ANAK-ANAK muda kini tidak lagi boleh diremehkan. Mereka adalah tenaga pendesak baru yang mampu mencorakkan persada politik tanahair. Kalau dulu, apabila anak muda disogokkan dengan pelbagai aneka hiburan, maka lalailah mereka dengan dunia angan-angan dan impian tidak bertepi. Apa yang berlaku di sekitar tidak diambil peduli. Lantaklah pemimpin memperkosa hak rakyat, menyamun duit awam, terbabit dengan skandal demi skandal, rasuah, kacau bini orang, memenuhkan tembolok dengan khazanah kekayaan negara.
Hal politik berikan saja kepada orang politik, kami tak mahu campur. Lagipun, tentulah pemimpin di atas tahu apa yang sewajarnya dilakukan. Apa guna nak sakit-sakitkan kepala memikirkan masalah yang akhirnya kita sendiri tak boleh selesaikan. Pendek kata, secara tidak langsung, mereka percaya orang-orang tua yang memerintah negara tahu apa yang terbaik untuk menyelesaikan masalah yang timbul. Mereka tidak pernah pertikai atau mempersoalkan kenyataan pemimpin. Benar kata pemimpin, benarlah kata mereka. Putih kata orang atas, putihlah yang mereka terima.
Tetapi senario kini sudah berubah. Mereka menjadi lebih sensitif, kritis dan cekap menilai. Tidak semestinya semua kata pemimpin adalah benar dan betul, malah sebahagiannya among kosong belaka. Apabila Mahathir kata Anwar berakhlak buruk, mungkin mereka boleh percaya, tetapi apabila dituduh Anwar meliwat dan berzina dengan bini orang, mereka mahu bukti. Walaupun yang menuduhnya seorang Perdana Menteri, tetapi tidak semestinya PM sentiasa bercakap benar, malah mungkin PM lebih pembohong daripada orang lain.
Justeru, anak-anak muda ini menuntut bahan bukti di atas segala tohmahan yang dilemparkan. Sememangnya mereka tidak kenal arif siapa Anwar, tetapi salahkah mereka mempersoalkan alasan PM yang rapuh dan dangkal itu? Jangan ingat, mentang-mentang kami orang kecil tidak berpengaruh, maka kamu boleh perbodohkan kami sewenang-wenangnya. Betul, kami tidak belajar tinggi, sebahagiannya masih menganggur atau menjadi buruh kasar, tapi kami juga ada harga diri. Dan kami mahu pemimpin kami juga mempunyai harga diri.
Jangan temberang tidak bertempat. Cakap biar beralas. Mahu berpolitik pun berpada-pada, jangan sampai memfitnah liwat. Politik bukan tiket untuk halalkan yang haram. Jaga sikit adab sopan.
Kesalahan jenayah harus dibuktikan sejelas-jelasnya, tanpa sedikitpun keraguan. Dunia anak-anak muda sebelum ini nampaknya mudah untuk ditangani pemimpin-pemimpin Umno. Di kampus, kebebasan mereka sudah terkurung. Akta Universiti cukup menakutkan pelajar. Manakala pensyarah ditarik hidung. Dalam alam realiti, masing-masing sibuk mengejar kerjaya. Ramai juga yang tumbang dek pengaruh dadah. Tidak kurang yang hidup yang untuk berseronok. Dunia muda yang sekali, jadi, enjoylah dulu. Bila tua baru bertaubat. Bukankah kubur asing-asing, masing-masing jaga dirilah.
Anwar mengubah segalanya. Anak-anak muda mendapat hero baru. Mereka mengunjungi rumah Anwar di Bukit Damansara, mendengar ceramah. Baru mereka tahu, ada dunia lain yang lebih seronok, lebih mencabar, lebih berjejak, lebih real. Anwar membuka dimensi baru dalam kehidupan anak-anak muda. Segala kepincangan pemerintah terdedah. Memang sebahagiannya berlaku di depan mata mereka, tapi anak-anak muda ini tidak menyedarinya. Maklumlah, mereka melihat tetapi tidak nampak. Mereka mendengar, tapi tidak faham yang didengarnya. Anwar menolong anak-anak muda memahami dunia sekeliling. Justeru, tanpa sedar, meskipun tidak pernah mengenali Anwar sebelum dipecat 2 September 1998, perlahan-lahan mereka mengkagumi Anwar. Anwar semakin dekat dengan jiwa sanubari mereka.
Mereka kini menemui diri mereka sendiri. Rupanya dalam kehidupan ini ada nilai yang kudus dan murni yang boleh diperjuangkan. Hidup bukan sekadar kerjaya, makan minum, tidur bangun, bersantai dan berlibur. Makna kehidupan ini menjadi lebih indah dan mencabar. Anak muda harus berpegang dengan prinsip. Tentukan arah hidup, lalu gigitlah dengan penuh yakin. Mengapa dibiarkan orang lain yang menentukan nasib negara ini, bukankah kita juga berhak? Ini bukan dunia orang politik semata-mata. Mempastikan negara berada pada landasan yang betul adalah tanggungjawab bersama. Kita sendiri mesti memikulnya.
Jangan mudah menyerahkan untung nasib bangsa kepada sekelompok dua yang sanggup menjual negara demi kepentingan sendiri. Kita bukannya bodoh sangat untuk membiarkan orang lain terus beromong kosong sementara mereka pula bukannya pandai sangat mengatur rentak masa depan negara. Kenapa tidak kita bersama-sama menjaga negara ini? Kalau benar Anwar dizalimi, mengapa harus kita berdiam membatu. Pedulikan sikap teman-teman lama Anwar yang banyak mendapat laba dari pengaruh dan kedudukan bekas TPM itu? Hebat mana sangat kuasa PM sehingga kata-katanya dianggap titah yang tidak boleh ditegur? Mengkritik, menegur, hatta memaki PM tidak bermakna khianat dengan negara. Mahathir bukannya Malaysia. Malaysia bukannya Mahathir. Mahathir adalah abdi rakyat, yang harus memikul amanah kepemimpinan sebaik mungkin. Mahathir tidak layak untuk ditakuti kerana kuasa yang dimilikinya berpunca dari rakyat. Seribu Mahathir pergi, seribu tokoh menawarkan diri.
Anak muda generasi baru sudah bijak menelah rentak tari politik. Tekad dan azam mereka padu, mahu bersama-sama membina negara tercinta. Kepemimpinan bukan boleh diwariskan oleh sang penguasa kepada suku-sakatnya sahaja. Mereka juga mahu turut mencipta sejarah baru meskipun mereka adalah orang-orang yang tidak ternama. Segala dongeng dan mitos tentang kuasa akan dilenyapkan.
Othman Muda