Oleh SUBKY ABDUL LATIF
RAKYAT Terengganu mulai jelas siapa yang mempertahankan royalti minyak lima peratus setahun kepada Kerajaan dan rakyat dan siapa pula yang bersedia menyerahkan hak itu kepada penentuan pihak luar yang mulai sekarang ditukar menjadi wang ihsan.Yang memungkinkan sikap mempertahankan hak dan menyerahkan hak kepada ketentuan orang lain itu adalah satu gambaran jatidiri kumpulan atau bangsa itu sendiri.
Jatidiri itu lazimnya mencerminkan mulia hinanya seseorang, kumpulan atau bangsa itu sendiri. Jatidiri orang Kelantan agak terkenal sebagai kumpulan yang lebih banyak mempertahankan sesuatu yang mengutamakan kepentingannya atau kepentingan Kelantan. Orang Kelantan sanggup meninggalkan negerinya untuk membina koloni Kelantan di luar negeri atau mencari sesuatu peluang yang nantinya boleh dibawa balik ke Kelantan atau yang boleh membantu membangunkan Kelantan.
Saya teringat sungutan pelajar-pelajar bukan Kelantan di sebuah universiti di ibu kota tentang sukarnya meminjam buku perpustakaan apabila buku itu jatuh ke tangan anak Kelantan. Buku yang boleh dipinjam seminggu atau dua minggu oleh seseorang, hanya dipulangkan ke perpustakaan setelah sedia menunggu anak Kelantan yang lain untuk menyambung pinjaman. Demikianlah bersambung pinjaman itu hingga beberapa lama.
Mungkin ia satu habit yang tidak baik atau tidak terbuka. Tetapi muafakat itu mereka lakukan untuk memungkinkan anak-anak Kelantan terus menguasai ilmu yang terkandung dalam buku itu yang mereka kira penting dan mustahak untuk dikuasai.Jika buku itu terlepas kepada orang lain, maka bila pula mereka dapat merojoknya bersama atau mungkin mereka hilang peluang untuk menguasai ilmu yang hanya boleh didapati dari buku itu.
Kepungan ekonomi
Baik atau tidak baik sikap itu bergantung kepada keadaan. Kelantan memastikan dirinya atau kumpulan mesti menguasai apa yang mereka patut rebut atau dapat. Orang lain mungkin tidak suka, tetapi orang Kelantan memikirkan ia adalah kepentingannya dan kumpulannya. Jika ia perlu dibuka kepada orang lain, maka ia dibuat dengan sukarela mereka sendiri atau sesudah ia tidak mengganggu kepentingan mereka.
Orang mungkin mengkritik Kelantan kerana menjadikan tanah di seluruh negeri itu sebagai tanah rizab Kelantan. Orang tidak mungkin memilikinya. Ia mungkin baik dan mungkin tidak baik. Tetapi bagi anak jati Kelantan itu adalah haknya dan ia mencerminkan jatidirinya dalam erti kata yang positif. Mungkin jatidiri agaknya yang menjadikan orang Kelantan memilih parti yang orang Pantai Barat Semenanjung tolak untuk mentadbir negeri itu. Dan ada yang berkata, orang Kelantan akan pilih parti yang mereka tolak sekarang apabila sekalian orang Pantai Barat pilih pula parti yang orang Kelantan pilih sekarang.
Walaupun ia satu pandangan atau gurauan, tetapi yang orang fikir tentang Kelantan ialah ada satu jatidiri yang menyerlahkan Kelantannya. Adakah jirannya di Terengganu ada jatidiri seperti orang Kelantan tadi? Mungkin ada dan mungkin tidak. Tetapi dalam isu royalti minyak lima peratus dari PETRONAS ini, ada orang Terengganu yang menunjukkan jatidiri lebih sudu dari senduk. Mungkin pimpinan negara dan pimpinan politik di Kuala Lumpur sekadar mengacah untuk mengadakan kepungan ekonomi dan politik kepada Terengganu sekarang. Dan mungkin mereka juga bimbang akan kesan diskriminasi yang dicadangkan.
Bagaimana pun rata-rata percaya memang ada dari kalangan orang Terengganu sendiri yang suka tindakan diskriminasi itu diambil sebagai usaha untuk melumpuhkan kuasa politik yang ada dalam negeri Terengganu ini. Yang memungkinkan mereka sanggup menggesa orang luar bertindak demikian adalah bayangan jatidiri yang lemah tadi. Sikap ini kira-kira sama dengan sikap raja England zaman purba yang meminta bantuan Perancis menyerang England kerana England ketika itu dalam pengaruh Olliver Cromwell.
Jatidiri
Sikap raja England ini dikira sebagai seorang yang berjatidiri lemah dan dayus, sanggup berpakat dengan pihak luar untuk menjatuhkan negara dan rakyat sendiri. Cromwell lalu membongkar pakatan sulit raja England itu di parlimen dan rakyat seluruhnya bertindak mengenepikan raja. Maka wujudlah sejarah republik singkat bagi England. Soal adakah Jawatankuasa Peringkat Pusat (JPP) bagi pihak Kerajaan Pusat itu adil atau tidak dalam menyalurkan wang keuntungan minyak itu kepada Terengganu adalah satu isu lagi. Tetapi yang jelas orang-orang Terengganu menunjukkan jatidiri yang begitu lemah, bersedia menyerahkan haknya kepada orang lain atau bersikap sanggup haknya hilang asal hak itu tidak dapat ditadbirkan oleh kumpulannya.
Jatidiri yang negatif ini malah ditunjukkan oleh orang-orang yang berkedudukan baik, berpelajaran tinggi, bergelar, tahu erti hina dan mulia, tahu erti merdeka dan maruah bangsa dan diri, tetapi jiwa jatidiri yang sedemikian menyebabkan mereka sanggup menyerahkan hak rakyat dan negerinya kepada orang lain.
Apabila seorang sudah hilang jatidiri, orang itu sanggup menjadi tali barut kepada orang luar, sanggup bekerja dengan pihak lain untuk kepentingan luar, tidak kisah baginya negeri dan rakyat hilang hak dan kemerdekaan. Cerita adanya orang-orang yang sanggup menjadi tali barut penjajah sepanjang 400 tahun negara terjajah adalah disebabkan adanya di kalangan rakyat orang yang hilang jatidiri. Jika mereka tidak punya jatidiri kerana mereka buta huruf, tidak tahu politik dan diplomasi, tidak pernah mendengar urusan politik asing dan politik dunia, tidak pernah meninggalkan kampung, maka ada ampun maafnya.
Tetapi itu pun mereka tetap dikira tali barut penjajah yang martabatnya diletakkan bersama orang-orang yang hina. Tetapi orang Terengganu sekarang sudah tahu membaca kitab, hafal undang-undang dan setiap patah kalimah Perlembagaan, kenal diplomat dan saudagar asing, tetapi jatidiri yang lemah tadi gembira menyerahkan apa yang ada untuk ditentukan oleh orang lain.Raja-raja dan pembesar Terengganu dulu adalah pihak yang terakhir menerima kemasukan pengaruh British. Mereka tidak terpengaruh dengan pujuk rayu penjajah yang menjanjikan syurga pembangunan dunia jika mahu menjadi sebahagian dari koloni British.
Justeru itu Terengganu tidak menjadi sebahagian dari Negeri Melayu Bersekutu. Raja dan pembesar Terengganu yang ada jatidiri, paling tidak dapat mengelak desakan dan tekanan empayar British ialah menjadi sebahagian dari Negeri Melayu yang tidak bersekutu, bersama Kelantan, Kedah, Perlis dan Johor. Jatidiri itu yang mewariskan cuti minggu hari Jumaat, tidak terikut-ikut cuti hari Ahad seperti negeri-negeri yang mudah tercemar jatidirinya itu. Maka jatidiri orang Melayu Terengganu dulu itu memungkin Terengganu dan Kelantan terus menjadi negeri pengkalan orang Islam sekarang. Ia yang memungkinkan masyarakat itu tidak begitu majmuk, sedang bahagian-bahagian lain di negara ini begitu gawat dengan suara ketuanannya.
Dan yang memungkinkan jatidiri seseorang dan kaum itu tegas dan membanggakan ialah pegangan aqidah masing-masing.
Aqidah yang tinggi lazimnya memancarkan pegangan yang kuat terhadap tanggungjawab menentukan nasib sendiri, berdikari, berjiwa bebas, berpandangan jauh dan merdeka.
Kelantan adalah antara golongan yang lambat menerima kedatangan pendidikan konvensional. Begitu banyak daerah dan kawasan tidak ada sekolah hingga sampai musim Jepun. Hanya selepas mereka barulah rata-rata kampung ada sekolah.Tetapi dalam masa kurang dari 30 tahun selepas merdeka bilangan anak Kelantan yang mendapat pelajaran tinggi naik mendadak hingga sekarang anak Kelantan ada di semua jabatan di seluruh negara dan masing-masing memegang kedudukan yang penting.
Apa yang memungkinkan pencapaian ini? Antaranya ialah jatidiri tadi. Terengganu sudah tentu tidak akan ketinggalan, tetapi yang penting jatidiri tadi perlu diambil kira. Jika jatidirinya hanyut, bukan sekadar ia hilang royalti, tetapi ia akan hilang segala-galanya. Bagaimana rakyat perlu masa depan Terengganu bergantung pada orang-orang yang ada maruah. Yang bermaruah tidak akan menggadaikan hak dan rakyatnya.
Petikan Warta Darul Iman