Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite


Surat Terbuka Buat Ahmad Rusdi

Malaysia merupakan negara yang bagus???
Saya ingin menanya saudara LTL yg menulis di artikel di atas. Adakah saudara merasakan bahawa Malaysia adalah satu negara yg tidak bagus???Jika jawapan anda adalah ya, sila keluar dari Malaysia dan jangan sesekali tinggal di Malaysia. Muka tak malu, tinggal kat Malaysia nak mengata Malaysia pula,kalau tak suka balik negeri kau kat Indon tu.Inilah contoh orang yg bodoh dan berfikiran tak waras. Orang bersusah payah menarik pelabur melabur kat negara, dia lagi suka negara ni menjadi macam kat Kelantan kan, yg rakyatnya terpaksa merempat mencari kerja kat negeri orang, oii tak maluke..atau kamu ni memang tak bersekolah.Memang orang-orang sebeginilah yg banyak menyusahkan negara, dan menyusahkan rakyat Malaysia. Jika kamu ni bodoh sangat akan aku terangkan kenapa PM tu nak menarik ramai pelabur-pelabur asing masuk ke negara kita. Salah satunya nak mengembangkan ekonomi( bila ekonomi jatuh tahu terngaga-ngaga nak menyalahkan Kerajaan), satu lagi memberi peluang pekerjaan kepada anak tempatan ( kerja melambak malas nak kerja pastu nak menyalahkan Kerajaan, tak campur lagi merompak, mencuri harta orang tu sebab malas nak kerja!!),menaikkan mata wang, bila mata wang naik, bolehlah pelajar Malaysia yg di luar negara tu bertahan takdela teruk sangat mak bapak kat kampung nak membayarnya, Bila pelabur masuk, negara kita di kenali dan majulah negara kita..........................Tapi nak menerangkan kepada org bodoh+bangang macam kau ni tak perlulah, sebab kau lebih suka anak beranak kau merempat cari kerja dan tak makan kan, takpelah kalau kau nak teruskan berperangaii camni teruskan semoga anak beranak kau akan merempat ke negara lain satu hari nanti dan semoga ALLAH akan membuka hati kau ni untuk bersekolah atau belajar banyak-banyak ilmu dunia dan akhirat.....

Saudara Ahmad Rusdi,

Mak datuk, terperanjat beruk aku. Secara tidak sengaja aku klik ruang forum. Kalau aku tak tengok ruangan forum, aku memang tak tahu saudara mengkritik aku dengan teruknya mengenai artikel saya yang bertajuk Malaysia Merupakan Negara Yang Bagus??? Di sini saya ingin mengambil kesempatan untuk memberi penjelasan.

Okay, saudara mengatakan saya ini tidak patriotik dan suka melihat Malaysia mundur macam Kelantan kan. Saudara tidak boleh mempertikaikan kesetiaan saya terhadap negara. Saya pun tak suka lihat Malaysia merupakan negara yang tidak bagus. Tiada satu pun kerajaan yang sempurna (perfect) di dunia. Kepincangan dan salah laku kerajaan ada hadnya. Apa yang berlaku ialah kerajaan membelakangkan kepentingan rakyat. Rakyat telah bertoleransi dan bersabar dengan kerajaan sekian lama. Namun kesabaran rakyat ada hadnya. Pemecatan DSAI menjadi titik tolak kebangkitan rakyat membantah tindakan kerajaan yang semakin melampau. Adakah kita masih mahu mengatakan bahawa Malaysia masih merupakan negara yang bagus sedangkan hak asasi manusia dirampas, kebebasan bersuara disekat, rakyat dihukum dan ditindas, prinsip rukun negara diperlekehkan, perlembagaan persekutuan dicabuli, kewibawaan mahkamah tercemar, ketidakstabilan politik, ekonomi negara sudah pulih ke tidak, beban hutang negara keliling pinggang, agama Islam (Al-Quran, Nabi, Ulamak dan Hadis dihina), rasuah, kronisme, nepotisme dan banyak lagi. Inilah hakikat yang saya terpaksa terima dengan hati yang berat.

Apabila kerajaan BN khususnya UMNO mengalami kekalahan yang agak teruk dalam pilihan raya umum tahun lepas, saya jangkakan Perdana Menteri akan berhati-hati dan tidak berani lagi membuat tindakan yang melampau agar tidak lagi menambahkan kemarahan rakyat. Namun jangkaan saya jauh meleset. PM tidak puas hati dan tidak dapat menerima hakikat bahawa rata-rata rakyat sudah tidak menerimanya lagi. Oleh itu pelbagai macam balas dendam dilakukan untuk menghukum rakyat yang menolak kepimpinannya. Adakah saudara boleh menerima salah laku PM yang kamu sayangi? Adakah Malaysia merupakan negara yang bagus apabila rakyat ditindas oleh kerajaan yang dipilih oleh rakyat? Adakah saudara membenarkan kerajaan membuli rakyat?

Saya tidak mahu lihat masalah dalaman negara bertambah teruk sehingga ke satu tahap yang tidak boleh diselesaikan dengan mudah seperti Indonesia. Masih ada lagi sinar buat Malaysia. Inilah masa terbaik buat pejuang reformasi untuk menyelamatkan Malaysia dari menjadi sebuah negara yang tidak bagus. Saya tidak membodek BA tetapi saya lihat masalah negara adalah tanggungjawab semua. Tak kan kalau keadaan macam Indonesia barulah kita terhegeh-hegeh membetulkan keadaan yang sangat meruncing? Kerana cintakan dan sayangkan Malaysia dan tidak sanggup melihat Malaysia dimusnahkan dan dijahanamkan oleh BN dan menjadi sebuah negara yang tidak bagus, saya membantah terhadap kerajaan.

Kita mesti bertanggungjawab dan patut dipersalahkan kerana membenarkan kerajaan semakin bermaharajarela. Saya malu dan tak sanggup berbuat apa-apa membiarkan kerajaan melakukan tindakan yang semakin melampau. Saya mesti berbuat sesuatu. Berdemo di jalan raya tak boleh takut kena dibelasah oleh polis anjing. Dengan menyiarkan artikel untuk dibaca dan dikongsi bersama adalah jalan terbaik untuk menyedarkan orang ramai yang masih berada dalam lamunan seperti saudara. Saya sangat sedih dan sakit hati apabila kerajaan dengan beraninya tidak mengendahkan kemarahan rakyat dan terus melakukan agenda jahat mereka. Rakyat pilih kerajaan BN untuk membangunkan negara bukan nak menyusahkan rakyat. Adakah saudara tidak berasa bersalah kerana menghalalkan segala salah laku kerajaan dan secara tidak langsung mengatakan Malaysia adalah negara yang bagus?

Adakah saudara tahu atau pura-pura buat tak tahu mengenai tiadanya respon dari rakyat Malaysia melekatkan bendera jalur gemilang di kereta dalam meraikan hari kemerdekaan pada tahun ini. Kalau tidak silap saya, pada tahun 1997, boleh katakan hampir semua kereta dikibarkan bendera Malaysia. Tetapi pada tahun ini, kita boleh bilang dengan jari berapa ramai rakyat menyahut seruan kerajaan malah Menteri Pelancongan pun tertanya-tanya apa sebabnya. Jawapannya mudah rata-rata orang ramai membantah tindakan kerajaan yang semakin melampau. Ini adalah protest senyap rakyat. Adakah ini bermakna rakyat tidak patriotik? Rakyat memang sayangkan negara. Ini adalah amaran rakyat kepada kerajaan supaya jangan melakukan sebarang tindakan yang akan menambahkan lagi kemarahan rakyat. Rakyat seperti saya inginkan negara Malaysia sebuah negara yang bagus. Tak kan nak duduk diam seperti saudara dan biarkan kerajaan buat sesuka hati dan jadikan negara yang tidak bagus. Kalau begitu saudara boleh meminta rakyat (bukan saya seorang) keluar dari Malaysia dan jangan sesekali tinggal di Malaysia. Nampaknya hujah saudara adalah dangkal dan tidak berasas sama sekali.

Saudara kata kita mesti berterima kasih kepada usaha kerajaan untuk menarik pelaburan asing. Apa yang saya boleh katakan ia adalah tanggungjawab kerajaan untuk memajukan ekonomi negara. Buat apa kita pilih wakil rakyat melalui pilihan raya, tak kan nak makan gaji buta kut tanpa buat kerja! Maknanya kita berterima kasih kepada kerajaan dan pada masa yang sama tutup mata sebelah dan anggap segala salah laku kerajaan tidak pernah berlaku. Saya setuju kita perlu juga berterima kasih tetapi apa yang saya ingin jelaskan iaitu saudara cuba mencampur-adukkan usaha kerajaan untuk memajukan negara dengan salah laku kerajaan. Betulkan saya jika salah, saya berpendapat adalah tidak mengapa jika rakyat mempunyai keluarga bahagia, pekerjaan, kereta dan rumah dan pada masa yang sama membenarkan dan menghalalkan kerajaan membuat sesuka hati. Dengan adanya orang seperti saudara masalah rasuah, tiada hak asasi dan kebebasan bersuara berlaku.

Saudara mengatakan orang-orang sebeginilah macam saya yang banyak menyusahkan negara dan yang menyusahkan rakyat. Siapa yang menjadi punca negara dan rakyat menjadi susah? Siapa yang katakan penjajahan bentuk baru oleh kuasa asing akan berlaku pada ucapan hari Kemerdekaan ke 43? Siapa kuasa asing tersebut? Namakan kuasa asing dan buktikan dakwaan tersebut? Kalau ada benarnya dakwaan tersebut, kenapa ada orang mahu mengajak kuasa asing melabur di Malaysia dan mahu menjual sebahagian saham (pemilikan korporat) seperti MAS kepada kuasa asing. Orang sebeginilah yang memburukkan nama baik pelabur asing. Adakah pelabur asing ingin melabur di Malaysia setelah mengetahui tuduhan tersebut? Tuduhan tersebut adalah satu tuduhan yang sangat serius yang hanya menyusahkan negara dan rakyat sendiri.

Siapa yang mencampur tangan perjanjian Petronas dengan Terengganu? Ia memberitahu kepada satu dunia bahawa negara Malaysia tidak menghormati perjanjian yang telah dibuat. Apakah tanggapan pelabur asing mengenai hal ini? Adakah mereka (pelabur asing) yakin bahawa segala perjanjian yang dibuat tidak akan diubah dengan sewenang-wenangnya? Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Shafie Mohd Salleh berkata bahawa pelaburan asing di BSKL berjumlah 18.3% pada bulan Januari pada tahun ini dan pada bulan Jun pada tahun ini juga berjumlah 9.81%. ia adalah suatu penurunan yang mendadak. Begitu juga dengan jumlah nilai bersih pelaburan langsung asing menurun dari 2.1 billion (1Q 2000) kepada 1.9 billion (2Q 2000). Sudah tentu jumlah pelaburan akan bertambah kurang dari 9.81% menjelang akhir tahun ini. Apakah sebabnya? Sama ada saudara suka atau tak suka, saya bimbang tanggapan pelabur asing mengenai Malaysia adalah tidak bagus.

Saudara tidak boleh mengatakan hanya rakyat Kelantan merempat dinegeri orang mencari makan. Ramai juga rakyat dari negeri-negeri lain mencari kerja di negeri Selangor dan Kuala Lumpur dan bandar-bandar besar lain. Saya masih ingat mengenai kartun Lat yang mengisahkan seekor tikus bersantai di tengah jalan raya di bandar raya Kuala Lumpur. Ia menunjukkan ramai rakyat telah pulang ke kampung semasa hari perayaan. Adalah tidak logik jika kesemua rakyat yang balik ke kampung adalah rakyat Kelantan.

Diharap saudara berucap banyak-banyak. Adalah diharap ALLAH akan memberi petunjuk kepada saudara supaya sedar dari lamunan. Belum lagi terlambat saudara jika ingin balik ke pangkal jalan.

LTL


        
Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com