Saya mengutuk pernyataan Naib Pengerusi Parti Keadilan Nasional (PKN), Tian Chua mengenai "budaya baru pilihan raya kecil Lunas" dengan sekeras-kerasnya, kerana ini merupakan "sosial darwinisme" yang sungguh berbahaya di mana hak perwakilan parti politik yang relatif lemah dan kaum minoriti akan dinafikan sama sekali.
Saya berasa terkejut dengan pernyataan Tian Chua bahawa "Selepas ini apabila Barisan Alternatif (BA) memilih calon pilihan raya, calon tidak semestinya ditentukan oleh parti yang sepatutnya menghantar calon mereka untuk bertanding mengikut tradisi, misalnya, dari pilihan raya kecil Teluk Kemang sehingga kini, kami hanya menghantar calon yang paling berkelayakan."(Liputan dari SIN CHEW JIT POH pada 22-11-2000)
Sebenarnya saya tidak ingin membuat pernyataan lagi untuk mengutuk Tian Chua, supaya Barisan Nasional tidak dapat menggunakan apa-apa isu lagi demi menjejaskan pertandingan BA di Lunas, tetapi Tian Chua membuat pernyataan yang begitu membahaya dan ekstrem lagi dan saya terpaksa berbuat demikian.
"Budaya baru" ini merupakan suatu konsep di mana "yang lemah harus dijadikan mangsa bagi pihak yang kuat" kerana menurut konsep Tian Chua, minoriti dan parti komponen yang lemah akan diabaikan oleh PKN, misalnya pilihan raya kecil Lunas sebenarnya harus ditandingi oleh calon yang keturunan kaum India, dan tradisi ini dihormati oleh BN atau BA pada pilihan raya yang lalu, akan tetapi, kini "budaya baru" Tian Chua telah memusnahkan tradisi ini. Tambahan pula, kawasan tradisi DAP juga dirampas oleh "budaya baru" Tian Chua.
Lantaran itu, saya tidak merasa hairan kenapa Parti Rakyat Malaysia (PRM) terpaksa bergabung dengan PKN supaya tidak dihapuskan oleh "budaya baru" ini. Sebagai pemimpin politik sayap kiri, adakah Pengerusi PRM, Syed Hussein Ali setuju dengan "budaya baru" ini?
"Budaya baru" ini adalah bahaya kerana sekiranya jumlah cawangan parti dan keahlian yang banyak akan dijadikan penentu pembahagian kuasa, maka "affirmative action" akan terhapus. Akhirnya BA akan dipimpin oleh pihak yang terkuat, "duduk sama rendah, berdiri sama tinggi" cuma merupakan satu kosmetik publisiti sahaja.
Jika kepemimpinan tertinggi PKN bersetuju dengan pernyataan Tian Chua dan BA berpendapat bahawa pemilihan calon akan berdasarkan "budaya baru" ini, maka saya akan menyeru kepemimpinan tertinggi pusat DAP supaya keluar dari BA kerana hegemoni PKN adalah lebih hebat daripada BN, sekurang-kurangnya UMNO masih menghormati tradisi "pembahagian kuasa" dan tidak merampas kerusi parti komponen BN yang lain, manakala PKN telah merampas 2 kerusi dari DAP.
Nampaknya, Tian Chua sengaja menjejaskan hubungan DAP dan PKN serta perpaduan BA demi merampas kerusi bagi orangnya. Dengan mengemukakan "budaya baru" ini, Tian Chua telah merampas hak perwakilan minoriti dalam politik, oleh yang demikian, beliau benar-benar merupakan seorang opurtunis yang hanya mementingkan kerusi pilihan raya.
Kenyataan akhbar Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP merangkap Setiausaha Kebangsaan DAPSY, Hew Kuan Yau di Petaling Jaya pada 22 November 2000