Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Bilik Gerakan Utama BN di Lunas lesu selesu-lesunya ....

Awal pagi ini (Sabtu),aku bergerak ke Pulau Pinang untuk urusan keluarga. Setelah urusan keluarga aku selesai, dalam perjalanan pulang, aku melencong ke arah Lunas. Teringat kengkawan di Bilik Gerakan BA Kg. Keladi. Betapa hiba dan sayu kerana tidak dapat menyumbang kederat untuk kempen BA di sana. Urusan harianku seolah-olah tidak membenarkan aku berada sekerap mungkin di sana. Sampai di Bukit Mertajam, aku singgah membeli dua tiga peti air kotak Yeos untuk bekalan petugas BA Kg. Keladi di malam ini.

Pukul 4 petang aku melintasi Pekan Lunas. Kelihatan Bilik Gerakan (BG) BA dikelilingi orang ramai. Mungkin orang ramai yang mengambil kesempatan singgah sebentar kerana membeli belah. Nun, di seberang jalan, kelihatan petugas-petugas BN sedang menambahkan lagi poster BN mereka. Majoriti petugas terdiri daripada kaum India. Tidak jauh dari tempat itu, BG BN induk begitu sunyi ... begitu sepi tanpa seorangpun petugas yang bertugas.

Aku terus memandu perlahan. Poster BN memang banyak. Kalau lihat poster, memang BN menang. Terdengar di tempat duduk belakang, anakku yang berusia tujuh tahun menyebut, "Undi Bebas, Anda Bebas Naik Bas". Aku terpandang satu kain rentang kecil di kiriku. "Mana ada tulih naik bas?", aku tanya anak aku. Dia kata yang lambang bas tu maknanya naik bas. Aku dan isteri ketawa kecil ... bijak...bijak ..

Setakat ini aku masih tercari-cari poster calon BN, S. Antonysamy. Tak nampak langsung. Yang ada hanyalah poster gambar Madey dan sedikit gambar MB Kedah. Seolah-olah yang bertanding di Lunas ini ialah Madey sendiri. Poster Saifuddin kelihatan di sana sini. Maknanya Saifuddin lawan Madey.

Aku mencari di mana letaknya Kg. Keladi. Dua tiga hari lalu aku pernah sampai di situ .. tapi sampai pada waktu malam .. itupun tersesat ke Taman Selaseh. Nasib baik mereka memberi panduan jalan ke kampung tersebut. Petang ini aku tak tahu di mana aku berada. Sengaja aku tak mahu bertanya. Biarlah sesat seketika. Dapat juga aku meninjau secara kasar akan suasana pilihanraya kecil ini. Nampak tanda arah ke Kg. Keladi ... dah kelihatan SMK. Kg. Keladi. Kawasan ini dalam pilihanraya 1999 yang lalu, yang mempunyai lebih seribu pengundi, BA tewas lebih kurang seratus undi. Difahamkan bahawa inilah satu-satunya kubu UMNO yang masih kuat di Lunas.

Akhirnya aku sampai ke BG BA Kg. Keladi. Kelihatan Cikgu Rahim, Ketua keADILan Kuala Kangsar senyum melihat kehadiran lewat aku di sana. Jiranku Cikgu Zainalpun ada. Menurut Cikgu Rahim, beliau berada di Lunas sepenuh masa sejak sehari sebelum penamaan calon lagi. Tahniah Cikgu Rahim dan petugas-petugas BA di seluruh Lunas.

Menurut mereka harapan begitu cerah untuk BA menang di Kg. Keladi. Untuk keseluruhan Lunas, sokongan dari pengundi Melayu dan Cina begitu memberangsangkan. Pimpinan DAP yang dikatakan tidak puas hati dengan calon keADILan tidak berjangkit kepada ahli bawahan mereka. Sebab masyarakat Cina lebih menghormati pimpinan NGO dari pimpinan politik DAP itu sendiri. Tambah-tambah tarikan kepopularan Tian Chua di hati masyarakat Cina itu sendiri. Tian Chua lebih dilihat sebagai pimpinan masa depan masyarakat Cina di Malaysia. Lega aku mendengarnya ....

Hampir pukul 6 petang, aku minta diri. Kalaulah isteri dan anak-anakku tidak bersama, dah tentu tengah malam baru aku balik. Tapi aku berjanji yang aku akan kembali bersama sepenuh masa di Lunas mulai Isnin ini hinggalah tamat pengundian pada 29 November nanti. Insya Allah.

Dalam perjalanan pulang, ternyata BG BN terus sepi ... sepi sesepi-sepinya .... kesian BN ...

Wallahualam

Mat Deghih


Petikan dari FGR


        
Ke atas    Tarikh Artikal : 26 November 2000

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com