Saya tidak tahu sejauh mana kejayaan kempen boikot media. Namun, dua eksperimen membuktikan kempen tersebut gagal. Pertamanya, soal kegagalan mahasiswa al-Azhar. Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia [JPM] di Mesir, Wan Bakar Wan Dagang mengeluarkan kenyataan bahawa ramai mahasiswa gagal sedangkan pihak Syu‘un Tullab [Hal Ehwal Pelajar] masih belum mengeluarkan data dan perangkaan lagi. Masyarakat secara umumnya menerima laporan akhbar tersebut. Namun, isu ini masih belum menyerlahkan kegagalan boikot media.
Kedua, apabila Menteri Besar Kelantan yang juga Mursyidul ‘Am PAS, Tuan Guru Nik Aziz dalam kuliahnya menegur wanita berpakaian seksi kerana membangkitkan syahwat lelaki dilaporkan media massa utama, sekali lagi masyarakat melenting. Malangnya, pemimpin parti dalam Barisan Alternatif sendiri ada yang melatah. Ramai yang menyangka, Tuan Guru mengeluarkan kenyataan khusus, sedangkan hakikatnya kenyataan itu dipetik daripada kuliah pagi Jumaat di Dewan Zulkifli, Bangunan PAS Kelantan.
Kenyataan yang lurus itu dibengkokkan sehingga awam membaca bahawa Tuan Guru menuduh punca terbesar berlakunya kes rogol adalah pemakaian wanita. Maka, mereka yang mengaku memperjuangkan hak wanita melenting lalu mengeluarkan kenyataan balas. Wanita UMNO sudah tentulah akan mengeksploitasi isu ini dan mengambil kesempatan untuk menghentam Tuan Guru sebagai pemimpin spiritual PAS.
Saya hairan, kenyataan Tuan Guru yang benar ini dipandang salah oleh wanita itu sendiri. Mereka mengaku memperjuangkan hak-hak wanita dan membela nasib wanita, tetapi sedangkan dalam masa yang sama, mereka sendiri seolah-olah merestui eksploitasi besar-besaran terhadap kaum wanita.
Tuan Guru tidak menuduh satu-satunya punca berlaku kes rogol adalah pakaian seksi wanita. Namun, apa yang saya fahami dalam kuliah tersebut [kerana saya sendiri menghadiri kuliah berkenaan], wanita membuka ruang kepada terjadinya kes rogol dengan berpakaian seksi. Memang wujud faktor-faktor lain, tetapi ruang yang ada ini diambil kesempatan oleh perogol untuk mencari mangsa.
Secara peribadi saya tidak melihat berpakaian seksi merupakan hak asasi manusia. Analogi mudah yang saya kemukakan adalah wanita berbikini. Katakan, seorang wanita berbikini di pantai, saya kira dalam keadaan masyarakat mengalami keruntuhan akhlak dapat menerima situasi tersebut. Bagaimana pula dengan wanita yang berbikini di tengah-tengah bandar? Tidak mustahil kalau wanita tersebut ditangkap kerana mengganggu ketenteraman awam.
Nasihat Tuan Guru sebagai Menteri Besar adalah supaya para ibu bapa menjaga anak-anak gadis mereka daripada berpakaian seksi. Ini disebabkan oleh, sejak kebelakangan ini sudah mula wujud kecenderungan anak-anak gadis tempatan di Kota Bharu berjalan-jalan dengan pakaian yang menjolok mata.
Jangan samakan Kota Bharu dengan Kuala Lumpur. Sebagai sebuah bandar yang mahu tampil dengan imej Islam, fenomena ini sudah pasti menghadang sedikit sebanyak usaha ke arah itu. Apatah lagi, Tuan Guru melihat daripada kaca mata Islam dan menegur atas sifat ulama’. Tidak wajar, non-Muslim mencampuri urusan agama Islam.
Aurat merupakan urusan Islam. Berpakaian yang mendedahkan aurat merupakan dosa di sisi Islam. Mempertikaikan perkara ini bererti mencampuri urusan umat Islam. Sepatutnya pemimpin BA yang non-Muslim sedar akan sempadan dan had ini.
Dalam masa yang sama, pemimpin BA yang beragama Islam tidak wajar melihat hal ini sebagai perkara yang salah. Apatah lagi menerima bulat-bulat daripada media massa memperlihatkan kegelabahan mereka sendiri. Apabila mereka bersetuju untuk memboikot media, sudah pastilah tidak wajar mereka memetik berita daripada media berkenaan sebagai bukti kukuh. Kenyataan Tuan Guru diambil semasa kuliah, bukannya kenyataan akhbar. Sesiapa yang hadir pada hari itu boleh sahaja memetik kata-kata itu. Tentulah, pemberita yang berada di situ, dapat mengeksploitasi kenyataan itu.
Isu sekarang sebenarnya bukan isu wanita berpakaian seksi mendorong berlakunya kes rogol. Tetapi isu hari ini adalah isu kepercayaan terhadap media massa. Apabila BA melancarkan boikot media, sewajarnya pemimpin BA tidak menjadikan berita akhbar sebagai punca perselisihan di kalangan mereka. Alangkah malangnya, andainya pemimpin BA boleh dilaga-lagakan dengan berita yang mereka sendiri katakan tidak dapat menerimanya. Saya harap pemimpin BA tidak sebodoh yang diharapkan oleh media massa!
Hj Mohnas