Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Majlis Ulama Indonesia haramkan penggunaan Ajinomoto

JAKARTA 30 Dis. - Majlis Ulama Indonesia (MUI) membuat keputusan mengharamkan penggunaan bahan perasa Ajinomoto untuk umat Islam negara itu setelah kajian menunjukkan bahan berkenaan menggunakan enzim lemak babi.

Sehubungan itu, Ketua MUI, Amidhan berkata, majlis berkenaan telah mengarahkan syarikat pengeluar bahan perasa berkenaan PT Ajinomoto Indonesia menarik balik 10,000 tan bahan itu yang kini terdapat di pasaran seluruh Indonesia.

''Kita mendapati PT Ajinomoto telah melanggar prosedur apabila tidak memaklumkan perubahan bahan yang digunakan untuk membuat perasa tersebut iaitu daripada polypeptone kepada bactosoytone yang mengandungi enzim lemak babi,'' katanya seperti dilaporkan oleh beberapa media utama di sini, hari ini.

Beliau memberitahu, Ajinomoto yang diharamkan ialah yang dikeluarkan dan diedarkan selepas 23 November lalu.

Amidhan berkata, keputusan itu juga sekali gus bermakna MUI akan mengkaji semula pengeluaran sijil halal bagi penghasilan Ajinomoto.

''Kita telah mengesan mengenai penggunaan lemak babi tersebut melalui satu kajian yang dijalankan oleh Bahagian Pengkajian Makanan, Ubat-Ubatan dan Minuman MUI,'' katanya.

Menurut beliau, kajian itu dijalankan ketika pihak PT Ajinomoto mengajukan permohonan untuk melanjutkan sijil tanda 'halal' yang dikeluarkan oleh MUI yang tamat tempoh.

Amidhan menjelaskan, melalui kajian itu pihak PT Ajinomoto telah mengakui bahawa mereka telah menukar bahan yang digunakan untuk membuat perasa itu tanpa memaklumkan kepada MUI terlebih dahulu.

''Berikutan itu, MUI melalui Suruhanjaya Fatwa Ulama pada 16 Disember lalu memutuskan bahan perasa tersebut haram dimakan oleh umat Islam,'' katanya.

Beliau berkata, pihaknya memandang berat kes berkenaan dan mengambil tindakan tegas kerana ia melibatkan kepentingan umat Islam yang merupakan majoriti terbesar di Indonesia dan dunia.

''Kita tidak mahu selepas ini ada pihak-pihak lain pula mengambil kesempatan menggunakan lemak babi dalam pengeluaran bahan makanan mereka,'' katanya.

...........................................
Petikan Utusan Malaysia


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh Artikal : 31 Disember 2000

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com