KANGAR, (Hrkh) - Majlis Sukan Negeri (MSN) Perlis tidak pernah mengeluarkan resit rasmi terhadap semua pungutan sejak tahun 1996 termasuklah pungutan pada tahun 1998 dan 1999 yang berjumlah RM 1.11 juta.
Akibatnya, jumlah sebenar kutipan yang diterima dan dibankkan adalah meragukan dan pegawai yang membuat pungutan telah memberi penjelasan lisan bahawa resit tidak dikeluarkan kerana tidak memahami kehendak Arahan Perbendaharaan.
Dalam rumusan Ketua Audit Negara di bahagian Empat bagi Badan-badan Berkanun Negeri, Majlis Agama Islam dan Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Perlis menyebut pada keseluruhannya pengurusan kewangan MSN sangat lemah.
"Terlalu banyak Arahan Perbendaharaan dan peraturan-peraturan tidak dipatuhi, pegawai yang berkenaan tidak mempunyai pengetahuan dalam bidang pengurusan kewangan."
"Memandangkan MSN merupakan agensi kerajaan yang menerima sumbangan wang dari orang ramai dan kerajaan pengurusan kewangannya perlu diberi perhatian yang lebih serius," menurut rumusan Ketua Audit Negara itu lagi di muka surat 42 laporannya.