Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Fadzil tanya kedudukan siasatan skandal Perwaja

KUALA LUMPUR : Ahli Parlimen Pendang, Dato’ Haji Fadzil Mohd. Noor meminta Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad menjelaskan kedudukan penyiasatan skandal syarikat besi waja terkemuka, Perwaja Steel Sdn. Bhd. (PERWAJA) dan pendakwaan mahkamah terhadap Bekas Pengerusi Eksekutif, Tan Sri Eric Chia, dalam Dewan rakyat yang bersidang bermula 16 Oktober lalu.

Dato’ Fadzil ingin tahu sama ada Kerajaan mempunyai cukup bukti untuk membolehkan Kerajaan membuat pendakwaan mahkamah terhadap bekas orang kuat PERWAJA itu. Katanya, jumlah sebenar kerugian PERWAJA perlu didedahkan kepada umum. Oleh itu Kerajaan perlu mengemukakan fakta berhubung dengan jumlah kerugian itu. Dato’ Haji Fadzil juga ingin tahu bila pendakwaan akan dilakukan terhadap semua yang bertanggungjawab dalam skandal kewangan tersebut.

Sementara itu Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Dr. Syed Azman Syed Ahmad Nawawi, mengemukakan lima soalan bertulisnya. Paling menarik beliau meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan berapa jumlah pesalah-pesalah di bawah umur (Juveniles) yang kini ditahan di penjara-penjara seluruh Malaysia dan apa alasan menempatkan mereka di penjara-penjara tersebut.

Selain itu beliau meminta Perdana Menteri menyatakan jumlah simpanan Tabung Warisan Kebangsaan (National Heritage Fund) yang diwujudkan oleh Kerajaan sejak tahun 1987 dan bentuk pelaburan yang dijalankan setakat ini. Dr. Syed Azman juga meminta Perdana Menteri menyatakan sama ada beliau bersetuju dengan gagasan Jemaah Al-Quran Malaysia (JAM) atau sebaliknya dan sejauh mana tindakan yang diambil terhadap golongan anti hadith yang bergiat bebas di negara ini.

Seterusnya Dr. Syed Azman meminta Perdana Menteri menyatakan langkah-langkah yang diambil bagi mengatasi masalah kemiskinan kaum India dan tindakan bagi mengurangkan kadar jenayah yang tinggi di kalangan kaum itu. Beliau juga meminta Menteri Sains, Teknologi dan Alam Sekitar, Dato’ Chua Jui Meng menyatakan sama ada penyiasatan dibuat terhadap dakwaan Kerajaan Finland bahawa Teknology Park Malaysia (TPM) bersama dengan sebuah syarikat tempatan Intelliweb Sdn. Bhd. telah melanggar hak cipta (copyrights) milik syarikat Finland Interaktivum Oy mengenai penggunaan perisian ‘WAUMAIL’ dan apa tindakan yang diambil bagi menyelesaikan dakwaan ini.

Sementara itu, Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Haji Muhyidin Abdul Rashid mahu Menteri Kerja Raya, Dato’ Seri S. Samy Vellu menyatakan bila Jambatan Pasir Tinggi ke Kuala Telemung, Hulu Terengganu yang merentasi sungai Terengganu akan dimulakan pembinaannya seperti yang dijanjikan oleh Menteri Besar Terengganu terdahulu. Beliau juga meminta Menteri Pengangkutan, Dato’ Seri Dr. Lim Liong Sik menyatakan sama ada Kementerian bercadang mengkaji semula arahan memasang lampu motosikal di siang hari, memandangkan penguatkuasaannya tidak memberi kesan kepada kadar kemalangan jalan raya.


        
Ke atas    Tarikh Artikal : 22 November 2000

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com