Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite


Kenyataan Media: 07 November 2000

KEZALIMAN DEMI KEZALIMAN

Parti Keadilan Nasional [keADILan] amat tidak berpuashati dengan cara pihak polis mengendalikan orang ramai yang ingin turut serta dalam "Perhimpunan 100,000 Rakyat" yang dianjurkan oleh satu Jawatankuasa Khas Barisan Alternatif pada 05 November kelmarin. Tindakan pihak polis menyekat dan menutup jalan-jalan menghala ke Kg. Jalan Kebun, di mana program diatur untuk dilaksanakan, adalah satu usaha sia-sia untuk menakut-nakut serta menafikan hak rakyat.

Apa yang sangat dikesalkan ialah perhimpunan tersebut asalnya dirancang untuk diadakan di dalam kawasan milik (harta persendirian) ahli keADILan yang juga pimpinan keADILan Bahagian Shah Alam. Kekerasan yang digunakan oleh pihak penguasa dengan merobohkan pentas, merampas sistem pembesar suara dan menangkap para petugas yang sedang menyediakan persiapan; mencerminkan sikap tidak bertanggungjawab regim pemerintah negara ini sekarang. Cara pihak pemerintah melayani parti-parti politik pembangkang, seolah-olah pemimpin pembangkang tidak mempunyai pengetahuan dan hak dalam sistem undang-undang negara ini. Kehadiran Presiden dan Pengerusi parti-parti Barisan Alternatif yang juga Ahli Yang Berhormat yang dipilih oleh rakyat, tidak dihormati dan diendahkan. Malah mereka juga turut ditembak dengan gas pemedih mata dan disembur air asid. Apakah regim Mahathir menganggap pimpinan utama Barisan Alternatif ini tidak faham hak dan tanggungjawab mereka sehingga diperlakukan begitu rupa?

Sikap dan tabiat bodoh sombong para pemimpin Barisan Nasional yang memperalatkan anggota keselamatan hendaklah dihentikan segera. Fenomena ini akan menghancurkan negara yang tercinta ini. Sistem pemerintahan BN semakin jauh daripada demokrasi yang mereka sendiri canang-canangkan. Kedegilan dan keangkuhan mereka hanya akan menyeksa rakyat jelata dan merugikan diri mereka sendiri serta menjatuhkan maruah dan imej negara di mata dunia. Dalam peristiwa kelmarin, hanya kerana ingin menunjukkan kekuasaan mereka, 122 orang telah dianiaya dan ditahan. Kami difahamkan bahawa kebanyakan yang ditahan telah dipukul, diterajang, ada yang dipecahkan cermin kereta sebelum direntap keluar dan pelbagai kekasaran sebelum diangkut ke dalam kenderaan polis untuk dibawa ke tempat tahanan. Malah diberitakan ada yang cedera teruk dan difahamkan sedang menerima rawatan rapi di sebuah hospital semalam.

Sesungguhnya rakyat sudah tidak gentar lagi dengan tindak-tanduk dan taktik menakut-nakutkan dengan pelbagai pembohongan yang dilakukan. Rakyat kini semakin sedar akan hak dan tanggungjawab mereka di dalam negara tanah tumpah darah mereka. keADILan yakin bahawa kesedaran ini akan terus meningkat dan rakyat akan melakukan yang terbaik untuk negara mereka; dan sudah barang pasti pemimpin pembohong, kaki rasuah yang durjana akan terpinggir akhirnya.

keADILan sekali lagi menyeru para pemimpin Barisan Nasional supaya menghentikan penganiayaan terhadap rakyat. keADILan dengan tegas mendesak mereka yang ditangkap dan ditahan ekoran daripada peristiwa kelmarin dibebaskan segera tanpa syarat.

MOHD ANUAR TAHIR
Setiausaha Agung


        
Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com