jalan raya telah
dibuat oleh puak-puak polis. Malah beberapa kereta
reformis dari KL telah siap dicatat nombor-nombor
kereta mereka sebagai bahan ujikaji barangkali. Saya
yang tiba sendirian pada mulanya cemas juga tetapi
tiada sebarang soal jawab dikemukakan oleh puak-puak
itu. Keadaan jalan raya nampak sedikit sesak.
Tiba di selekoh jalan ke Kem Tahanan Kemunting,
suasana meriah mulai dirasai. Sepanduk-sepanduk,
poster-poster berkaki dan bendera-bendera BA
berkibaran dengan megahnya. Petugas-petugas BA, NGO
dan lain-lain begitu sibuk mengedarkan risalah-risalah
berkenaan dengan 40 sebab mengapa ISA mesti
dimansuhkan kepada setiap kenderaan yang lalu di situ.
Kereta-kereta yang lalu lalang membunyikan hon dan
menyambar risalah-risalah yang diedarkan. Tiada pula
kereta polis mahupun trak FRU yang berkeliaran di
situ. Polis-polis yang beruniform juga tidak kelihatan
di kawasan yang berhampiran. Ini sungguh di luar
dugaan.
Setelah meletakkan kereta di tepi jalan, saya pun
menyusuri jalan bersama-sama dengan sederetan orang
yang menuju ke destinasi yang sama. Sepanjang jalan
menuju ke Kem Tahanan telah dipenuhi dengan
kenderaan-kenderaan penyokong-penyokong. Beberapa
SB,yang memang tak pandai menyamar itu,begitu sibuk
mencatatkan nombor-nombor kereta yang memenuhi pinggir
jalan. Meluat sungguh melihatkan perilaku mereka yang
begitu 'busybody' itu. Seorang dari mereka sempat pula
menegur saya dengan sengih busuknya......'Dah ambil
gambar ke?'. Piiiilah!!!
Kelompok-kelompok penyokong yang sudahpun berhimpun di
hadapan Kem Tahanan dengan sepanduk-sepanduk Mansuhkan
ISA, mula melaungkan takbir, Reformasi, Mansuhkan ISA
dan lain-lain. Ketibaan Sdr. Mahfuz, Sdr. Mat Sabu,
Sdr. Ruslan Kassim dan beberapa pemimpin yang lain
diberi laungan takbir dan tepukan bergemuruh sekali.
Pada masa yang sama, maklumat diberi bahawa di dalam
Kem Tahanan sedang berlangsung program penyampaian
hadiah untuk tadika kawasan Paya Pasir yang diterajui
oleh UMNO TOTOK. He, he.........tak berani nampaknya
depa nak menjengukkan muka di luar ni!
Tepat jam 9.00 pagi program pun dimulakan secara
rasmi. Konvoi dari KL khabarnya masih dalam
perjalanan.
Adik-adik Mahasiswa reformis menjadi penggerak utama
program pada pagi itu. Laungan-laungan keramat mereka
sentiasa disambut dengan amat bersemangat sekali. Sdr.
Mat Sabu memberi ucapan pembuka diikuti oleh Sdr.
Gobalakrishnan. Sdr. Lim Guan Eng menyusul dan
kelihatan begitu terharu dengan sambutan yang
diberikan. Ditambah pula dengan nostalgia kehidupan
lampaunya di situ.......beliau menyatakan bagai tidak
percaya akan singgah lagi ke 'rumah lama'nya!
Adik-adik Mahasiswa tidak ketinggalan menyerikan
program pagi itu dengan persembahan teater dan
deklamasi sajak. Emosi mereka yang hadir kelihatan
terikut-ikut sama dengan 'mood'watak yang ditonjolkan
di dalam teater yang pendik tetapi amat berkesan itu.
Seperti menjadi satu kemestian, lagu 'Suara Rakyat'
dinyanyikan dengan spontan selepas itu.
Upacara seterusnya adalah deklarasi oleh aktivis Irene
Xavier yang merupakan satu-satunya tahanan wanita ISA
yang sempat menghabiskan masa hampir setahun di situ.
Belon dilepaskan sebagai tanda pembebasan dari akta
yang kejam itu. Kemudian kami semua berarak
beramai-ramai ke tempat ceramah dan forum di Markas
PAS yang berhampiran sambil bertakbir, menyanyikan
lagu-lagu reformasi. Perarakan diketuai oleh barisan
pemimpin dan di hadapan sekali adalah Sdr. Ruslan
Kassim. Kesesakan lalu lintas berlaku seketika di mana
separuh jalan dipenuhi oleh perarakan. Namun
kenderaan-kenderaan yang melalui jalan tersebut pada
masa itu begitu 'sporting' dan bekerjasama memberikan
laluan kepada kami.
Ceramah pun dimulakan di Markas PAS, Kampung Pasir,
Kemunting, tidak berapa jauh dari Kem Tahanan.
Penceramah-penceramah yang mengambil bahagian adalah
Dr. Syed Husin Ali, Sdr. Mahfuz Omar, Sdr. Lim Guan
Eng, Sdr. Ezam, Sdr. Ruslan Kassim dan lain-lain lagi.
Program tamat pada jam hampir 1.00 tengah hari. Dalam
pada itu pengunjung pengunjung dapat melihat pameran
yang disediakan di dalan bangunan berkenaan dengan
kisah-kisah tahanan ISA. Yang menariknya adalah
poskad-poskad lukisan oleh anak-anak bekas tahan ISA
yang diberikan secara percuma kepada
pengunjung-pengunjung. Di samping itu kami berpeluang
menurunkan tanda tangan beramai-ramai di atas sebidang
kain putih sebagai tanda sokongan untuk memansuhkan
ISA.
Sesungguhnya peluang berhimpun seperti ini amat
bermakna sekali. Saya sempat bersama-sama
reformis-reformis dari KL yang memang tidak pernah
mengenal erti penat dan lelah untuk terus memberikan
sokongan kepada setiap program untuk rakyat. Semasa
berkumpul inilah kami dapat bertukar-tukar cerita dan
perkembangan tentang gerakan reformasi di tempat
masing-masing. Tali persahabatan semakin dieratkan dan
azam juga terus diperkukuhkan. Semuanya
berjanji,Insyaalah dengan izin Allah s.w.t., untuk
bertemu lagi pada 5 Nov. nanti di Jalan Kebun, Shah
Alam biarpun sesetengahnya kini telah pun diekori oleh
SB-SB ke mana sahaja mereka pergi. Memang benar hanya
satu perkataan untuk kezaliman.........LAWAN!
LAWAN TETAP LAWAN!
ALLAHUAKBAR!ALLAHUAKBAR!ALLAHUAKBAR!
Kak Id 2000