Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Majlis Agama Islam Dan Yayasan Melaka Menyalahgunakan Pinjaman

Kenyataan akhbar Naib Pengerusi Wanita DAP merangkap ADUN bagi kawasan Durian Daun, Betty Chew Gek Cheng di Melaka pada 18 November 2000


Kerajaan Negeri Mesti Mengambil Tindakan Ke atas Lapuran Ketua Audit Negara 1999 Bahawa Majlis Agama Islam Dan Yayasan Melaka Menyalahgunakan Pinjaman Kerajaan Negeri Sebanyak RM5.8 Juta Untuk Membeli Saham

Kerajaan negeri mesti mengambil tindakan ke atas Lapuran Ketua Audit Negara 1999 untuk negeri Melaka bahawa Majlis Agama Islam(MAIM) dan Yayasan Melaka telah menyalahgunakan pinjaman kerajaan negeri sebanyak RM5.8 juta untuk membeli saham. Lapuran Ketua Audit Negara 1999 untuk Melaka yang baru dikeluarkan semalam menyatakan sehinggga hari ini, wang RM5.8 juta masih belum dipulangkan kepada kerajaan negeri.

Sebelum ini saya telah mempersoalkan mengapa Yayasan Melaka tidak memulangkan wang pinjaman RM4 juta beserta faedah 10%, yang digunakan untuk membeli saham Syarikat Dazun Papers Sdn Bhd. Ini disahkan dalam Lapuran Ketua Audit Negara 1999 yang menyatakan pinjaman RM4 juta ini diberikan pada 15 Jun 1998 dengan syarat bahawa Syarikat Dazun Papers Sdn Bhd mestilah disenaraikan dalam BSKL.

Kalau syarikat ini tidak berjaya disenaraikan dalam BSKL, maka RM4 juta berserta faedah 10% setahun mestilah dibayar balik dengan segera. Yayasan Melaka juga dikehendaki memberikan 816,326 unit saham Moratorium Powertek Bhd sebagai sekuriti kepada kerajaan negeri untuk pinjaman RM4 juta itu. Lapuran Ketua Audit Negara 1999 menyatakan malangnya wang RM4 juta telah disalahgunakan seperti berikut:-

Saham Moratorium Powertek Bhd tidak diserahkan sebagai cagaran sepertimana yang ditetapkan dalam perjanjian;

Bila Syarikat Dazun Papers Sdn Bhd gagal disenaraikan dalam BSKL, wang RM4 juta berserta faedah 10% tidak dibayar balik sungguhpun diminta berkali-kali oleh kerajaan negeri; dan

Yayasan Melaka tidak menggunakan pinjaman bagi menjelaskan pembelian saham syarikat Dazun Papers Sdn Bhd, sebaliknya menggunakan pinjaman tersebut untuk membeli saham Paracorp Bhd yang jelas melanggar syarat-syarat perjanjian yang dikenakan oleh kerajaan negeri.

Keadaan yang sama serius berlaku di Majlis Agama Islam Melaka(MAIM), di mana pinjaman RM1.8 juta dikeluarkan untuk membeli 1,800 lot saham Powertek Bhd. Bayaran telah dibuat pada 22 April 1996 dan pinjaman ini perlu dibayar balik setahun kemudian, iaitu April 1997. Sungguhpun saham Powertek Bhd sudah dijual oleh MAIM, bayaran balik pinjaman RM1.8 juta masih belum dibuat! Lapuran Ketua Audit Negara menyatakan kegagalan ini disebabkan hasil penjualan saham Powertek Bhd telah digunakan oleh MAIM untuk menjelaskan bayaran hutang pembelian tanah kepada kerajaan negeri berjumlah RM3 juta. Adalah tidak beretika, tidak bertanggungjawab dan menyalahi peruntukan undang-undang untuk MAIM meminjam wang membeli saham, menjualnya dengan dengan keuntungan besar tetapi tidak mahu gunakan hasil jualan untuk membayar balik pinjaman wang.

Lapuran Ketua Audit Negara berkata tidak ada sebarang tindakan oleh Bendahari kerajaan negeri ke atas MAIM dan Yayasan Melaka. Oleh kerana wang RM5.8 juta adalah milikan rakyat dan isu ini berkepentingan awam, Ketua Menteri Melaka Datuk Mohd. Ali Rustam mesti menjelaskan usaha yang diambil untuk mendapat balik wang RM5.8 juta ini dan mengapa tidak ada tindakan keras ke atas mereka yang bertanggungjawab ke atas skandal ini.


        
Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com