Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Jawapan yang Lunas

Oleh : Hishamuddin Rais

Pilihanraya kecil tiga penjuru di Lunas yang sedang berjalan sekarang sekali lagi membuktikan bahawa sistem pilihanraya di negara kita ini adalah kosong - satu latihah demokrasi yang tidak bermakna.

Setelah 10 kali piliharaya umum dijalankan dan juga berpuluh-puluh pilihanraya kecil berlaku, ramai orang sedar bahawa sistem ini yang wujud di Malaysia hari ini hanyalah pombohongan yang maha besar.

Pertama, Suruhanjaya Pilihan Raya SPR) yang wujud hari ini bukan lagi satu badan bebas. Sebagai satu lembaga daulah demokrasi, badan ini seharusnya bergerak bebas tetapi kini telah menjadi budak suruhan kepada kerajaan. Pengarah yang dilantik atau pegawai-pegawai yang dipilih semuanya akan dipastikan menurut perintah pihak yang berkuasa.

SPR, sama seperti badan kehakiman dan kepolisian adalah sebahagian dari superstructure daulah. Lembaga-lembaga ini diwujudkan dalam perlembagaan negara untuk memastikan kewujudan sebuah masyarakat yang moden, harmoni dan stabil. Lembaga-lembaga ini adalah tiang seri yang menonggak kewujudan sebuah masyarakat yang adil.

Tetapi bawah hegemoni Umno dan Barisan Nasional, semua badan ini dipaksa tunduk akur kepada pemerintahan dan keinginan seorang manusia sahaja.

Pilihanraya 1999 membuktikan dengan jelas bagaimana SPR gagal menjalankan tugasnya dengan sempurna. Tiga tuntutan rakyat: menghapuskan undi pos, memasukkan lebih 680,000 nama pengundi baru ke dalam senarai pengundi dan menggunakan dakwat hitam di jari pengundi sebagai tanda telah membuang undi tidak dihiraukan langsung oleh badan tersebut.

Dalam kecanggihan teknologi perkomputeran hari ini tidak masuk akal langsung senarai nama 680,000 itu boleh tercicir. Alasan SPR kononnya tidak cukup kaki tangan tidak boleh diterima kerana beratus-ratus orang boleh dilantik dengan sukarela untuk memastikan proses demokrasi berjalan. Tetapi pandangan ini juga tidak dihiraukan.

Undi pos dan sempadan

Undi pos merupakan satu lagi contoh penipuan besar yang sedang berlaku. Tidak masuk akal kenapa tentera yang tidak bertugas di luar negara atau di hutan belantara atau sedang berperang harus membuang undi secara pos. Mereka sepatutnya boleh memangkah bersama orang ramai. Pesoalannya kenapa ini berlaku? Kenapa undi pos wujud? Apakah rujukan SPR untuk mewujudkan undi pos ini? Semua persoalan ini masih gagal dijawab oleh SPR hingga ke hari ini.

Penggunaan dakwat hitam di atas jari pembuang undi bertujuan agar tidak ada sesiapa pun yang dapat mengundi berulang-ulang - seperti di beberapa negara (misalnya Indonesia). Ia adalah tuntutan rakyat yang paling minima. Kenapa tuntutan ini tidak dapat dijalankan? Apakah alasan SPR untuk menolak tuntutan ini?

Hingga kini, rakyat masih menunggu jawapan SPR.

Satu lagi perkara yang wajib ditimbulkan sekarang ialah tarikh pilihanraya umum gagal ditetapkan terlebih awal, tetapi menjadi alat teka-teki seluruh rakyat Malaysia.

Tarikh ini hanya boleh ditetapkan oleh seorang manusia apabila dia mendapat "ilham." Apakah itu ciri-ciri yang membutikan piliharaya itu adil? Atau bukti bahawa pilihanraya di Malaysia hanya satu sandiwara demokrasi?

Untuk sesiapa yang rajin melihat peta persempadan yang lalu akan dapat melihat bagaimana lintang-pukangnya garis-garis sempadan yang diukir oleh SPR. Ada kampung menjadi "pulau" dan mereka wajib mengundi 10 batu dari tempat asal. Ada pula orang kampung yang terpaksa pergi ke pekan yang lain untuk membuang undi, wahhal di belakang rumah mereka ada tempat membuang undi. Kenapa ini berlaku?

Tidak lama lagi SPR akan membuat garis persempadanan baru untuk pilihanraya umum 2003 atau 2004. Rakyat tidak akan terkejut apabila bilangan kerusi Dewan Rakyat di Sabah dan Sarawak bertambah. Penambahan kerusi ini dipercayai dibuat bukan pula berdasarkan pertambahan penduduk tetapi berdasarkan keperluan parti pemerintah!

Bayangkan, jumlah pengundi di Ampang (Selangor) hampir 100,000 sedangkan di Kota Belud (Sabah) hanya berbelas-belas ribu. Pastilah lebih adil dan telus kepada penduduk Ampang untuk mendapat perwakilan yang lebih ramai daripada penduduk di Kota Belud. Tetapi ini tidak akan dilakukan oleh SPR.

Kekalkan hegemoni Umno, BN

Apa yang menjadi rujukan SPR apabila membuat persempadan bukan satu rahsia lagi. Umum telah mengetahui dan melihat semua ini sebagai rancangan licik untuk memastikan hegemoni Umno dan Barisan Nasional - agar mereka terus memerintah walau bagaimana derasnya arus menuntut perubahan di kalangan rakyat.

Jika kita memahami semua hakikat ini, maka membuang masa sahaja jika kita cuba membuat analisis keputusan pilihanraya kecil di Lunas. Kita tidak perlu memanggil Datuk Dr Profesor Diraja dari Universiti Wadunga Wadungu untuk memberikan penilaian yang arif mengenai pilihanraya kecil ini. Semuanya telah jelas.

Barisan Nasional tidak akan membenarkan sesiapa saja untuk mengalahkan mereka, terutama apabila ia bersangkutan dengan jumlah kerusi dua pertiga di Dewan Undangan Negeri Kedah.

Piliharaya Lunas seharusnya dijadikan latihan untuk menyedarkan rakyat bahawa pilihanraya yang wujud hari ini semakin tidak mempunyai makna. Pilihanraya kecil ini wajib dikaitkan dengan pemilihan rakyat Terengganu untuk mendirikan kerajaan mereka sendiri, PAS.

Lihatlah apa yang terjadi di negeri itu - walau menang besar dalam pilihanraya tetapi rakyat masih dinafikan hak hasil bumi petroleum mereka sendiri.

Contoh terakhir yang wajib difikirkan bersama ialah kejadian 5 November yang lalu. Di hari yang bersejarah ini, orang ramai ingin mengadakan satu perhimpunan di Jalan Kebun, Shah Alam untuk mendengar ucapan pemimpin mereka.

Tempat berkumpul ialah tanah milik persendirian. Tetapi perhimpunan ini secara ganas telah digagalkan.

Persoalan yang timbul, apakah Umno akan membenarkan negara ini jatuh ke tangan Barisan Alternatif hanya melalui pilihanraya? Walhal berhimpun di Jalan Kebun yang tidak melibatkan kepentingan kekayan, wang ringgit atau dana yang berbilion-bilion telah ditumpaskan dengan ganas.

Secara lunas semua kemusykilan pilihanraya telah dijawab.


Petikan Malaysiakini.com


        
Ke atas    Tarikh Artikal : 26 November 2000

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com