Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Hak asasi Allah mengatasi segalanya

Pelaksanaan undang-undang Islam sepatutnya sudah lama dilaksanakan oleh Kerajaan Pusat yang mempunyai kuasa untuk berbuat demikian. Bagaimanapun ada pemimpin tertentu di peringkat Pusat yang memberi sebab undang-undang murtad tidak dilaksanakan kononnya kerana bimbang orang bukan Islam takut memeluk Islam. Justeru apakah Islam suatu ajaran yang boleh dipermain-mainkan oleh sesiapa sahaja begitu rupa? Siapa yang mahu memeluknya boleh berbuat demikian dan siapa yang mahu keluar juga boleh berbuat begitu. Di manakah letaknya nilaian kemuliaan dan kesempurnaan ajaran Islam kalau demikianlah keadaannya? Untuk mengetahui betapa perlunya undang-undang murtad dilaksanakan, ikuti wawancara khas Wakil WARTA, ABDULLAH NGAH dengan Mufti Terengganu, Asy-Syeikh Abdul Halim Abdul Kadir di pejabatnya di Kompleks Pentadbiran Islam, Bangunan Seri Iman Kuala Terengganu baru-baru ini.-Pengarang.

WARTA : Mengapa setengah umat Islam tidak setuju dengan rang undang-undang Murtad yang diluluskan dan dilaksanakan di Perlis dan Selangor.

MUFTI: Setahu saya tidak ada Rang undang-undang murtad yang diluluskan dan dilaksanakan di Perlis dan Selangor. Apakah undang-undang murtad ini perlu untuk mengawal dan mengatasi gejala murtad di Malaysia? Amat perlu undang-undang murtad dilaksanakan dan ia satu kefardhuan yang ditentukan oleh Allah S.W.T. dalam al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w. Sesetengah umat Islam menyatakan undang-undang murtad tidak perlu kerana ini akan mendatangkan imej buruk kepada Islam.

Umat Islam yang mengatakan sedemikian adalah dari kalangan mereka yang tidak memahami peraturan Islam yang sebenar ataupun golongan yang terpengaruh dengan kefahaman dan pemikiran Barat.

Apakah pandangan Tuan mengenai pandangan seumpama ini sedangkan ia menampakkan prejudis terhadap undang-undang Islam.

Golongan ini perlu diberi kefahaman dan tasawwur Islam yang sebenar dengan mengambil kira hikmah perundangan Islam dan masalah umum masyarakat Islam.

Mengapa ada umat Islam, terutama bijak pandai Islam berpandangan sedemikian rupa.

Umat Islam yang berpandangan sedemikian mungkin kerana tidak memahami Islam sebagai peraturan yang syumul ataupun terpengaruh oleh sesuatu pemikiran dan kebudayaan yang tidak Islamik.

Betulkah jika undang-undang murtad dilaksanakan maka Islam akan menuju ke arah yang tidak toleransi.

Tidak betul, kerana undang-undang Islam dalam pelaksanaannya telah meletakkan kaedah dan batas-batas yang tertentu yang menjamin keharmonian sesuatu masyarakat serta mengambil kira keadaan-keadaan yang tertentu.

Apakah benar masyarakat Islam tidak terancam dengan fenomena gejala murtad.

Tidak benar. Masyarakat Islam amat terancam dengan arus dan gejala murtad serta keadaan pengaruh so­sial yang tidak dikawal ataupun tidak terkawal.

Apakah boleh keadaan murtad ini dihadapi dengan cara lain selain daripada cara Islam yang telah ditetapkan oleh Islam.

Tidak boleh. Murtad ataupun gejala yang boleh membawa kepada murtad hendaklah ditangani mengikut cara Islam dengan mempastikan amar makruf nahi mungkar, dan pengukuhan iman berjalan serentak tanpa mengabaikan satu dengan yang lain.

Apakah undang-undang murtad ini bercanggah dengan hak asasi manusia sejagat.

Tidak, undang-undang murtad tidak bercanggah dengan hak asasi manusia. Hak asasi Allah hendaklah diutamakan dan mengatasi hak-hak yang lain.

Apakah benar rang undang-undang murtad yang digubal itu boleh menimbulkan ketakutan dan kebimbangan semua pihak.

Ya benar, disitulah kehebatan undang-undang Islam, sebab itu sebelum ia dilaksanakan orang sudah takut dan merasa gerun manakala ada perasaan takut maka sudah pasti ia tidak akan berani membuat perkara-perkara yang boleh membawa terlaksananya hukuman murtad ke atas dirinya


Petikan Warta Darul Iman


        
Ke atas    Tarikh Artikal : 23 November 2000

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com