KENYATAAN AKHBAR
“HIMPUNAN MENGHANTAR MEMORANDUM RAKYAT MENGENAI ISU ROYALTI MINYAK TERENGGANU KEPADA MENTERI KEWANGAN”
Kerajaan Pusat melalui Kementerian Kewangan telah mengambil keputusan yang zalim untuk tidak lagi menyalurkan royalti minyak 5 peratus oleh Petronas kepada Kerajaan Negeri Terengganu. Tindakan ini sekali gus membelakangkan satu perjanjian yang telah dibuat oleh Petronas dengan Kerajaan Negeri Terengganu pada 22 Mac 1975, serta menafikan hak Kerajaan Negeri Terengganu untuk menggunakan wang tersebut bagi tujuan pembangunan Negeri Terengganu. Alasan kerajaan pusat bahawa wang tersebut bukan hak Kerajaan Terengganu dan merupakan wang ihsan kerajaan pusat kepada Terengganu adalah tidak masuk akal dan bertentangan dengan semua perjanjian dan pengakuan serta ucapan pemimpin pusat dan kerajaan negeri sebelum ini.
Sebenarnya tindakan tidak demokratik kerajaan pusat ini adalah tindakan politik khianat dan balas dendam Barisan Nasional terhadap kerajaan dan rakyat Terengganu yang menolak BN dalam pilihanraya yang lalu. Tindakan Kerajaan Pusat ini hanya memberikan imej yang buruk kepada BN serta mendedahkan negara kepada kutukan dan kebencian rakyat serta masyarakat antarabangsa.
Sebagai rakyat yang mengamalkan demokrasi, kami menuntut keadilan ditegakkan semula. Untuk menegaskan pendirian kami ini, kami akan menghantar satu memorandum bantahan rakyat kepada Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin pada hari Sabtu, 25 November 2000, jam 10.00 pagi, bertempat di pejabat beliau di Kompleks Pejabat Kerajaan di Jalan Duta, Kuala Lumpur. Memorandum ini menuntut dikembalikan wang Negeri Terengganu kepada kerajaan dan rakyatnya. Rombongan sepuluh orang pemimpin BA dan NGO akan disertai oleh rakyat.
Oleh kerana himpunan rakyat ini akan disertai oleh ramai warga perihatin, kami telah memohon kerjasama Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) untuk memantau serta menyalurkan panduan supaya perhimpunan aman ini berjalan dengan lancar. Kita juga menyeru pihak berkuasa keamanan memberikan kerjasama kepada perhimpunan ini supaya ianya berjalan dengan aman dan lancar.
Sekian.
DR. MOHD. HATTA MD. RAMLI
Pengerusi Jawatankuasa Kempen Mengembalikan Hak Rakyat
Dan Setiausaha Politik kepada Ketua Pembangkang.
23 NOVEMBER 2000