Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Guna Royalti Minyak Langgan Perempuan

MENTERI BESAR, Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengingatkan kerajaan pusat pimpinan Umno supaya cermin diri terlebih dahulu sebelum mempersoalkan bagaimana kerajaan PAS Terengganu membelanjakan wang royalti minyak, walaupun baru sembilan bulan memerintah.

"Kami mempunyai bukti bertulis bil-bil tuntutan perbelanjaan di bawah anak-anak syarikat kerajaan negeri semasa Umno berkuasa dahulu, yang digunakan bukan untuk membela kepentingan rakyat, tetapi untuk melakukan maksiat," tegasnya dalam satu majlis ceramah di Kelantan baru-baru ini.

"Kerja mereka cukup memalukan. Wang hasil royalti minyak itu digunakan untuk perempuan, minum arak dan melakukan maksiat. Kita ada bukti nyata tentang hal ini," katanya lagi, sambil mengingatkan bahawa ada 'bukti berlori-lori' tentang penyelewengan pemimpin terdahulu.Walaupun penyelewengan wang rakyat ini cukup memalukan, tapi, kata Haji Hadi, bukan dasar kerajaan PAS untuk mengaibkan mereka yang terbabit. "Kita bukan seperti pemimpin Umno yang sanggup memalukan sesama mereka, walaupun tanpa sandaran bukti, sepertimana berlaku kepada Dato' Seri Anwar Ibrahim."

Desas-desus bertiup kencang di sekitar Kuala Terengganu bilamana diberitakan ada pegawai tinggi anak syarikat kerajaan negeri mengakui mereka pernah diminta menjelaskan tuntutan bil pemimpin atasan kerajaan negeri di bawah BN "yang melanggan perempuan".

Selain itu, banyak pihak mempersoalkan bagaimana anak syarikat kerajaan boleh rugi dengan begitu teruk, sedangkan lembaga pengarahnya senang-lenang. "Duit minyak digunakan untuk memperkayakan individu dalam Umno dengan menguasai syarikat tertentu sedangkan rakyat termiskin terus terabai," kata seorang pemerhati politik.

"Bayangkan, syarikat yang menguruskan lombong emas di Lubuk Mandi pun boleh rugi," tambahnya.Haji Hadi turut mendedahkan, selain melakukan pembaziran yang berleluasa, ada pemimpin Umno Terengganu yang melantik kroni mereka untuk menjadi orang tengah mengutip untung secara mudah. Misalnya, premis anak syarikat di Kuala Lumpur yang sepatutnya boleh disewa RM6,000 sebulan tetapi terpaksa membayar RM 14,000 sebulan kepada pihak ketiga itu.

"Hampir 20 tahun kerajaan Terengganu menerima royalti minyak, tetapi negeri ini tetap miskin dan rakyat tidak terbela, ke mana wang sebanyak itu dibelanjakan? Bagaimana kerajaan negeri boleh dibebankan dengan hutang RM700 juta?" tanya Haji Hadi, yang juga Timbalan Presiden PAS. Jelasnya, semasa menang mereka dapat menyelamatkan fail-fail tentang penyelewengan pemimpin terdahulu.

"Kita berharap pihak SPR dapat menyiasat kes ini secara jujur, ikhlas dan telus. Pihak Hisbah Terengganu sedia bekerjasama dengan BPR untuk membuat penilaian siapa sebenarnya yang menyeleweng wang royalti minyak." Mengenai langkah kerajaan BN menyekat royalti, di samping mencemarkan semangat federalisme, ia umpama pemimpin Umno menggali lubang sendiri.

"Kekuatan sesebuah kerajaan bukan dengan menyalahgunakan kuasa atau peraturan tetapi bergantung sejauhmana ia adil dan menunaikan perintah Allah," tambahnya. Dalam satu wawancara khas, bila ditanya apakah tekanan pusat itu boleh menggugat kerajaan PAS Terengganu, Haji Hadi berkata:

"Kerajaan Kelantan boleh bertahan sehingga tiga kali pilihan raya walaupun menghadapi pelbagai tekanan, insyaAllah kami juga boleh bertahan." Beliau juga memberi jaminan, sekiranya timbul masalah kewangan ekoran tindakan kerajaan pusat melambat-lambatkan peruntukan yang sewajibnya diberikan kepada negeri, kepentingan umum tetap terbela.

"Kita sedia memotong elaun Menteri Besar dan anggota Exco tetapi tidak akan memotong peruntukan untuk golongan miskin. Manakala elaun yang baru kita naikkan untuk para imam dan bilal tidak akan diturunkan," ujar Haji Hadi.


        
Ke atas    Tarikh Artikal : 22 November 2000

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com