Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Kenyataan Media Dari Penjara Kajang

17 NOVEMBER 2000

DESAK NEGARA ISLAM HALAU ISRAEL : DR M TALAM DUA MUKA

Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) mengutuk keras kenyataan hipokrit Perdana Menteri di Doha beberapa hari lepas yang mendesak negara-negara umat Islam supaya menyelamatkan rakyat Palestin dan bumi Baitulmaqdis daripada terus dicerobohi oleh negara haram Israel. Perdana Menteri juga mahukan umat Islam bersatu untuk menyelamatkan umat Islam Palestin daripada terus dibunuh dan diusir daripada tanah air mereka.

DPP Pusat sangat kesal kerana kenyataan munafik Perdana Menteri yang kononnya berjuang untuk rakyat Palestin tetapi pada masa yang sama Malaysia telah mula mengiktiraf secara tidak rasmi kewujudan negara haram Israel. Sebelum ini Malaysia telah menjemput pasukan kriket dan ping pong Israel bertanding di Malaysia, mengadakan kerjasama ekonomi, dan juga mempertemukan Menteri Luar Malaysia dengan rakan sejawatnya dari Israel di New York. Beberapa hari sebelum Perdana Menteri bercakap di Doha, di Kuala Lumpur mahkamah telah menjatuhkan hukuman bersalah ke atas rakyat Malaysia yang menentang kemasukan Israel ke negara ini.

DPP Pusat melihat bahawa Perdana Menteri seolah-olah buta hati apabila menyeru umat Islam menyelamatkan Palestin ketika lebih 200 orang sedang dibunuh di sana, tetapi bercakap lunak tentang toleransi dengan Israel apabila PAS mendesak supaya kerajaan BN bertegas terhadap negara haram tersebut. Akhirnya terbukti toleransi itu dijawab oleh Yahudi dengan meruntuhkan ekonomi negara ini dan juga membunuh ratusan umat Islam di Palestin. Sekarang di manakah toleransi Perdana Menteri?

DPP Pusat mendesak supaya Kerajaan Malaysia segera menghantar memorandum mengutuk Israel di atas tindakan biadab mereka ini dan bersiap untuk menghantar bantuan kemanusiaan termasuk ketenteraan ke sana untuk menyelamatkan umat Islam sekiranya benar Perdana Menteri berucap dengan ikhlas di Doha. Perdana Menteri sepatutnya merasa malu sekiranya beliau hanya mampu bercakap berdegar-degar di Doha tentang kezaliman Israel, tetapi dalam masa yang sama Malaysia terus membina hubungan sulit negara negara haram tersebut.

DPP Pusat menyeru masyarakat Malaysia khasnya dan masyarakat Islam antarabangsa amnya supaya tidak begitu terpengaruh dengan retorik Perdana Menteri, tetapi sebaliknya membuat penilaian terhadap sikap dan kelakuan Kerajaan BN yang bersekedudukan Yahudi dalam menghancurkan umat Islam di seluruh dunia.


19 NOVEMBER 2000

SUKAN ASIA 2006 : BUKTI ANTARABANGSA TIDAK YAKIN KEPADA SISTEM PENTADBIRAN DI MALAYSIA

Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) memandang serius tindakan negara-negara Asia yang menolak tawaran Malaysia untuk menjadi tuan rumah Sukan Asia 2006 baru-baru ini. DPP Pusat berpandangan bahawa penolakan tersebut merupakan satu isyarat awal masyarakat antarabangsa termasuk pemimpin sukan tentang ketidakyakinan mereka terhadap ketelusan sistem pentadbiran yang diamalkan di Malaysia.

Sebelum ini DPP Pusat juga mempunyai keyakinan bahawa Malaysia akan terpilih berdasarkan kemudahan yang disediakan, pengalaman Malaysia menganjurkan pelbagai kejohanan antarabangsa dan sebagainya, tetapi terbukti bukan itu sahaja yang menjadi pertimbangan masyarakat antarabangsa untuk memilih Malaysia. Perkembangan politik dan ekonomi negara ini mendapat perhatian serius daripada masyarakat Asia.

Pencabulan hak asasi manusia dan pemencilan demokrasi yang dilakukan oleh Kerajaan BN telah menghakis keyakinan ini. Tindakan biadab BN yang mencabul perjanjian royalti minyak dengan kerajaan Terengganu, amalan rasuah, kronisme, nepotisme dan sebagainya ternyata menjadi punca yang menyebabkan Malaysia tidak terpilih untuk menganjurkan temasya antarabangsa ini. Kelantangan Perdana Menteri berucap kepada masyarakat antarabangsa tentang keadilan, hak dan persamaan kini tidak mampu lagi mengabui mata mereka.

DPP Pusat melihat bahawa kecenderungan yang tinggi Kerajaan BN dalam mencabul amalan demokrasi telah menimbulkan kebimbangan negara-negara Asia sekiranya perjanjian untuk menganjurkan Sukan Asia 2006 juga mungkin akan dicabul oleh Malaysia. Suasana kebimbangan ini bukan hanya melanda pemimpin sukan, tetapi juga turut dialami oleh para pelabur antarabangsa. Para pelabur dari AS dan Eropah memberikan respon yang negatif terhadap Malaysia walaupun pelbagai rombongan perdagangan telah dibuat ke sana.

DPP Pusat berpandangan bahawa respon negatif masyarakat antabangsa ini adalah berpunca daripada sikap negatif Kerajaan BN. Kerana ini DPP Pusat mendesak Perdana Menteri supaya meletakkan jawatan secara terhormat untuk membersihkan nama Malaysia di arena antarabangsa. Kegagalan Perdana Menteri berbuat demikian akan menyebabkan ketidakyakinan ini akan berterusan.


20 NOVEMBER 2000

PINDAAN PERLEMBAGAAN UMNO : PETANDA UMNO MENUJU KEHANCURAN

Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) melihat bahawa Mesyuarat Agung Khas Umno yang meluluskan pindaan Perlembagaan Umno minggu lalu sebagai petanda bahawa Umno kini sedang menuju kehancuran. Pindaan perlembagaan ini dibuat dengan tujuan tersembunyi untuk menyelamatkan Umno daripada terus runtuh dan hancur setelah orang-orang Melayu tidak lagi menyokong mereka setelah pemimpin mereka terus rakus menggunakan kuasa untuk menindas rakyat.

DPP Pusat melihat pindaan ini sangat berbeza dengan pindaan Perlembagaan PAS yang dibuat pada Mei 2000 yang lalu yang jelas memperlihatkan misi PAS untuk memperkembangkan dan memantapkan pengurusan parti. Sedangkan pindaan Perlembagaan Umno pula lebih bertujuan untuk mengekalkan kuasa pemimpin tertinggi mereka, mengekalkan sokongan yang ada di samping menyelamatkan Umno daripada terus runtuh.

DPP Pusat juga melihat pindaan ini terpaksa dibuat setelah rakyat hilang kepercayaan kepada Umno yang menjadi parti utama BN tetapi gagal untuk membina masa depan orang Melayu sendiri. Sebelum ini Umno telah mencabuli hak-hak istimewa orang Melayu termasuk tanah rezab Melayu, bahasa Melayu, institusi Raja-raja Melayu, biasiswa, subsidi dan sebagainya. Umno juga turut menghina hukum Islam, menolak perlaksanaan hukum al-Quran dan Sunnah, menghina ulama, mencerca sunnah Nabi, menyokong gerakan anti hadis dan sebagainya.

DPP Pusat melihat dengan jelas sekarang ini bahawa Umno telah kehilangan hala tuju perjuangan dan semakin ditinggalkan oleh orang-orang Melayu sehingga terpaksa membuka keahlian kepada orang bukan Melayu. Dasar perjuangan Umno juga telah ditolak selain sikap negatif BN terhadap demokrasi dan hak asasi manusia yang menghakis keyakinan rakyat. DPP Pusat menyeru kepada kepemimpinan Umno supaya meminda perlembagaan mereka agar berteraskan al-Quran dan Sunnah dan bukan lagi berlandaskan semangat perkauman yang sempit dan tidak menguntungkan.

DPP Pusat menyeru seluruh ahli Umno supaya segera menginggalkan parti tersebut dan menyertai PAS untuk membina masa depan Islam dan Melayu yang lebih terjamin dan efisyen. Perjuangan kebangsaan Umno mesti ditinggalkan segera dan Umno perlu dihantar ke muzium sebagai bahan sejarah yang melambangkan punca keruntuhan politik, ekonomi dan sosial umat Islam Melayu di negara ini.


21 NOVEMBER 2000

KETUA HAKIM NEGARA BARU : HARAPAN PEMBINAAN SEMULA KETELUSAN KEHAKIMAN

Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) mengucapkan tahniah kepada Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Mohamed Dzaidin Abdullah yang telah dilantik menjadi Ketua Hakim Negara yang baru menggantikan Tun Eusoff Chin yang akan bersara tidak lama lagi. DPP Pusat sangat berharap semoga perlantikan ini akan membuka lembaran baru sejarah kehakiman negara yang lebih telus dan diyakini rakyat.

Sistem kehakiman negara ini telah mula dipertikaikan secara terbuka oleh rakyat semenjak berlakunya kes fiasco Tun Salleh Abbas pada 1988. Kenyataan-kenyataan beberapa bekas hakim termasuk Tun Sufian Hashim dan juga tesis Menteri di JPM yang bertanggungjawab terhadap undang-undang, Datuk Dr Rais Yatim telah mendedahkan kelemahan sistem undang-undang negara ini. Surat berantai yang ditulis oleh bekas Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Syed Aidid yang mendedahkan kegiatan haram para hakim dan juga pendedahan isu Ketua Hakim Negara, Tun Eusoff yang melancong ke New Zealand bersama seorang peguam telah memburukkan imej kehakiman di negara ini.

Kini semua imej yang negatif telah terbahu kepada Tan Sri Dzaidin. Rakyat meletakkan harapan yang besar supaya mahkamah Malaysia menjadi tempat rakyat mendapat keadilan walaupun pihak pemerintah telah melancarkan gerakan besar-besaran untuk mencabul demokrasi dan menindas hak asasi rakyat. Sekiranya mahkamah gagal berfungsi dengan adil dan saksama sudah pasti mahkamah akan terus diragui seperti mana rakyat meragui ketelusan perbicaraan kes Datuk Seri Anwar Ibrahim.

DPP Pusat juga mendesak Tan Sri Dzaidin supaya mempastikan keadilan akan diwujudkan dalam sistem kehakiman negara ini. Mahkamah juga mestilah dibebaskan daripada campur tangan politik sempit BN sehingga menyebabkan mahkamah tidak lagi telus. Sebelum ini semua rakyat tahu bahawa BN telah mencabuli kebebasan badan kehakiman sehingga rakyat menyangka bahawa kehakiman berada di bawah daripada badan eksekutif.

DPP Pusat juga sangat berharap dengan perlantikan Ketua Hakim Negara yang baru ini, bukan sahaja dapat memberikan keadilan kepada rakyat tetapi juga akan meningkatkan lagi kecekapan mahkamah untuk menyelesaikan kes-kes tertunggak yang gagal diselesaikan sebelum ini.

HAJI MAHFUZ HAJI OMAR
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat
Penjara Kajang


        
Ke atas    Tarikh Artikal : 21 November 2000

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com