Oleh Mohd Sabri Said
PADANG SERAI, 23 Nov (Hrkh) - Ketua Parti KeAdiLan Nasional Bahagian Merbuk, Mustaffa Khalid Hanafi mencabar Ketua Perhubungan Kaum India Parti KeAdiLan Negeri Kedah, K. Munianday @ Ramu supaya menyenaraikan 500 nama ahli KeAdiLan yang dikatakan keluar parti.
Menurut beliau, sebenarnya K.Munianday bukanlah Ketua Perhubungan Kaum India KeAdiLan Negeri Kedah sepertimana yang diperkatakan sebaliknya mencipta sendiri jawatan tersebut untuk kepentingan diri.
"Parti KeAdiLan Merbuk mencabar beliau supaya tunjukkan senarai mereka yang dikatakan keluar KeAdiLan menyokong Barisan Nasional (BN) di hadapan Presiden MIC Dato' Seri Sammy Vellu, " jelasnya.
KeAdiLan Merbuk tambah Mustaffa, tahu siapa sebenarnya K.Munianday dan usah bersandiwara mengatakan beliau ada penyokong untuk membantu MIC menambah undi dalam pilihan raya kecil ini.
Ujarnya, KeAdiLan sendiri merasa senang dengan pengisytiharaan itu kerana beliau merupakan duri dalam daging KeAdiLan Bahagian Merbuk apabila cuba membawa budaya berpuak-puak sebagaimana MIC.
"Elok juga beliau isytihar diri keluar KeAdiLan kerana perananya tidak kemana sebaliknya berbangga dengan jawatan yang dicipta sendiri tambahan lagi beliaumerupakan duri dalam daging KeAdiLan Merbuk, " terangnya dalam pertemuan dengan Harakah.
Menurut Mustaffa Khalid, pernah satu ketika K. Munianday bertindak membelakangkan Jawatankuasa KeAdiLan Merbuk apabila berjumpa sendiri Ketua Pehubungan KeAdiLan Negeri supaya memperuntukkan satu kerusi untuk kaum India di Parlimen Merbuk.
Cara ini tambahnya, sangat memalukan kerana siapa dia K.Munianday yang berlagak pandai sambil membelakangkan Jawatankuasa yang sudah terbentuk.