Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite                             


Kenyataan Akhbar KAMI

Suhakam mesti proaktif selesaikan pengharaman Detik, Eksklusif dan Al-Wasilah

Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) pada petang Jumaat lalu, 6 Oktober, bertempat di Hotel Pan Pacific Kuala Lumpur berjaya mengadakan satu pertemuan tertutup dengan empat pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), setelah menghantar memorandum tujuh perkara pada 27 September 2000.

Ia dipengerusikan Naib Pengerusi Suhakam, Tan Sri Harun Mahmud Hashim, manakala tiga anggota Suhakam lain ialah Prof Mehrun Siraj, Prof Hamdan Adnan dan Zainah Anwar. Wakil KAMI terdiri dari 16 aktivis media yang mewakili tiga penerbitan yang diharamkan, Eksklusif, Detik, dan Wasilah, serta wakil Malaysiakini, Harakah, Tamadun, Muslimah, penulis buku-buku politik, dan beberapa penerbitan makalah alternatif tidak berkala

Pada asasnya, KAMI sangat prihatin dengan pencabulan terhadap kebebasan akhbar, seperti pengharaman tiga penerbitan (Detik, Eksklusif dan Al-Wasilah) dan juga sekatan terhadap akhbar pembangkang, Harakah.

Dalam pertemuan itu, KAMI telah mengemukakan beberapa aduan spesifik, perbincangan umum tentang isu-isu kebebasan akhbar serta cengkaman Kementerian Dalam Negeri (KDN), khususnya merujuk Akta Penerbitan dan Mesin Cetak, juga amalan double-standard KDN dalam menguatkuasakan akta dan peraturan berkaitan. KAMI menekankan tuntutan asas supaya konsep pemberian permit penerbitan dihapuskan.

Sebagai pertemuan awal, KAMI pada dasarnya menghargai sikap Suhakam untuk mengemukakan cadangan kepada Parlimen bagi melakukan reformasi undang-undang (law reform).

KAMI juga menghargai sikap terbuka Suhakam untuk menerima aduan berhubung isu-isu kebebasan akhbar. KAMI menganggap pertemuan pertama itu sebagai “jambatan” ke arah hubungan kerja yang lebih erat dan mesra untuk memantapkan hak kebebasan bersuara dan kebebasan akhbar.

Bagaimanapun, seperti disuarakan dalam pertemuan itu, KAMI ingin mengulangi di sini bahawa tiga penerbitan yang diharamkan itu mesti diberikan penyelesaian segera. Hak asasi tidak akan terbela jika majalah dan akhbar berkenaan gagal dihidupkan semula. Begitu juga dengan sekatan ke atas kekerapan penerbitan Harakah dan menghadkan jualannya kepada ahli-ahli PAS sahaja – ia mesti dihapuskan.

Badan bebas itu tidak berperanan apa-apa jika tiga penerbitan ini tidak mendapat pembelaan yang sewajarnya. Kes ini merupakan cabaran paling besar kepada pengerusinya, Tan Sri Musa Hitam.

KAMI percaya Tan Sri Musa dan Suhakam mempunyai tujuan dan cita-cita memperjuangkan kebebasan akhbar seperti disuarakan dalam pertemuan itu pada Jumaat lalu.

KAMI menuntut Suhakam berperanan campur tangan atau sebagai “orang tengah” antara kumpulan wartawan dan penerbit dengan KDN. Peranan Suhakam sangat penting dalam hal ini kerana Akta Penerbitan dan Mesin Cetak (PPPA), pada Seksyen 13, tidak memberikan keadilan kepada penerbit, penulis, penyunting dan pencetak. Sebaliknya semua kuasa dibolot oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

KAMI juga serius memikirkan untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas KDN merujuk aduan adanya amalan menyalahguna kuasa oleh kakitangannya. KAMI juga sedang dalam perbincangan bagi mencabar peruntukan dalam PPPA yang menafikan hak mahkamah untuk dirujuk.

Dalam hal ini dan juga dalam kes-kes pencabulan hak asasi yang lain, Suhakam haruslah memainkan peranan yang lebih proaktif. Badan itu harus mempunyai rasa kepekaan yang sangat tinggi, dan mengambil inisiatif seperti yang dipertanggungjawabkan.

Sikap Suhakam – walaupun baru beroperasi dalam tempoh beberapa bulan – hal kes ini menentukan sejauh mana kredibilitinya di depan rakyat dan di peringkat antarabangsa.

AHMAD LUTFI OTHMAN
Jurucakap KAMI
Urusetia Kumpulan Aktivis Media Independen
24B, Jalan 4/21D,
Medan Idaman Gombak,
53100 Kuala Lumpur
Tel pejabat: 03-40230175
Tel tangan: 019-3722079

Kuala Lumpur
9 Oktober 2000


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com