|
PEMBAYARAN ROYALTI PETROLEUM OLEH PETRONAS KEPADA KERAJAAN NEGERI TERENGGANU
OLEH
SETIAUSAHA KERAJAAN TERENGGANU
- Pembayaran Royalti Petroleum oleh Petronas kepada Kerajaan Negeri Terengganu
bukanlah isu Parti Pas. Ia adalah urusan Kerajaan Negeri menuntut hak bagi Negeri,
Kerajaan dan Rakyat Negeri Terengganu.
- Pembayaran Royalti Petroleum ini menjadi hak kerajaan dan rakyat Negeri Terengganu
kerana terdapat satu perjanjian yang ditandatangani dan dimeterai oleh Petronas dan
Kerajaan Negeri pada 22 Mac 1975. Dalam perjanjian itu disebut dengan jelas bahawa
royalti akan dibayar secara tunai sebanyak 5% kepada Kerajaan Negeri oleh Petronas
dari perolehan kasar yang didapati oleh Petronas dari jualan minyak dan gas yang
dikeluarkan di daratan dan di luar pantai Negeri Terengganu.
- Perjanjian di antara Petronas dan Kerajaan Negeri Terengganu tentang pembayaran 5%
royalti ini adalah berikutan dengan pengujudan Akta Kemajuan Petroleum 1974 di mana
hakmilik sumber petroleum dan gas diserah kepada Petronas. Sebelum akta ini
dikanunkan Petroleum dan gas ditafsirkan sebagai sama dengan sumber galian yang lain
seperti emas, bijih timah, bijih besi, tembaga, bauxite dan lain-lain. Bagi
sumber-sumber galian ini menurut undang-undang tanah dan galian adalah kepunyaan
Kerajaan Negeri sekiranya ianya terjumpa di kawasan daratan. Justeru itu, sekiranya
petroleum dan gas dijumpai di daratan Negeri Terengganu, sebelum Akta Kemajuan
Petroleum 1974 dikanunkan, maka sumber petroleum dan gas itu adalah kepunyaan
Kerajaan Negeri. Bagi mengelakkan keadaan sedemikian berlaku dan bagi menentukan
sumber petroleum dan gas dimiliki oleh Petronas di mana saja ianya dijumpai di
Malaysia, baik dalam laut atau di daratan maka Akta Kemajuan Petroleum 1974
dikanunkan dengan Kerajaan Negeri menyerahkan haknya bagi sumber petroleum dan
gas sekiranya dijumpai di daratan.
Dengan penyerahan haknya atas sumber petroleum dan gas di daratan ini maka satu
perjanjian ditandatangani pada 22 Mac 1975 di antara Petronas dan Kerajaan Negeri
menetapkan Petronas kena bayar 5% royalti kepada Kerajaan Negeri di atas hasil kasar
yang diperolehi dari sumber petroleum dan gas baik dijumpai di daratan mahupun di
lautan.
- Petroleum dan gas mulai dikeluarkan oleh petronas pada tahun 1978 berdasarkan
kepada ‘production sharing agreement’ dengan kontraktornya terutama EPMI. Mulai
tahun 1978 Kerajaan Negeri Terengganu telah menerima royalti petroleum dari
petronas sehinggalah tahun 1999. Jumlahnya adalah sebanyak RM 13.2 juta pada tahun
1978 dan RM498.7 juta pada tahun 1999. Selama 22 tahun Kerajaan Negeri menerima
royalti petroleum 5% ini dan tidak semena-mena dalam tahun 2000 royalti ini
diberhentikan dan ditubuhkan Wang Ihsan. Royalti dan Ihsan mempunyai erti yang
berlainan. Royalti adalah bayaran yang diwajibkan manakala ihsan adalah pemberian atas
kasihanbelas, derma yang tidak diwajibkan. Perbezaaan inilah yang dimaksudkan
Kerajaan Persekutuan telah merampas hak Kerajaan Negeri.
- Wang Ihsan ini tidak pula disalurkan terus kepada Kerajaan Negeri tetapi ditubuhkan
Jawatankuasa Peringkat Pusat (JPP) untuk mentadbir dan mengurus wang ihsan ini.
Adakah patut sebuah Kerajaan yang telah diberi mandat secara sah oleh rakyat untuk
mengurus dan mentadbir sesebuah negeri termasuk menggubal dasar, pelaksanaan dan
pengurusan kewangan dipindahkan kepada sebuah Jawatankuasa Peringkat Pusat yang
tidak tahu secara dekat tentang kemahuan dan hasrat kerajaan dan rakyat Negeri
Terengganu. Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri merangkap ADUN Pengkalan
Berangan dalam persidangan DUN pada 12 September 2000 menyatakan penubuhan
JPP merupakan satu tamparan dan penghinaan kepada kakitangan pentadbiran awam di
Negeri Terengganu. Dianggap seolah-olah kita kakitangan awam peringkat Negeri
tidak bertanggungjawab, tidak pandai merancang dan mengurus hasil atau wang yang
diterima oleh Kerajaan Negeri. Perlu orang lain, satu jawatankuasa, satu ‘remote
control’ untuk memberitahu, mengarah apa yang patut kita buat. Dua puluh dua tahun
sudah kita mengurus dan mentadbir wang royalti ini dan saya percaya pentadbir dan
kakitangan Negeri Terengganu lebih arif dan memahami kehendak kerajaan dan rakyat
negeri ini.
- Walaupun kecewa dengan tindak tanduk kerajaan pusat itu, kakitangan awam Negeri
Terengganu hendaklah bangkit membuktikan bahawa kita mampu mentadbir,
mengurus, merancang dan melaksana program, projek, aktiviti kerajaan di Negeri ini
setanding jika tidak lebih hebat dari apa yang dilaksanakan di peringkat persekutuan.
Sebelum inipun telah terbukti kita mampu; dengan jabatan-jabatan/agensi Kerajaan
Negeri memenangi beberapa anugerah dan hadiah yang dipertandingkan di peringkat
persekutuan. Kita kakitangan awam Negeri mesti terus mempertingkatkan prestasi
kita dalam menunaikan tugas dan tanggungjawab.
- Dengan terhentinya pembayaran royalti ini hasil negeri terjejas dengan banyaknya. Pada
kadar harga petroleum hari ini yang agak tinggi iaitu US$35.00 satu tong royalti yang
patut diterima oleh Kerajaan Negeri adalah dalam linkungan RM1 billion setahun.
Bayangkanlah betapa banyak hasil Kerajaan Negeri yang ditahan oleh Kerajaan Pusat.
Duit inilah kita buat bayar gaji dan elaun, bayaran utiliti, pemilikan harta modal, bayaran
tanggungan, caruman kepada badan-badan kerajaan, pihak berkuasa tempatan dan tidak
ketinggalan membiayai projek-projek pembangunan untuk faedah rakyat dan
kesejahteraan rakyat dan perkembangan dan kemajuan ekonomi negeri untuk masa
depan. Ini meliputi pembinaan kemudahan-kemudahan bagi rakyat seperti rumah kos
rendah, jalan, bekalan air, bekalan letrik, perparitan, saliran dan lain-lain. Juga
membiayai pembangunan pertanian, perindustrian dan pendidikan. Hasil dari royalti ini
diguna untuk projek-projek negeri. Manakala projek persekutuan seperti sekolah,
PPRT, hospital, klinik, jalan persekutuan termasuk lebuhraya adalah dibawah
peruntukan persekutuan dan tidak berkait dengan wang royalti. Sekiranya wang royalti
yang ditukar kepada wang ihsan diguna untuk membiayai projek-projek persekutuan
maka ini adalah tidak betul. Saya berharap ini tidak akan berlaku. Jika tidak ini
bermakna Kerajaan Negeri membiayai projek persekutuan.
- Tanpa pendapatan dari royalti petroleum hasil negeri dari punca lain dalam keadaan
sekarang adalah dianggarkan sebanyak RM180 juta sahaja setahun. Gaji kakitangan di
Jabatan Kerajaan Negeri yang mempunyai ‘establishment’ adalah sebanyak RM146 juta
setahun. Ini tidak termasuk gaji untuk kakitangan kontrak dan sambilan, bayaran utiliti,
elaun-elaun dan gaji bagi kakitangan badan-badan berkanun, agensi dan pihak berkuasa
tempatan. Hakikatnya, tanpa bantuan lain atau punca hasil lain keadaan kewangan
negeri adalah amat tenat. Dalam keadaan tenat kita mestilah sentiasa berjaga-jaga,
dalam kawalan setiap ringgit yang kita belanjakan. Di sini kita amat perlu kepada
keperihatinan, kefahaman dan pengorbanan kakitanan awam di Negeri Terengganu.
- Dengan kesuntukan kewangan negeri maka beberapa langkah terpaksa diambil dan
dipohon keperihatinan, kefahaman dan pengorbanan kakitangan awam di Negeri
Terengganu iaitu:-
- Perbelanjaan-perbelanjaan mengurus akan dikawal dengan rapi. Sekiranya
permohonan perbelanjaan terpaksa ditolak maka diharapkan kakitangan awam
negeri memahami kedudukannya.
- Peraturan-peraturan dan pekeliling-pekeliling Kerajaan hendaklah dipatuhi
sepenuhnya. Peraturan dan pekeliling baru akan dikeluarkan berkait dengan
penjimatan perbelanjaan.
- Kakitangan perkhidmatan awam negeri boleh memberi sumbangan bermakna
kepada Kerajaan dengan meningkatkan prestasi kerja. Gandakan output kerja
kita. Sebagai contoh pengeluaran surat hakmilik tanah. Lebih banyak hakmilik
tanah dikeluarkan maka lebih cepat Kerajaan dapat memunggut hasil tanah.
- Kerajaan sedang mengkaji langkah-langkah yang boleh diperkenalkan untuk
meningkat punca hasil negeri.
- Terdapat kakitangan Kerajaan Negeri yang merasakan Kerajaan Negeri tidak berkuasa
lagi tanpa hasil royalti petroleum. Sehinggakan terdapat kakitangan awam sanggup
bersikap anti kerajaan melalui tindakan-tindakan mereka. Amalan sebegini adalah amat
bertentangan dengan Perintah Am dan Peraturan Pentadbiran. Kakitangan awam
hendaklah bersikap berkecuali dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab rasminya
dan hendaklah patuh kepada dasar yang ditetapkan oleh Kerajaan yang memerintah
pada masa kini. (abide by the Government of the day).
- Bersama-samalah kita berdoa kepada Allah s.w.t. semuga hak Kerajaan dan rakyat
Negeri akan dikembalikan kepada yang hak. Allah s.w.t. telah berfirman yang
bermaksud yang benar tetap benar dan yang batil tetap batil. Disamping itu
bersama-sama jua kita berusaha dan bertindak bagi menghadapi situasi yang ujud ini.
Sekian.
|