Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Samy Vellu tidak boleh balik KL

LUNAS, 30 Nov (Hrkh) - Presiden PAS, Dato' Fadzil Mohd Noor mendesak Menteri Kerjaraya, Dato' Seri S Samy Vellu menunaikan janjinya untuk tidak pulang ke Kuala Lumpur selepas calon BA, Saifudin Nasution memenangi pilihan raya kecil Lunas semalam.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Saifudin diumumkan memenangi pilihan raya kecil itu dengan majoriti 530 undi malam tadi.

Sebelum ini, Samy berjanji tidak akan pulang ke Kuala Lumpur jika calon BN, S Anthonysamy kalah dalam pilihan raya ini.

Fadzil dalam kenyataannya juga berkata, kemenangan BA dalam pilihan raya ini membuktikan rakyat Malaysia menolak politik perkauman di negara ini.

"Semua rakyat Melayu, Cina dan India bersatu mengundi calon Melayu, Saifudin Nasution dalam pilihan raya ini bukannya Melayu saja," kata Fadzil.

Para penyokong BA telah mengadakan perhimpunan kesyukuran besar-besaran di padang berhampiran Kelang Lama sebaik sahaja calon mereka diumumkan sebagai pemenang.

Para pemimpin BA termasuk Fadzil, Lim Kit Siang, Saifudin, Azmin Ali (Pengarah Pilihan Raya) dan lain-lain pemimpin berucap di majlis itu.

Masing-masing menyifatkan keputusan pilihan raya ini sebagai satu mesej yang sangat kuat untuk Dr Mahathir dari rakyat pelbagai kaum di Lunas.

Kedah adalah negeri kelahiran Dr Mahathir dan Kubang Pasu yang diwakili oleh beliau berada di negeri Kedah.

Dengan kemenangan calon Keadilan ini, Barisan Nasional (BN) kehilangan kuasa dua per tiga dalam Dewan Undangan Negeri Kedah.

PAS kini mempunyai 12 kerusi, BN 23 manakala Keadilan satu. Dengan kedudukan ini bermakna, BN tidak boleh berbuat sesuka dalam dalam mentadbir negeri Kedah tanpa persetujuan PAS dan Keadilan.

Antaranya, BN tidak boleh meminda Perlembagaan Negeri Kedah tanpa persetujuan mereka.

Sementara itu, calon BN yang kalah, S Anthonysamy, akan mengkaji untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap calon BA setelah kalah dalam pilihan raya itu.

Menurut laporan sebuah akhbar, S Anthony berkata, beliau akan berbincang dengan rakan-rakannya berhubung dengan perkara tersebut sebelum tindakan seterusnya diambil.


        
Ke atas    Tarikh Artikal : 30 November 2000

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com