Perletakan jawatan Kula: DAP akan berpegang kepada wawasan Malaysian Malaysia dan mereka yang anti orang Melayu adalah kumpulan yang anti rakyat Malaysia; mereka yang anti orang Cina adalah orang yang anti rakyat Malaysia, dan mereka yang anti orang India adalah orang yang anti rakyat Malaysia
Saya ingin meluahkan kesedihan dan kekesalan saya terhadap perletakan jawatan bekas Ahli Parlimen bagi Teluk Intan, Sdr M. Kulasegaran sebagai Timbalan Setiausaha Agung DAP demi membantah dan mengutuk penghindaran calon India sebagai calon pilihan raya kecil Lunas. M Kula juga telah menyampaikan keprihatinan komuniti India dan menyokong pendirian DAP dalam pemilihan calon India, walaupun DAP tahu bahawa dengan berbuat demikian, DAP mungkin akan kehilangan kerusi itu dan mengakibatkan DAP menghadapi krisis
M. Kula memberitahu ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat bahawa komuniti India menganggap kejadian ini sebagai suatu penghinaan terhadap mereka dan tidak boleh dibiarkan begitu sahaja tanpa balasan. Walau bagaimanapun, Sdr Kula akan terus berada dalam parti untuk memperjuang hak rakyat Malaysia termasuk komuniti India.
Walaupun DAP kehilangan seorang pemimpin India yang penting, tetapi ini menunjukkan bahawa DAP sanggup berkorban untuk memperjuang wawasan Malaysian Malaysia. Biarlah saya menyatakan bahawa DAP menganggap mana-mana orang yang anti orang Melayu adalah orang yang anti rakyat Malaysia, mereka yang anti orang Cina adalah orang yang anti rakyat Malaysia, mereka yang anti orang India adalah orang yang anti rakyat Malaysia dan mereka yang anti orang asli adalah orang yang anti rakyat Malaysia.
Seperti Sdr Kula katakan,
"Hari ini tibalah giliran orang India diabaikan, siapakah yang akan akan diabaikan kemudiannya?"
Tidak seperti pemimpin-pemimpin Keadilan tertentu, Sdr M Kula telah menunjukkan bahawa pemimpin DAP tidak mengamalkan politik ugutan dan tipu. Beberapa pemimpin Keadilan yang cuba menunjukkan mereka sebagai alternatif kepada BN mempunyai tingkah laku yang tidak berbeza daripada pemimpin BN yang mengutuk Presiden MCA, Datuk Dr Ling Liong Sik dan ini adalah amat tidak bertanggungjawab.
Walaupun perbuatan beberapa orang tidak mewakili majoriti, tetapi kegagalan kepemimpinan tertinggi Keadilan untuk mengutuk perbuatan salah seorang pemimpin tertinggi mereka menunjukkan bahawa mereka menggunakan politik ugutan dan tipu helah. Ini bukan sahaja melukakan DAP tetapi juga semua rakyat Malaysia, terutamanya komuniti India dan menjejaskan prinsip keadilan dan penghormatan yang diamalkan oleh DAP.
Dengan meletakkan jawatan atas prinsip, Sdr Kula telah menunjukkan bahawa politik ugutan tidak boleh dibenarkan dalam demokrasi Malaysia. Mahatma Gandhi telah berkata bahawa salah satu daripada 7 masalah utama kemanusiaan adalah politik tanpa prinsip. Seperti Sdr Kula, pemimpin-pemimpin DAP sedia berkorban demi mencapai impian politik berprinsip Gandhi dan kami.
Kenyataan akhbar Timbalan Naib Pengerusi Kebangsaan, Lim Guan Eng di Petaling Jaya pada 23 November 2000