Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite                             


Kes Rogol, Liwat dan Bunuh

Rujukan Bahan :
Laman PRM

Kes rogol, liwat dan bunuh yang berlaku ke atas jurutera komputer, Noor Suzaily Mukhtar, merupakan tragedi negeri yang sangat dahsyat. Pemandu bas yang disyaki melakukannya itu bukanlah seorang manusia, bahkan barangkali seekor syaitan. Apabila didapati bersalah, beliau hendaklah dihukum dengan seberat-berat hukuman. Tetapi ini tidak akan mengubati luka yang dalam lagi bisa di hati keluarga dan bakal tunang mangsa.

Sekarang dibongkar bahawa penjenayah syaitan ini mempunyai rekod yang buruk. Memang diakui bahawa tidak mungkin bagi pihak bas mengetahui tentang rekodnya, melainkan penjenayah mengakuinya sendiri, atau pun pihak syarikat bas terlebih dulu merujuk kepada polis sebelum mengambil beliau bekerja. Sudah tentu beliau tidak akan mengaku sendiri. Lagi pula sekarang ini tidak ada peraturan supaya setiap pemohon untuk pekerjaan yang boleh melibatkan keselamatan orang ramai mesti dirujuk oleh syarikat kepada polis dahulu.

Namun begitu, ada beberapa soalan lain yang timbul. Bagaimanakah cermin tingkap adalah kaca yang gelap? Bukankah ada peraturan yang tidak membenarkan kereta, melainkan yang tertentu saja, menggunakan cermin gelap? Tidak adakah peraturan yang sama bagi bas? Lagi pula, tingkap kaca itu tidak boleh dibuka. Mungkin ini kerana bas berhawa dingin. Akan tetapi bukankah lebih baik jika tingkap boleh dibuka, sekurang-kurangnya untuk membolehkan udara masuk apabila alat hawa dingin rosak? Seterusnya, mengikut kebiasaan, bukankah bas sepatutnya ada konduktor? Tidak adakah peraturan yang serupa sekarang?

Ada pihak yang hendak menggunakan kes malang ini sebagai bukti betapa salahnya Nik Aziz kerana mengatakan bahawa keganasan seks berlaku oleh sebab adanya wanita yang berpakaian tidak sopan atau mengghairahkan. Ini memang betul. Akan tetapi pihak ini terlupa bahawa peristiwa ini serta implikasinya ke atas masyarakat adalah lebih besar daripada menegakan siapa yang betul dalam kontroversi pakaian dan hak berpakaian semata-mata. Kami memang bersetuju bahawa tidak tepat untuk menganggap bahawa keganasan seks berpunca hanya daripada pakaian yang mengghairahkan. Mereka yang beranggapan demikian mudah saja dituduh seolah-olah hendak menyalahkan wanita saja, dan tidak mahu mengambil kira banyak faktor lain yang mengakibatkan masalah sosial.

PRM merasa bimbang kerana masalah sosial, bukan terbatas hanya kepada keganasan seks semata-mata, semakin serius sekarang ini. Berdasarkan laporan akhbar, masalah rogol û seperti bapa rogol anak dan orang tua rogol kanak-kanak û dan masalah dadah adalah paling meluas di kalangan orang Melayu. Mengapakah perkara ini berlaku? MCA mendakwa masalah pil Ecstasy serius di kalangan pemuda Tionghua, manakala MIC pula mendakwa masalah ôgangsterismö lebih teruk di kalangan orang India. Mereka masing-masing mengadakan kempen berasingan untuk mengatasi masalah dalam masyarakat mereka. Adakah UMNO pula nanti akan mengadakan kempen sendiri untuk orang Melayu?

Segala masalah sosial yang melanda masyarakat kini harus dikaji secara keseluruhan, bukan terasing-asing mengikut kaum. Sebenarnya satu kajian yang mendalam perlu dibuat untuk mengenal pasti punca-punca utama masalah sosial ini. Kajian ini melibatkan aspek-aspek politik, ekonomi, budaya, sosial, hiburan, gender dan juga psikologi perseorangan. Mungkinkah corak pembangunan tidak seimbang yang dilaksanakan sekarang ini merupakan salah satu punca utama? Ini dan macam-macam lagi soalan perlu dijawab. Dasar yang dibuat dan tindakan yang diambil hendaklah berasaskan kajian dan analisis yang teliti. Mengharamkan atau menghapuskan saja sesuatu tanpa kajian yang teliti tidak akan menjamin masalah sosial itu akan hilang.

Dr Syed Husin Ali
Presiden PRM
13 Oktober 2000


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com