|
Kegagalan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk mengelakkan pembelian komputer oleh 55,800 daripada 57,000 ahli KWSP bukan alasan bagi Kabinet untuk memberi kawalan monopoli kepada Pos Malaysia atas pengeluaran wang untuk membeli komputer
Kegagalan KWSP untuk mengelakkan pembelian komputer oleh 55,800 daripada 57,000 ahli KWSP bukan alasan bagi Kabinet untuk memberi kawalan monopoli kepada Pos Malaysia atas pengeluaran wang untuk membeli komputer. Pengerusi Eksekutif Pos Malaysia Bhd, Tan Sri Zainol Mahmood telah mengakui bahawa monopoli yang diberi kepada Pos Malaysia akan membolehkan Pos Malaysia mengaut keuntungan, tetapi beliau juga berkata bahawa penyalahgunaan harus dielak.
Alasan sedemikian tidak dapat diterima kerana KWSP harus mengesan dan menghukum pembekal komputer dan ahli-ahli yang menyalahgunakan wang bagi pembelian komputer. Jika mereka yang mengelak untuk membayar beratus juta ringgit cukai dapat dikesan dan dihukum, adalah susah untuk percaya bahawa Kementerian Kewangan tidak dapat mengesan mereka yang menyalahgunakan beberapa ribu ringgit untuk membeli komputer. KWSP adalah tidak bertangunggungjawab dengan tidak menghukum orang yang menipu untuk mengeluarkan wang.
Jelasnya, alasan mengelakkan penyalahgunaan kuasa dijadikan suatu alasan untuk membolehkan Pos Malaysia menikmati kuasa monopoli atas penjualan komputer. Mengapakah Pos Malaysia, sebuah korporat swasta yang bukan badan awam, dipilih? Saya menyokong 10,000 pembekal dan peniaga komputer membantah keputusan Kabinet yang memaksa ahli-ahli KWSP hanya membeli daripada Pos Malaysia berdasarkan 5 sebab:
Pos Malaysia menawarkan komputer daripada 10 buah syarikat komputer sahaja, ini akan meletakkan syarikat-syarikat ini dalam kedudukan yang istimewa. Ini akan mengehadkan kebebasan pelanggan untuk memilih dan mungkin menyebabkan harga komputer yang dibayar oleh ahli-ahli KWSP lebih mahal daripada harga yang ditawarkan oleh pembekal mereka sendiri;
ini akan menjejaskan perniagaan 10,000 pembekal komputer di seluruh negara, membolehkan Pos Malaysia memonopoli pembelian komputer;
Siapakah yang akan melayan keperluan pelanggan? Dengan membeli terus daripada Pos Malaysia, pelanggan tidak ada hubungan dengan pembekal, jika pelanggan memerlukan bantuan untuk memperbaharui program mereka atau menyelesaikan masalah pengisian atau komputer, maka tiada orang yang boleh bantu mereka. Ini tidak akan menggalakkan celik teknologi maklumat;
ini akan menjejaskan keyakinan antarabangsa terhadap komitmen kerajaan untuk mewujudkan sebuah masyarakat teknologi maklumat dan k-ekonomi yang memerlukan persaingan bebas, dan bukan monopoli; dan
ini akan menunjuk kepada komuniti perniagaan antarabangsa betapa seriusnya kronisme dan pilih kasih di Malaysia sehingga sektor terbuka seperti teknologi maklumat disalahgunakan dan dijadikan monopoli.
Tan Sri Zainol juga berkata bahawa Pos Malaysia dapat memastikan kejayaan kempen kerajaan "Satu rumah, satu komputer" dengan membolehkan kumpulan berpendapatan rendah membli komputer pada harga yang berpatutan dan sokongan teknikal terbaik melalui Pos Malaysia yang mempunyai rangkaian dan jentera untuk memberi perkhidmatan. Tuntutan sedemikian amat diragui kerana orang ramai telah membuat banyak aduan tentang penghantaran surat yang lambat.
Jika Pos Malaysia tidak dapat menghantar surat biasa tepat pada masa, maka orang awam tidak ada keyakinan terhadap perkhidmatan ‘e-mel’ yang pantas dan berkesan apabila Pos Malaysia memasuki industri komputer?
Saya menyeru kerajaan supaya menarik balik keputusan itu. Kuasa monopoli yang diberi kepada Pos Malaysia hanya akan menfaedahkan Pos Malaysia dengan menjejaskan pembekal komputer dan usaha Malaysia untuk mencapai k-ekonomi dan masyarakat teknologi maklumat.
Kenyataan akhbar Timbalan Naib Pengerusi Kebangsaan, Lim Guan Eng di Petaling Jaya pada 16 November 2000
|