Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Menuntut keprihatinan SUHAKAM

Jika surat pekeliling Pegawai Kewangan Negeri Terengganu menyarankan supaya setiap pihak mengamalkan dasar jimat cermat, ia adalah sebagai satu ingatan berhemat dalam berbelanja apatah lagi negeri baru saja menerima berita buruk betapa royalti minyak yang menjadi sumber utama ekonomi Terengganu sejak lebih 20 tahun ditangguhkan untuk jangka waktu yang tidak dapat diramal. Bagi kerajaan baru langkah berjimat itu adalah dasar sejak ia mula mengambil teraju pentadbiran bulan Desember lalu.

Menteri Besar, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dalam ucapan belanjawannya yang pertama dulu telah menekankan amalan berhemat dan berjimat cermat. Dan memang pentadbiran Kerajaan diketahui berbelanja berhati-hati dan telus. Apabila negeri ini hilang 75 peratus dari pendapatan tahunannya kononnya di bawah dasar ‘ihsan’ Kerajaan Pusat, maka perlulah kakitangan Kerajaan Negeri dan orang ramai diingatkan lagi supaya terus berjimat baik dalam masa senang mahu pun dalam masa susah.

Kejutan kepada Terengganu jika pun ia membaharui langkah berjimat itu, bukan kerana ia tidak mampu mengurus kemajuan justeru kehilangan jumlah kewangan Kerajaan yang begitu besar, tetapi lebih berkisar pada hilang peluang menabung untuk sebarang kecemasan. Kehebatan pentadbiran Nabi Yusuf menangani zaman ekonomi gawatnya ialah baginda berupaya mewujudkan tabung makanan. Duka­cita! Peluang menabung tertangguh seketika.

Mendera rakyat

Tindakan melarikan khazanah Kerajaan Terengganu itu sudah pun mendera Kerajaan dan rakyatnya. Sebarang penderaan yang dibuat tidak berpandukan undang-undang adalah satu mencabulan undang-undang, ia merempuh Perlembagaan dan ia adalah pelanggaran hak asasi manusia. Dalam rompakan royalti Terengganu ini jelas ia satu bentuk penindasan hak asasi manusia yang mendera rakyat dan penghuni Terengganu untuk satu jangka waktu yang tidak menentu. Rakyat itu telah dihalang menikmati hak dan kemakmurannya, mereka tersekat untuk memajukan diri mengikut rancangan yang mereka fikir baik.

Rekod hak asasi manusia di negara ini memang dipertikai oleh orang dalam dan luar negeri. Dengan langkah yang terbaru itu, sudah tentu memburukkan lagi layanan hak asasi manusia tadi. Mungkin ia tidak dirasai begitu oleh mereka yang rendah renungannya, tetapi bagi mereka yang tinggi seni dan peri kemanusiaannya, mencuri kebahagian rakyat adalah jenayah hak asasi manusia yang tinggi.

Ia satu cabaran besar bagi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) yang baru diwujudkan. SUHAKAM tidak terbentuk kerana mahu SUHAKAM itu ada, tetapi SUHAKAM adalah untuk memastikan hak asasi dijamin oleh kerajaan. Dalam suasana kerajaan gagal memberi layanan yang adil kepada rakyat, maka SUHAKAM perlu berfungsi. Setakat ini SUHAKAM membisu seribu bahasa atas isu royalti. Mungkin belum ada aduan. Kini dimajukan aduan rasmi. Rakyat Terengganu menunggu bantuan SUHAKAM selain dari mengadu kepada Allah.


        
Ke atas    Tarikh Artikal : 22 November 2000

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com