Pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Kedah kawasan Lunas
melihatkan pertandingan tiga penjuru antara calon parti Keadilan Nasional (Keadilan) daripada Barisan Alternatif, Barisan Nasional (BN) dan calon bebas.
Calon Keadilan, Saifudin Nasution Ismail, Calob BN ialah S.Anthonysamy dan calon bebas, N.Letchumanan (adalah bekas ahli MIC yang keluar parti. Ada pendapat mengatakan tajaan BN).
Lawan kepada Saifudin ialah Anthonysamy, 59, merupakan peguam dan bekas penolong setiausaha MIC Kedah.
Manakala, Letchumanan, 46, bekerja sebagai pengusaha syarikat bas.
Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya Dr Joe Fernandez daripada BN kerana ditembak di Bukit Mertajam pada 4 Nov lepas.
Mengikut daftar pemilih yang diwartakan pada 13 Nov lepas, yang diguna pakai pada pilihan raya kecil ini, kawasan itu mempunyai 26,746 pengundi.
Sila lihat Senarai baru
Komposisi pengundi terdiri daripada Melayu sebanyak 12,102 (45.2 peratus), Cina 9,212 (34.4 peratus), India 5,413 (20.2 peratus), dan kaum lain 19 (0.07 peratus).
Bilangan pengundi pada pilihan raya kecil itu bertambah sebanyak 2,265 orang berbanding dengan 24,481 pengundi pada pilihan raya umum 1999.
Pada pilihan raya umum tahun lepas, Dr Fernandez memenangi kerusi itu dengan majoriti 4,700 undi. Beliau memperolehi 9,760, M. Kathiravelo (DAP) 5,060 undi, Ibrahim Md Rashdi (bebas) 2,158 undi dan N. Letchumanan (bebas) 87 undi.
Saifudin telah bertanding pada pilihan raya umum 1999 bagi kerusi Parlimen Padang Serai atas tiket Keadilan dan tewas kepada Lim Bee Kau dengan majoriti 9,372 undi manakala Letchumanan hilang wang pertaruhan semasa bertanding pada pilian raya umum bagi kerusi DUN Lunas.
DUN Lunas terletak di dalam kawasan Parlimen Padang Serai.
Terdapat 19 daerah mengundi dengan 44 saluran undi dan 12 sekolah akan dijadikan sebagai pusat pengundian pada 29 Nov ini.
Tempoh berkempen selama lapan hari.
Pencalonan Anthonysamy dicadang oleh Yaakob Ahmad dan disokong oleh Tan Yuu Jun manakala Saifuddin dicadang oleh Abdul Latif Abdul Wahab dan disokong oleh Abdul Wahab Osman.
Pencalonan Letchumanan pula dicadang oleh Mansor Shamsudin dan disokong oleh M. Gunasegaran.
Pemimpin Barisan Alternatif yang hadir termasuk Presiden Parti Keadilan Nasional, Datin Seri Dr. Wan Azizah Ismail, Naib Presiden Keadilan, Tian Chua dan Presiden Parti Rakyat Malaysia, Dr Syed Hussin Ali.