Oleh : Suhaimi Taib
DATO' Rais Yatim yang sifatnya sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan bertanggungjawab terhadap undang-undang meliputi badan kehakiman, merupakan orang yang ke depan dalam mencaturkan pertukaran wang tunai royalti minyak menjadi wang ihsan. Beliau yang mengantikan Dato' Ibrahim Ali juga tentu terlibat dengan PETRONAS yang tertakluk di bawah Jabatan Perdana Menteri.Sebelum ini perkara PETRONAS dikendalikan oleh Dato' Dr. Siti Zaharah Sulaiman yang mengarahkan logo bulat berwarna putih yang
menyerupai bulan purnama PAS ditukarkan warnanya menjadi bulat hijau. Dr. Raislah orang yang beria-ria benar mengatakan wang royalti minyak sebagai wang ihsan. Sebagai orang yang lulus Phd. dalam jurusan undang-undang nampaknya dia merasa terlalu arif untuk membuat tafsiran sendiri mengenai Akta Petroleum 1974 dan dokumen-dokumen lain yang berkaitan antara PETRONAS dan Kerajaan Negeri Terengganu.
Akhirnya, apa yang terjadi bertukarlah wang royalti menjadi wang ihsan. Kerajaan Negeri dinafikan hak bayaran wajib melalui royalti minyak diganti dengan bayaran tidak wajib yang hanya bergantung pada belas ihsan. Hakikat sebenarnya, menurut perjanjian yang ditandatangani ialah ia sebuah perjanjian bukan memorandum persefahaman atau MoU seperti yang dikatakan oleh Dr. Rais. Adakah dalam perjanjian yang jelas ia boleh dinafikan begitu sahaja? Perkataan ihsan tidak disebut, MoU pun tidak disebut.
Perjanjian
Apa yang dicatit ialah perjanjian yang terjadi akibat dari wujudnya akta petroleum berkenaan. Bolehkah dokumen yang jelas dibohongi begitu sahaja? Sesiapa pun yang waras dapat melihat kebenaran ini. Perdana Menteri Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamad sendiri dalam pertemuan dengan Menteri Besar Tuan Guru Haji Abdul Hadi semasa persidangan majlis raja-raja yang lalu seperti yang diceritakan, tidak pun menyebut perolehan royalti minyak sebagai wang ihsan. Bekas Pengerusi PETRONAS, Tengku Razaleigh Hamzah ketika perjanjian dibuat dan buat pertama kalinya membuka mulut, tidak pun menafikan wujudnya perjanjian tersebut. Apa yang dikatakannya cuma Kerajaan Negeri tidak mempunyai haknya dari segi royalti kerana penemuan minyak bukan tiga batu nautika dari pantai Terengganu.
Sama ada Kerajaan Pusat tersilap memeterai perjanjian berkenaan melalui PETRONAS dan Kerajaan Negeri tidaklah membolehkannya menafikan perjanjian itu. Perjanjian mestilah dihormati. Urusniaga apa pun di dunia ini tentulah bergantung kepada perjanjian, apa lagi dokumen perjanjian yang bertulis. Ia sewajarnya dihormati. Dr. Rais bukan seorang sahaja yang pakar dan arif dalam undang-undang dan janganlah cuba menunjuk-nunjuk kepakarannya dalam bidang undang-undang. Ramai lagi yang pakar dalam bidang-bidang undang-undang. Apa kurangnya bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohd. Salleh Abas yang merupakan orang terlibat secara langsung mendrafkan perjanjian itu.
Para graduan undang-undang pun boleh melihat kebenaran bersama Kerajaan Negeri bahawa ia sebuah perjanjian dan royalti minyak wajib dibayar. Dr. Rais tidak kosisten dalam hujah-hujahnya. Bahkan hujah-hujah pandangannya jauh lari dari apa yang diperjuangkannya seperti yang terkandung dalam buku beliau. Seorang yang telah membakar jambatan bersama Tengku Razaleigh dalam Parti Semangat 46 dan berganding bahu dalam Angkatan Perpaduan Ummah (ANGKATAN) bersama PAS sewajarnya menoleh ke belakang dan melihat sejarahnya.
Dalam political come back, Dr. Rais diberikan jambatan emas yang baru dan tentulah beliau tidak akan membakarnya lagi. Lebih-lebih lagi dia mesti menunjukkan kesetiaannya yang tidak berbelah bahagi lagi dalam peluang kedua yang diberikan kepadanya. Seseorang ahli politik perlu mempertahankan maruah, bersikap telus dan berhujah berdasarkan fakta. Dr. Rais berkata, pertukaran kepada wang ihsan sekaligus meletakkan apa yang dipanggilnya MoU antara PETRONAS dan Kerajaan Negeri sebagai tidak lagi sah (Nulr and void). Apabila diberitahu kenyataan Menteri Besar Terengganu bahawa terdapat penemuan baru sumber minyak di daratan dan pesisir pantai Negeri dalam lingkungan tiga batu nautika, Dr. Rais begitu cepat mengakui Kerajaan Negeri tidak boleh mencari gali sendiri dengan kerjasama sebuah syarikat asing, sedang dialah orangnya yang mengatakan, perjanjian (MoU) menurutnya sudah tidak lagi sah.
Kalau tidak sah, kenapa pula Kerajaan Negeri tidak berhak mencari gali sendiri dan mendapat royalti sepenuhnya dari penemuan terbaru itu? Apakah asas hujahnya mengatakan Terenganu tidak berhak mencari gali minyaknya sendiri sedang MoU yang disebutnya sudah tidak sah?Pendapatnya sudah pun disangkal dengan kemas dan padat sekali oleh Haji Wan Abdul Muttalib Embong baru-baru ini.