Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite


"Perkelahian" Nik Aziz vs Mohd.Khir: bukan setakat ...

"Perkelahian" (perbalahan atau perdebatan sahaja?) antara Nik Aziz, MB Kelantan dengan Mohd.Khir Toyo, MB Selangor bukanlah setakat perkelahian antara dua tokoh atau dua personality sahaja. Perkelahian itu juga tentu lebih jauh daripada hanya perkelahian antara " ustaz tua lawan doktor muda" (istilah Aman Rais).

Perkelahian itu sekurang-kurangnya melibatkan dua dimensi yang lain, iaitu a) pertarungan antara UMNO dengan PAS, dan b) Perbezaan pendekatan dan tafsiran antara " Islam UMNO" dengan "Islam PAS".

Walaupun Nik Aziz dijemput datang ke Selangor untuk "mengajar agama", tetapi sudah jadi pengetahuan umum bahawa jemputan itu dilakukan oleh ahli dan penyokong PAS dan ceramah atau pengajian itu pula diladakan di surau dan masjid yang "dikuasai" oleh ahli dan penyokong PAS.

Oleh itu, bolehlah diduga kedatangan Nik Aziz akan mengembangkan lagi pengaruh dan kekuatan PAS. Jika dugaan ini benar, maka tindakan Mohd.Khir menyekat Nik Aziz mengajar agama di Selangor bukanlah untuk menghalang rakyat Selangor belajar agama, tetapi yang sebenarnya adalah untuk "menyekat" pengaruh PAS. Inilah dimensi politik daripada perkelahian ini.

Jadi soal menyekat Nik Aziz mengajar agama atau Mohd.Khir menghina ulama, saya rasa tidak timbul dan bukan isu yang relevan dengan kes ini..

Lagipun "ilmu agama" yang diajar oleh Nik Aziz untuk orang awam di surau atau masjid yang berkenaan tentulah bukan ilmu yang "tinggi-tinggi" yang tak mampu diajar oleh orang lain. Kalau rakyat Selangor hendak belajar agama setakat ilmu yang diajar oleh Nik Aziz, saya rasa di Selangor tidaklah kekurangan guru agama yang boleh menyampaikan ilmu tersebut.

Tentang dimensi agama pula, sama ada betul atau tidak betul, dan sama ada kita suka atau tidak suka, saya rasa sudah jadi pengetahuan umum juga, bahawa UMNO dan PAS mempunyai pendekatan yang berbeza terhadap Islam dan perjuangan Islam. " Islam UMNO" ialah Islam yang moden dan progresif, yang sesuai dengan tempat dan masa. Mungkin Islam UMNO bercampur bid'ah dan hurafat dan "anti hadis" (istilah Tok Misai), tetapi itulah Islam yang mampu diamalkan oleh majoriti oleh Melayu di Malaysia masa ini Dan matlamat perjuangan UMNO adalah untuk "membangunkan umat Islam" mengikut pendekatan tersebut

. Sebaliknya, Islam PAS ialah Islam tradisional dan konservatif. Islam yang hendak dilaksanakan oleh PAS ialah Islam yang ideal, yang mungkin mampu dilaksanakan oleh nabi dan ulama pada zaman permulaan Islam dahulu, tetapi mungkin hanya merupakan utopia dalam konteks masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa pada zaman kini.

Dalam keadaan sekarang, UMNO tentu mahu mempertahankan pendekatan dan tafsirannya terhadap Islam yang diamalkannya selama ini. Oleh itu, ulama yang diperlukan oleh UMNO tentulah ulama yang membawa pendekatan dan tafsiran Islam yang moden dan progresif juga, dan orangnya tentulah bukan Nik Aziz.

Salman Madani


        
Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com