Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Su Qiu sebagai sasaran: Politik Perkauman Mahathir

Kenyataan Media

Parti Keadilan Nasional (keADILan) sungguh kecewa dengan sikap Perdana Menteri Dr. Mahathir Mohamad, beberapa pemimpin-pemimpin kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) tertentu yang tanpa segan silu mempermainkan sentimen kaum dalam isu Su Qiu.

Mereka dengan sengaja menimbulkan ketegangan kaum untuk mengalihkan pandangan rakyat daripada salah satu punca kekalahan Barisan Nasional dalam pilihanraya kecil Lunas -- iaitu Dr. Mahathir Mohamad. Dr. Mahathir sendiri gelisah kritikan terhadap beliau di kalangan ahli dan pemimpin UMNO yang semakin meningkat akan melahirkan suatu keadaan di mana UMNO mungkin akan memaksa beliau mengundur diri. Untuk menyekat kemungkinan ini, Mahathir memanipulasikan isu Su Qiu.

KeADILan meminta semua pihak yang terlibat dalam demonstrasi anti Su Qiu

untuk meneliti tuntutan Su Qiu sebelum mereka bertindak drastik. Sebahagian besar daripada tuntutan-tuntutan Su Qiu tidak kena mengena langsung dengan kedudukan Bumiputera atau sistem kuota Bumiputera. Tumpuan memorandum Su Qiu yang diumumkan sebelum pilihanraya umum 1999 adalah tentang keadilan sosial, pembahagian kekayaan negara, pembenterasan rasuah, sistem kehakiman yang bebas, media yang tidak dikawal oleh Eksekutif, dan pilihanraya yang adil, antara perkara-perkara yang lain.

Itulah sebabnya, keempat-empat parti gabungan Barisan Alternatif dalam kenyataan rasminya bertarikh 19 Oktober 1999 menerima sebahagian besar daripada tuntutan Su Qiu. Tetapi, pada masa yang sama, BA dengan jelas dan jitu, menolak tuntutan-tuntutan Su Qiu yang bertentangan dengan asas-asas Perlembagaan Malaysia. Khususnya, BA menolak tuntutan Su Qiu tentang pemansuhan perbezaan Bumiputera bukan-Bumiputera dan sistem kuota etnik.

Bagi BA, konsep perlindungan kepada kedudukan istimewa Bumiputera yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia bermakna membantu secara adil Bumiputera yang miskin dan yang tertinggal dari arus pembangunan negara. Konsep kedudukan istimewa Bumiputera tidak harus digunakan untuk kepentingan segelintir Bumiputera yang rapat dengan pemerintah.

Perlembagaan juga mempertahankan kepentingan sah bukan-Bumiputera. BA mentafsirkannya sebagai kepentingan Bukan-Bumiputera yang daif, dan yang dipinggirkan dalam proses pemodenan masyarakat. Ini menunjukkan bahawa BA memahami maksud fasal 153 dalam Perlembagaan Malaysia dari perspektif keadilan.

Keadilan untuk semua tanpa mengira kaum dan keturunan adalah prinsip utama perjuangan BA dan Parti Keadilan Nasional. 'Keadilan untuk semua' sebenarnya adalah asas dan inti doktrin Islam.

Pendirian keADILan dan BA jauh berbeza daripada pendirian Barisan Nasional Dr. Mahathir. Berdasarkan prinsip keadilan, parti kita dan BA menerima tuntutan-tuntutan Su Qiu yang manasabah. Tetapi BN menerima semua tuntutan Su Qiu, termasuk yang bertentangan dengan Perlembagaan negara, sebelum pilihanraya 1999.

Sepertimana diterangkan oleh Dr. Mahathir sendiri di parlimen baru-baru ini, BN mengambil sikap ini kerana ingin meraih sokongan dari kaum Cina dalam pilihanraya. Ini menunjukkan bahawa BN bersikap oportunis dan tidak berprinsip.

Sekarang, selepas pilihanraya kecil Lunas, di mana kaum Cina menolak politik Dr. Mahathir, beliau dengan sokongan pemimpin-pemimpin BN dan badan-badan NGO tertentu menjadikan Su Qiu sebagai sasarannya. Melalui politik perkauman ini, beliau berharap dapat mengembalikan sokongan dari orang Melayu.

Tetapi, masyarakat Melayu, mahu pun kaum Cina, memahami politik kotor Dr. Mahathir. Mereka tidak akan terperangkap dalam politik yang tidak bermoral Dr. Mahathir Mohamad.

Akhirnya, Dr. Mahathir sendiri akan terperangkap dalam politik perkauman beliau.

Dr. Wan Azizah Wan Ismail
Presiden
Parti Keadilan Nasional (keADILan)
16 Disember 2000


        
Ke atas    Tarikh Artikal : 19 Disember 2000

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com