Assalamulaikum
Segala puji-pujian milik Allah swt penguasa sekelian alam, selawat dan salam
kepada junjungan kita nabi Muhammad saw, ahli keluarga baginda, para sahabat
dan penegak kebenaran sehingga akhir zaman.
Perpecahan Melayu yang selalu dilaungkan oleh Mahathir tiada penghujungnya.
Satu masalah besar kehidupan yang tidak mungkin dapat di atasi dalam masa
terdekat ini. Bersatu dan berpecah adalah lumrah kehidupan...begitulah
perjalanan kehidupan zaman berzaman. Malah sejarah telah membuktikan bahawa
manusia sememangnya cenderung untuk hidup berpuak-puak iaitu kecenderungan
untuk mengikut aliran atau fahaman yang difikirkan sesuai mengikut
percaturan hidup masing-masing. Dari mata kasar perpecahan bangsa Melayu
dikatakan dapat melemahkan perjuangan untuk mencapai suatu status yang
tinggi dalam segala bidang. Perpecahan seolah-olah menggambarkan betapa
tenaga dan kepakaran orang Melayu tidak dapat digembelengkan seoptima
mungkin untuk memburu kejayaan dalam arus kehidupan.
Bila berlaku perpecahan yang mengancam kedudukan pihak pemerintah maka
lantas Mahathir melabelkan pemimpin-pemimpin BA dan penyokong-penyokongnya
sebagai penderhaka yang perlu disingkir. Soalnya mengapa timbul kritikan
pedas ke atas Mahathir dan juak-juak peliharaannya? Puncanya adalah Mahathir
sendiri...telah banyak berlaku penyelewengan, pembaziran dan keangkuhan yang
ditunjukkan bukan hanya pada marhaen terbanyak malah pada mata dunia juga.
Terlalu banyak bicara sumbang Mahathir dan terlalu banyak langkahnya pincang
kini...Mahathir tak ubahnya seekor ayam yang kokoknya berderai-derai
sedangkan ekornya bergelumang tahi.
Agenda UMNO/BN adalah agenda periuk nasi...masing-masing cuba untuk memiliki
periuk besar. Lantas kerak nasi pula yang banyaknya. Malaysiaku ini umpama
kerak sudahnya yang mana kami marhaen terbanyak tidak dapat menikmati nikmat
kemerdekaan. Apakah erti KLCC, KL Tower, KLIA, Litar Sepang pada kami orang
kampung? Kami anak-anak kampung lebih perlu kepada pembelaan bukan projek
Supermega. Kami orang kampung melihat dengan mata kepala sendiri bahawa
kadar kemiskinan menyebabkan terbantut pelajaran anak-anak desa...hinggakan
ada yang kerjanya mencari buah kelubi untuk sesuap nasi. Inikah nikmat
kemerdekaan?
Dengan cara inikah Mahathir mahu semua orang Melayu menyetujui tingkahnya
lantas menjadikan UMNO sebagai landasan perjuangan? Minta maaflah...sudah
kami beri peluang dari UMNO lama hinggalah UMNO baru(a) tarinya tetap
sumbang. Janganlah kamu Mahathir bermimpi sokongan anak-anak didik kami
untuk UMNO/BN. Punca perpecahan ialah dengan menidakkkan kehendak marhaen
terbanyak yang rata-ratanya bukanlah pak angguk atau tok ampu yang
mengelilingi Mahathir. Kami dapat berfikir mana buruk mana baik...kami masih
rasional dalam menilai. Kami tidak bimbang perpecahan sekiranya takdir Allah
menentukan begitu. Malah kami marhaen terbanyak pasti dengan izin Allah
kesedaran marhaen akan lebih memuncak sebelum 2004...kami kelompok lemah
lagi tertindas ini yakin bahawa masa mendatang tidaklah cerah untuk UMNO/BN.
Banyak rahmatnya yang tersembunyi yang hanya Allah jua maha mengetahui
hikmahnya. Wallahua'lam.
Wassalam