Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


KeADILan Optimis: Sepi Tidak Bererti Pupus

Benarkah penyertaan tokoh-tokoh penting ke dalam KeAdilan hanya untuk mendapat pujian daripada ahli mereka yang ketandusan pemimpin berwibawa? Dikatakan juga, kritikan beberapa laman web pro-pembangkang menimbulkan kesan serius kepada perjalanan pentadbiran dan perjuangan parti KeAdilan.

Tidak kurang pula menyebut kegagalan gerakan reformasi dan parti KeAdilan menyahut cabaran mendatang maka akan berakhirlah perjuangan mereka. Banyak kenyataan dikeluarkan cuba memburuk-burukkan imej pemimpin parti KeAdilan seolah-olah menunggu masa untuk dibubarkan.

Menurut SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) KeAdilan dan juga Sektretariat BA, walaupun pelbagai propaganda yang dimainkan oleh media sama sekali tidak menggugat keutuhan perpaduan pimpinan dan ahli-ahli parti KeAdilan. Ikuti pandangan beliau bersama ROSMIDA ABDUL RAHMAN.

Pertama sekali, boleh Sdr ulaskan kewujudan parti KeAdilan adalah hasil gelombang gerakan reformasi rakyat. Apa sudah jadi dengan gerakan reformasi yang sebelun ini nampak hebat "menentang kerajaan" tetapi akhir-akhir ini semakin tidak bermaya?

Sebenarnya, reformasi di Malaysia muncul selepas pemecatan Dato' Seri Anwar Ibrahim. Ekoran itu berlaku perubahan politik yang ketara di Malaysia. Anwar memilih tema "reformasi" sebagai satu sasaran bersama. Oleh demikian, peringkat awal beliau turun secara langsung kepada rakyat melalui perhimpunan awam khususnya di tengah penguasaan media mutlak oleh pemerintah.

Ketika serangan media pemerintah menggila sekaligus cuba memusnahkan reputasi beliau dengan pelbagai tuduhan, beliau memilih turun padang menemui rakyat dan tidak sampai tiga minggu bahang kebangkitan tersebut dirasai oleh pemerintah apabila beliau ditangkap.

Di sini kita boleh melihat dua perkara iaitu aksi dan reaksi. Anwar memilih aksi perhimpunan awam dan reaksi pemerintah menghalang watak utama kebangkitan ini. Gerakan reformasi tidak mampu bertahan jika tiada hala tuju yang jelas.

Oleh demikian, pengisytiharan reformasi di Permatang Pauh antaranya mengeluarkan penguasaan mutlak seorang pemimpin ke atas pelbagai institusi pemerintah.

Anwar menyebut agenda reformasi adalah milik rakyat bersama. Mengulas terna reformasi seringkali kita membandingkan negara Indonesia. Perkara ini adalah sama.

Misalnya Suharto terlibat dalam kronisme, nepotisme dan penguasaan mutlak segala instrumen kerajaan. Reformasi di Indonesia mampu bertahan dan berhasil menumbangkan Suharto. Rata-rata masyarakat yang menggerakkan reformasi terdiri daripada rakyat bawahan.

Kemuncak kejatuhan Suharto hampir 20 juta rakyat Indonesia tiada pekerjaan dan kekurangan bekalan makanan. Kelompok ini terseret dalam reformasi kerana mereka tiada kepentingan apa-apa lagi.

Begitu juga berlaku perpecahan dalam elit pemerintah iaitu 13 menteri kabinet Suharto meletakkan jawatan. Akibatnya Suharto tidak mampu bertahan.

Walaupun ramuan reformasi Malaysia berlaku hampir sama, cuma tidak berlaku perpecahan di kalangan elit pemerintah tanah air. Walaupun berlaku keresahan tetapi tiada perpecahan. Pemberontakan berlaku di kalangan ahli bawahan dan diterjemahkan dalam pilihan raya.

Maka saya kaitkan persoalan tadi, terdapat persepsi umum mengatakan gerakan reformasi semacam kendur dan malap. Sebenarnya, kita mesti ada kayu pengukur untuk mengatakan gerakan reformasi samada hidup atau mati.

Petunjuk awal rakyat turun ke jalan raya, inilah ukuran reformasi hidup. Elemen kedua suburnya laman-laman web reformasi. Ternyata popularitinya mendadak sehingga mengundang komentar daripada pemerintah. Dua elemen ini subur dan dianggap gerakan reformasi hidup.

Kini ukuran tersebut dilihat rakyat turun ke jalan raya semakin kecil. Laman reformasi pula wujud tetapi tidak dikemaskinikan. Jika penafsiran ini digunakan ternyata kecenderungan untuk mengatakan gerakan reformasi semakin malap.

Saya melihat ada ukuran lain terhadap reformasi ini, pertama, sambutan hebat dari rakyat terhadap media melalui pentas rakyat yang dikelolakan oleh parti BA. Saya melihat trend sekarang tidak ubah seperti menjelang pilihan raya.

Kita mahukan bahang reformasi terus hidup, mungkin barangkali ibarat "api dalam sekam". Jika pemerintah mengatakan reformasi mati tetapi reaksi mereka tidak serupa apa yang disebut. Misalnya pemerintah secara berterusan menyekat program ceramah.

Melakukan tangkapan terhadap pemimpin BA, pengharaman terhadap media alternatif. Reaksi mereka mendedahkan kebimbangan yang amat sangat terhadap rakyat yang berlegar atas tema reformasi.

Inilah ukuran reaksi pemerintah selepas pilihan raya terhadap gerakan reformasi. Malah ia lebih keras sebelum pilihan raya. Saya percaya jauh dari sudut hati pemerintah mereka tetap mengikitiraf kekuatan BA.

Saya banyak mendapat maklumat dalaman menerusi kawan-kawan di dalam Umno. Ternyata perkara yang mendominasi dalam mesyuarat mereka iaitu bagaimana menghadapi kekuatan pembangkang yang pengaruhnya semakin berkembang.

Mereka sudah mengenali masalah tentang Umno kehilangan pengaruh. Oleh demikian, mereka tahu penyakitnya tetapi tidak berjumpa dengan penawarnya.

Sdr menyebut gerakan reformasi masih subur walaupun tidak dengan aksi-aksi protes jalan raya. Namun kelihatan mereka ini seolah-olah hilang dan terbiar. Malah tiada aktiviti serius berbentuk ilmiah atau diskusi yang dijalankan terhadap mereka. Akhirnya ke mana gerakan reformasi ini hendak dibawa?

Gerakan reformasi dipelopori oleh pelbagai peringkat. Jika kita menganggap mereka sebagai pejuang di jalanan iaitu jalan raya. Mereka terdiri daripada pelbagai kelompok. Pertama, parti pembangkang, kedua, mahasiswa, ketiga, golongan tidak menganggotai mana-mana parti. Kelompok yang menggerakkan reformasi juga daripada golongan NGO.

Persoalan tadi, adakah kita membiarkan terus gerakan reformasi yang semakin hari berkurangan bilangannya? Perlukah diterjemahkan dalam bentuk lebih ilmiah? Bagi saya, tidak semua perjuangan mesti diuruskan oleh organisasi formal.

Tidak semestinya semua agenda mesti dibincangkan melalui saluran parti. Sebenarnya, adakalanya untuk mengurus kebangkitan rakyat memerlukan organisasi dan struktur yang tidak formal.

Hal ini lebih memeningkan kepala pemerintah. Untuk berhadapan kebangkitan ini, sudah tentu pemerintah mula mengenal pasti siapakah ketua organisasi ini. Apabila kawan-kawan (Orang Kena Tuduh) ditangkap seringkali mereka dihujani dengan soalan siapa ketua? Siapa perancang? Dalam kepala mereka sudah terfikir bahawa ada kumpulan yang sudah merancang segala aktiviti reformasi.

Akibatnya pemerintah gagal menemui jawapan. Oleh demikian, saya lebih selesa dan percaya bahawa gerakan reformasi tidak perlu melalui organisasi formal malah cara ini lebih berkesan.

Setakat mana gerakan reformasi mampu bertahan jika tiada saluran yang lebih tersusun?

Mereka boleh membentuk persefahaman dan kesatuan dalam kelompok sendiri tanpa mengenali siapakah ketua atau naibnya. Bagaimanapun, mereka mesti ada tanggungjawab masing-masing.

Misalnya berkaitan isu besar, mereka akan mencetak handbill, kemaskini laman web, mengeluar kenyatan melalui ceramah. Aktiviti ini dilakukan tanpa ada pengarahan. Kelompok lain, akan menonjolkan diri ke hadapan. Kita sendiri sudah maklum dengan senarai nama yang sudah tujuh lapan kali keluar penjara.

Dalam menentukan jangka hayat gerakan reformasi, mampukah mereka bertahan? Sebenarnya pemikiran kita kebanyakan dari konvensional. Bahawasanya sesuatu organisasi mantap memerlukan satu struktur yang lengkap.

Bagi saya, tidak mungkin. Sebenarnya di sana, kita boleh menggunakan istilah gerila war fair kadang-kadang jauh lebih berkesan. Misalnya Vietnam kalahkan Amerika kerana menggunakan taktik peperangan gerila. Terbukti Amerika tumpas walaupun lengkap dengan segala bentuk kepakaran.

Walaupun Vietnam tiada kepakaran perang tetapi mereka arif tentang kedudukan medan. Akhirnya mereka berjaya. Taktik gerila war fair telah diterima oleh penganalisis perang bahawa ia berkesan menghalau Amerika.

Pandangan saya mungkin berbeza, untuk mengurus kebangkitan rakyat bagi kelompok yang memilih jalan raya bahawa kita tidak perlu mengikat mereka dengan organisasi formal. Pokoknya terbukti, mereka mampu bertahan sehingga dua tahun.

Dahulu suburnya laman-laman web reformasi. Khabarnya kebanyakan laman web kini banyak tidak dikemaskini. Webmasters reformasi berada dalam krisis?

Sebenarnya tiada siapa mengetahui siapakah web-masters laman reformasi. Mereka bekerja di alam siber. Ini juga merupakan fenomena baru. Hatta pemerintah sendiri belum pernah berhadapan dengan persaingan sedemikian rupa.

Saya terbaca pengumuman oleh Mustapha Mohamad, parti Umno akan melancarkan 20 laman web. Apa maknanya? Kata mereka, kewujudan laman web ini bertujuan menjawab kembali fitnah pembangkang.

Ini bererti secara tidak langsung, walaupun Umno amat berat untuk mengakui tetapi mereka terpaksa mengakui kekuatan dan keberkesanan saluran ini mempengaruhi rakyat.

Siapa webmasters? Tiada siapa boleh beri jawapan. Cumanya mungkin kita boleh mengagak seseorang. Bagi saya, mereka tidak perlu tampil secara terbuka. Untuk apa? Mereka berperanan menegur dan mengkritik pemerintah.

Sebenarnya kewujudan mereka memang bukan dalam organisasi formal. Saya tidak melihat, dengan kurangnya laman web dan tidak berlaku kerancakan kemaskini gerakan reformasi dianggap tidak subur. Bagaimanapun, kini didapati pengisian laman reformasi lebih berkualiti dan bermaklumat malah kebanyakan artikel ditulis oleh penulis yang mempunyai nama.

Misalnya Amin Sapiro, Ibrahim Baba. Saya tidak beranggapan usaha kemaskini berkurangan kerana berlaku pergeseran sesama mereka. Itu lebih kepada isu personaliti atau peribadi laman itu sendiri.

Saya meminjam fakta yang diucapkan oleh Lee Kwan Yew ketika lawatan ke Malaysia, beliau menyebut sebanyak 12 juta rakyat Cina hampir 90 peratus pengguna Internet tidak lagi membaca akhbar utama mereka milik parti komunis negara China yang pro-pemerintah. Inilah hakikat nyata, kerajaan BN mesti terima. Kini, pelanggan Internet di Malaysia sebanyak 1.5 peratus akan naik kepada 2.7 peratus.

Langkah Umno melancarkan 20 laman web sekadar untuk ditunjukkan kepada ahli Umno bahawa mereka ada usaha tetapi bukan satu jaminan untuk menjadikan satu media yang berkesan.

Sebenarnya ini gambaran yang menakutkan untuk Mahathir kerana beliau menghadapi Umno yang sudah kurang mendapat sambutan. Dalam penguasaan mutlak jentera kerajaan, Umno mendapat persaingan lebih hebat melalui Internet.

Berbalik kepada parti KeAdilan. Ada pihak melihat, kekuatan KeAdilan hanya pada Datin Seri Wan Azizah. Beliau dianggap simbol penyatu perjuangan bukannya sebuah parti politik yang kukuh. Malah sehingga kini KeAdilan masih dikatakan tidak mantap dari segi menampilkan barisan kepimpinan yang berwibawa. Komen Sdr?

Bagi saya soal kepimpinan mungkin tidak wujud kerana ia lebih bersifat subjektif. Melihat kepada usia parti KeAdilan baru ditubuhkan pada 4 April 1999. Kini, bulan Oktober 2000 bererti usia parti ini baru setahun enam bulan.

Positifnya, KeAdilan sudah memiliki 100 bahagian berdaftar daripada 193 jumlah kawasan Parlimen. Saya tidak menafikan, kekuatan parti seharusnya diukur dari segi keahlian, cawangan, bahagian dan meriahnya kegiatan. Inilah ukuran yang jelas. Dari segi lain pula, ia diukur melalui ketua yang berperanan membawa hala tuju parti yang jelas.

Apabila melaksanakan aktiviti mereka dapat menampilkan unsur kelainan. Khususnya apabila berhadapan dengan sesuatu isu, mereka dapat menghasilkan kenyataan yang jauh lebih berkualiti. Bagi saya, untuk memberi reaksi terhadap kualiti atau kemampuan kepimpinan parti ia suatu yang relatif.

Bagaimanapun, kita perlu memahami latar belakang yang mengisi slot kepimpinan dalam parti KeAdilan. Mereka terdiri dari pimpinan NGO, ahli akademik, pimpinan parti pembangkang, bekas pimpinan Umno.

Oleh demikian, kepelbagaian ini memberi cabaran besar kepada pimpinan KeAdilan khususnya untuk mengurus perbezaan pendapat dan kepakaran. Hal ini mesti diuruskan secara bijaksana untuk menggerakkan KeAdilan.

Oleh demikian, saya kurang cenderung untuk memberi ukuran kualiti dalam KeAdilan berdasarkan barisan kepimpinan parti yang baru setahun setengah. Khususnya ada pihak menyebut kepimpinan KeAdilan gagal menangkap imaginasi rakyat dan Wan Azizah hanya dianggap simbol penyatu.

Saya tidak menafikan ada pihak melihat, sifat terbaik Anwar diletakkan di tubuh Wan Azizah. Misalnya Anwar seorang pemidato handalan dan ahli politik yang ekomodetif, ukuran ini diletakkan pada Wan Azizah yang asalnya seorang suri rumah tentulah ada pihak yang kecewa.

Bagi saya, kita mesti memberi peluang dengan 11.8 peratus undi popular yang dicapai oleh KeAdilan. Maka kita mesti melihat sambutan rakyat. Oleh demikian, tempoh empat tahun dari sekarang merupakan tempoh mencabar untuk menentukan hidup dan mati KeAdilan.

Namun saya melihat, perkara yang memberi keuntungan kepada KeAdilan apabila kita dibimbing dekat dengan pengalaman politik PAS, DAP dan PRM. Dan kita dapat bergerak bersama disamping kita memiliki perbezaan pandangan dan pendapat. Bagaimanapun, hal ini boleh diatasi.

Lagi satu, KeAdilan masih dilihat tidak mempunyai identiti yang jelas, berubah-ubah dan tidak konsisten. Sekejap hendak jadi parti Melayu, sekejap ada unsur-unsur Islam. Apa sebenarnya imej KeAdilan?

Sebagai parti KeAdilan menunjukkan imej multiracial iaitu parti pelbagai kaum. Hal ini kita telah tonjolkan dari awal lagi. Ini dicerminkan dari segi kepimpinan pusat dan keahlian. Ini fakta. Lagi satu pemimpin Melayu lebih banyak berada dalam KeAdilan. Saya suka melihat bahawa parti KeAdilan membawa nilai universal.

Ini pandangan saya. Tetapi jika ditanya sebagai ahli MPT KeAdilan, saya cenderung melihat parti ini memperjuangkan soal keamanan sejagat. Hal ini menjadi daya tarik yang kuat kepada KeAdilan.

Tadi Sdr menyebut identiti KeAdilan sebagai parti pelbagai kaum. Namun pengaruh Sabah dan Sarawak begitu kuat terhadap BN. Begitu juga PAS sebelum ini bertungkus-lumus melebarkan pengaruhnya kurang mendapat sambutan. Malah parti pelbagai kaum ditubuhkan menemui kegagalan. Mampukah konsep multiracial dikekalkan oleh KeAdilan. Apakah dasar mantap yang mesti ditampilkan terutama meraih sokongan rakyat Sabah dan Sarawak?

Sebenarnya Sabah dan Sarawak mempunyai keunikan tersendiri khususnya mengulas senario politik dalam konteks BA. Sepanjang pemerhatian saya, kelihatan sambutan kepada BA jauh lebih hebat di Sarawak berbanding Sabah. Misalnya pilihan raya lalu, KeAdilan bertanding kawasan Sentubung, Samarahan, dan Samariang dan kita menerima kekalahan dengan majoriti kecil.

Sedangkan kawasan ini merupakan kubu tradisi BN. Saya optimis, jika mereka melihat BA sebagai model alternatif dan diwakili oleh imej KeAdilan yang bersifat multiracial ia merupakan permulaan yang memberangsangkan. Oleh demikian ujian terbesar ialah hagi KeAdilan untuk bertanding 63 kerusi DUN dalam pilihan raya Sarawak yang diadakan bila-bila masa sahaja.

Inilah kayu pengukur sama ada model BA ini dapat menangkap imaginasi rakyat di sana berbanding Semenanjung. Saya tidak menafikan Sabah dan Sarawak kita menghadapi kesulitan budaya politik lompat di sana-sini, terdapat kepelbagaian etnik yang tebal.

Oleh demikian, formula yang kita gunakan di Semenanjung tidak semestinya kita dapat terjemahkan dalam konteks Sabah dan Sarawak. Saya optimis, MT KeAdilan memilih Sarawak tempat kami bermesyuarat sekaligus memulakan penerangan kepada rakyat dengan aktiviti ceramah. Kemudian kita akan menilai kembali sambutan yang diberikan.

Parti KeAdilan telah menampilkan golongan muda seperti Sdr sendiri, Roslan Kassim, Azmin Ali dan Ezam Mohd Nor. Nampaknya sehingga kini belum kelihatan barisan pelapis muda menjadi nakhoda parti KeAdilan di masa akan datang.

Melihat statistik ahli KeAdilan lebih 75 peratus kelompok di bawah umur 40 tahun. Ini bererti teras yang membina parti KeAdilan adalah kelompok muda. Tahap skima golongan muda sememangnya belum jelas kerana kita bukan dipilih oleh perwakilan tetapi dilantik.

Dan ia bergantung kepada potensi, bakat dan pengalaman maka wujudlah identiti tersendiri. Berbalik kepada realiti kini, adakah KeADILan menghadapi kepupusan kepimpinan muda? Bagi saya masalah kepupusan tidak berlaku.

Kekuatan golongan muda yang membentuk parti KeAdilan di segenap negeri dan bahagian mereka memiliki potensi cukup besar. Saya tidak menafikan, penglibatan dan pengalaman mereka di dalam organisasi politik nasional agak kurang.

Namun saya melihat mereka dari sudut kekuatan berfikir, berkemahiran dan bersemangat yang cukup fantastik. Cumanya mereka kurang berpengalaman tentang sepak-terajang politik nasional. Itu sahaja. Saya cukup optimis barisan kedua boleh muncul pada bila-bila masa.

Oleh demikian, kita tunggu pemilihan parti tahun hadapan. Ini kerana parti KeAdilan perlu melalui proses pemilihan. Ini merupakan mandat sepenuh yang akan diberikan kepada rakyat. Mereka akan memilih yang terbaik di kalangan yang baik-baik.

Mungkin yang ada sekarang berdasarkan perlantikan. Tetapi selepas ini kita akan melihat kekuatan kepimpinan muda yang berwibawa pada masa akan datang.


Petikan Majalah FOKUS editor Suria Janid


        
Ke atas    Tarikh Artikal : 23 November 2000

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com