Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite                             


Persetujuan Debat satu lawan Satu

YB Datuk Hishamuddin Tun Hussien
Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia,
Tingkat 38, Menara Dato Onn,
PWTC, Jalan Tun Ismail,
50480 KUALA LUMPUR
9 OKTOBER 2000

YB Datuk,

PERSETUJUAN DEBAT SATU LAWAN SATU

Perkara di atas adalah dengan hormatnya dirujuk.

Isu perdebatan antara YB Datuk dengan saya dan antara Pergerakan Pemuda Umno dengan Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) telah tercetus semenjak sebelum pilihanraya lagi selepas Pemuda Umno hangat memanipulasikan isu ancaman dan masa depan hak orang Melayu. Tetapi kerana sikap pihak YB Datuk yang berdolak dalih dan tidak menghadiri majlis-majlis perdebatan anjuran mahasiswa telah menyebabkan cabaran DPP Pusat untuk berdebat ini tidak menjadi kenyataan.

Kini isu perdebatan ini berbangkit semula selepas Pemuda Umno cuba menjadi hero yang memperjuangkan hak istimewa orang Melayu selepas kenyataan Datuk David Chua dan tuntutan 17 perkara oleh Suqiu yang dikatakan mempertikaikan hak istimewa tersebut. DPP Pusat telahpun menerima surat persetujuan Pemuda Umno untuk berdebat sebelum ini, tetapi kenyataan YB Datuk di Sepang pada 29 September lalu yang mencabar saya untuk berdebat satu lawan satu kini menjadikan debat ini bukan lagi antara DPP Pusat dengan Pemuda Umno, tetapi antara saya dengan YB Datuk.

Saya bersetuju untuk berdebat satu lawan satu dengan YB Datuk atas isu yang berkaitan dengan kepentingan orang Melayu. Pihak YB Datuk boleh menentukan tarikh, masa dan tajuk yang sesuai untuk diperdebatkan. Demi kebaikan pihak YB Datuk, saya mencadangkan perdebatan ini diadakan secara terbuka di Dewan Merdeka PWTC. Pengerusi perdebatan juga boleh dipilih oleh YB Datuk mengikut keselesaan pihak YB Datuk. DPP Pusat akan menyediakan kemudahan untuk menyiarkan perdebatan secara langsung menerusi Harakah Web TV.

Saya berharap pihak YB Datuk tidak berdolak dalih lagi. Sekian, Terima kasih.

Yang Menjalankan Amanah,

YB HAJI MAHFUZ HAJI OMAR
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com