Oleh WARTAWAN WARTA
SULAWESI SELATAN, INDONESIA : Menteri Besar Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang disambut sebagai tetamu negara setibanya rombongan beliau bagi menghadiri Kongres Umat Islam bertemakan “Otonomi Khusus untuk tegaknya Syariat Islam,” di Asrama Haji Sudiang, Makassar di sini, 20 Oktober lalu. Beliau membentang kertas kerja bertajuk “Pelaksanaan Syariat Islam” disaksikan oleh beribu-ribu umat Islam yang hadir mendengar pembentangan kertas kerja berkenaan selama sejam termasuk sesi soal jawab yang disambung selepas solat maghrib.
BERSALAMAN dengan umat Islam Makassar selepas membentangkan kertas kerja menyentuh soal pelaksanaan syariat Islam
Di majlis yang sama perjanjian persefahaman (MoU) antara wakil masyarakat umat Islam Indonesia dengan Menteri Besar dimeteraikan untuk mengambil pelaksanaan syariat di Terengganu sebagai model. Keseluruhan kertas kerja yang dibentangkan itu, menyentuh soal pelaksanaan syariat Islam dan bagaimana Kerajaan Terengganu merangka pelaksanaan syariat berkenaan. Anggota rombongan yang bersama beliau ialah isterinya Hajjah Zainab Awang Ngah, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Alam Sekitar, Haji Wan Abdul Muttalib Embong dan isteri serta Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar, Haji Zahari Mohamed.
Pada tarikh yang sama, rombongan berlepas ke Bandara Hasanudin dan menginap di sebuah hotel terkemuka di situ dan kemudiannya bersolat Jumaat di al-Markas al-Islami di Makassar. Kira-kira 5,000 umat Islam Indonesia mendengar ucapan Menteri Besar menyentuh kesyumulan Islam selama setengah jam. Beliau juga diwawancara oleh Televisyen Republik Indonesia (TVRI) menyentuh isu yang sama dan beliau dihujani soalan-soalan dari rakyat seluruh negara Indonesia sehingga masa sejam tidak mencukupi untuk menunaikan soalan mereka.
MEMBENTANGKAN kertas kerja di Kongres umat Islam di Makassar
Tuan Guru Haji Abdul Hadi yang di undang khas turut berkesempatan menemui orang kenamaan Indonesia termasuk Timbalan Speaker Dewan Permesyuaratan Rakyat Republik Indonesia, A. M. Fatwa di Lapangan Terbang Bandara Hatta, Jakarta, Bekas Menteri Perdagangan Indonesia, Haji Yusoff Kalla di rumahnya di Bandar Makassar dan seorang Timbalan Gabenor Sulawesi Selatan di sebuah hotel di Makassar.
BERTEMU pelajar Malaysia di Makassar
Beliau dan Haji Wan Abdul Muttalib menemui Presiden al-Ikhmanul Muslimun, Habib Hussien al-Habsyie di rumah Pengurus Yayasan Badan Waqaf, Universiti Muslim, Indonesia di Makassar, Profesor Dr. Abdul Rahman A. Basalamah. Beliau dan rombongan juga disambut dan diiringi pulang oleh pegawai dari kedutaan besar Malaysia di Jakarta.