Oleh : Aman Rais
Puteri Umno nampaknya menggerunkan Wanita Umno. Ketuanya, Datin Seri Rafidah Aziz dan barisan exconya jelas sekali tidak bersetuju dengan cadangan ini. Banyak dolak dalik mereka untuk melengah-lengahkan penubuhan sayap baru Umno ini.
Tokoh yang nampak beria-ia benar mahu melihat Puteri Umno ditubuhkan ialah Presiden parti itu, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad. Beliau yang mencadangkan penubuhan sayap puteri ini sebagai usaha untuk menarik golongan muda dan profesional menyertai Umno.
Dr Mahathir sedar Umno semakin dipinggirkan oleh golongan muda. Beliau tahu sesuatu yang drastik perlu dilakukan untuk menyaingi Muslimat PAS yang semakin lantang dan semakin memikat hati puteri-puteri Melayu terutamanya golongan berpendidikan tinggi dan profesional.
Justeru Presiden Umno itu mencadangkan penubuhan Puteri Umno khusus untuk dianggotai oleh pemudi Melayu. Tanggungjawab menubuhkan sayap baru itu diserahkan kepada pergerakan Wanita Umno. Malangnya barisan pimpinan pergerakan itu melihat Puteri Umno sebagai saingan dan cabaran kepada kerelevanan kewujudan pergerakan itu.
Barisan exco pergerakan itu dan pemimpin di peringkat bahagian menganggap Puteri Umno akan dijadikan platform untuk mengumpul pengaruh dan pentas untuk melancarkan serangan bagi merebut kedudukan dalam pergerakan itu kelak.
Itu sebabnya penubuhan sayap baru ini tertangguh-tangguh. Exco Wanita sudah beberapa bermesyuarat mengenainya. Majlis Tertinggi Umno sudah tiga kali membincangkannya tetapi kata putus mengenai statusnya belum dicapai.
Golongan muda dianggap musuh
Ahli MT, Azalina Othman mencadangkan supaya Puteri Umno dibuka keahliannya kepada wanita yang berusia 40 tahun ke bawah. Bagaimanapun cadangannya ditentang keras oleh barisan exco pergerakan itu.
Ada juga yang mencadangkan sayap ini diberikan status sebagai sebuah kelab sahaja dan anggotanya terdiri daripada mereka yang berusia bawah 25 tahun. Cadangan ini juga ditolak kerana tidak menepati kehendak penubuhan sayap itu.
Seorang veteran Wanita Umno berkata, dibimbangi jika mereka yang berusia bawah 25 tahun sahaja menganggotainya, Puteri Umno akan menjadi kelab gadis-gadis kilang atau anak-anak bawah umur sahaja.
"Golongan berpendidikan tinggi dan professional berusia antara 25-35 tahun. Kalau Puteri Umno hanya untuk budak-budak, bagaimana wanita yang cerdik pandai dan profesional nak menyertainya?" Soalnya.
Sebenarnya perbezaan pendapat dalam penubuhan Puteri Umno telah mendedahkan tembelang pergerakan Wanita Umno. Ia jelas menunjukkan pergerakan itu tidak berubah walaupun tuntutan rakyat menuntutnya melakukan reformasi diri.
Wanita Umno terus bercakaran sesama sendiri. Para pemimpinnya hanya mementingkan keuntungan peribadi. Nasib Umno jatuh nombor corot, golongan muda dianggap musuh.
Ketara sekali para pemimpin pergerakan ini tidak menyenangi kemasukan golongan muda dan profesional kerana bimbang kedudukan dan kepentingan mereka akan tergugat.
Kalangan pemimpin Wanita Umno tahu golongan muda terutamanya yang berpendidikan tinggi akan bersuara lantang dan bekerja keras untuk mencapai cita-cita atau idealisme mereka.
Darah muda ini akan berlumba-lumba menunjukkan bakat masing-masing dan pastinya satu hari nanti akan memberi cabaran dalam perebutan pucuk pimpinan pergerakan itu.
"Kemungkinan ini tidak begitu disenangi oleh barisan pemimpin Wanita Umno yang ada sekarang yang sebahagan besar daripada mereka menduduki kedudukan sekarang atas dasar ampu dan bodek," tambah bekas pemimpin pergerakan itu lagi.
Parti pengampu
Perbalahan mengenai Puteri Umno ini menunjukkan wujudnya banyak ketidaksefahaman di dalam parti itu. Ia menunjukkan hanya Presiden sahaja yang mahukan perubahan sedangkan juak-juak lainnya kekal dengan sikap lama. Bila ini berlaku yang mendapat nama dan kesan buruk ialah Umno.
Orang muda yang memerhatikan gelagat pemimpin-pemimpin Umno yang lebih mementingkan diri sendiri makin menjauhi parti ini. Mereka tidak nampak mengapa perlu menganggotai Puteri Umno atau parti itu bila kalangan pemimpinnya sendiri tidak begitu menyenangi kemasukan mereka.
Golongan pemuda pemudi Melayu sedar Umno sedang terdesak. Para pemimpinnya kini menjadi desprado yang dahagakan sokongan kaum muda untuk meneruskan kesinambungan kekuasaan mereka.
Sebenarnya tugas untuk menarik golongan muda mendekati Umno bukan satu kerja mudah. Kalaupun Puteri Umno berjaya ditubuhkan, belum tentu ia mampu memikat puteri-puteri Melayu. Muda-mudi sekarang berfikiran kritis, tidak mudah digula-gulakan dengan retorik nasionalisme sempit.
Umno perlu membuktikan bahawa ia satu parti yang masih relevan untuk orang Melayu di samping melakukan perubahan-perubahan drastik untuk menawan hati golongan muda dan professional.
Jika Umno kekal dengan sifat sekarang - sebagai parti untuk golongan pengampu, hanya mementingkan kontrak, saham, konsesi balak dan permit perniagaan serta tidak boleh ditegur, golongan muda yang masih segar idealismenya akan mencari alternatif lain.
Kalau penubuhan Puteri Umno ini gagal direalisasikan atau tidak berjaya untuk mencapai matlamatnya setelah ditubuhkan, mungkin lebih baik seluruh barisan pimpinan pergerakan itu ditukar dengan tenaga baru. Azalina mungkin calon terbaik untuk memikul tanggungjawab ini.
Petikan : MalaysiaKini.com