Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Kaedah jualan langsung untuk Umno

Oleh : Aman Rais

Baru-baru ini penulis bertemu seorang teman lama dan juga bekas aktivis Umno. Teman ini pernah bekerja dengan seorang Menteri Besar sebelum terjun menceburi dunia korporat yang sangat asing baginya.

Sejak bila dia menyertai Umno dan sebab dia menyertai parti Melayu terbesar itu tidaklah dapat dipastikan. Apa niat dia sebenarnya saya tidak tahu. Kemasukannya bersama Umno apatah lagi untuk terlibat aktif sebenarnya memeranjatkan.

Rakan lama ini seorang yang berjiwa besar, mempunyai idealisme yang tinggi dan cakap berapi-api mengenai nasib orang Melayu, keadilan dan hak asasi manusia semasa berpolitik di kampus. Saya sama sekali tidak pernah menjangka dia boleh menyertai Umno, namun begitulah hakikatnya, tuntutan hidup mengubah manusia.

Kami bertemu dan berbual panjang, daripada kisah-kisah mencuri kelapa di tepi perpustakaan di kampus hinggalah kepada soal perkembangan mutakhir politik Umno.

Perkara yang paling menarik ditimbulkan oleh teman itu - yang kini telah “merehatkan” diri daripada aktiviti Umno - ialah formula untuk meramaikan keanggotaan Umno.

Formula yang dicadangkan itu nampak lucu dan sinis tetapi relevan. Kawan saya itu mencadangkan supaya Umno meniru strategi perniagaan syarikat jualan langsung atau skim cepat kaya.

“Ahli dan pemimpin Umno tidak boleh bergerak tanpa ganjaran. Oleh itu, kalau mereka mahu ahli aktif terutamanya dalam menarik ahli-ahli baru sama ada untuk menyertai Pemuda Umno atau Puteri Umno, eloklah digunakan formula “multi level” (pelbagai peringkat) yang ada dalam syarikat jualan langsung.

“Berikan ganjaran kepada setiap peringkat ahli yang berjaya membawa masuk sebanyak mungkin ahli-ahli baru,” jelasnya bersungguh-sungguh.

Kata kawan saya itu, Presiden, Ketua Wanita dan Ketua Pemuda boleh bertindak sebagai penaja utama di peringkat paling atas. Ahli Majlis Tertinggi, Exco Pemuda dan Wanita jadi penaja kedua di lapisan seterusnya. Dalam istilah syarikat jualan langsung, ia disebut double diamond director.

Seterusnya peringkat penajaan itu beranak, bercucu dan bercicit dengan setiap penaja di beberapa peringkat akan mendapat RM10 dari setiap ahli baru yang diperolehi. Kemudian penaja akan mendapat komisyen “overriding” RM1 daripada setiap ahli baru yang dibawa masuk oleh anak, cucu dan cicit di bawah tajaan masing-masing.

“Formula multi level syarikat jualan langsung ini sukup mudah dan praktikal. Ia bukan sahaja boleh dilaksanakan dalam perniagaan tetapi boleh diperluaskan dalam politik terutamanya Umno.

“Saya rasa Wanita, Puteri dan Pemuda perlu segera bertemu pakar-pakar syarikat jualan langsung untuk mendapatkan khidmat nasihat dari mereka,” tambah bekas aktivis Umno itu lagi.

Menurutnya tanpa program yang tersusun seperti ini, tidak mungkin orang muda mahu menyertai Umno.

“Siapa nak masuk Umno? Pemudanya lembik, Wanita mencemburui Puterinya. Presiden seperti kehilangan pancaindera dan ahli-ahli MT tidak turun ke akar umbi dan hanya jadi tukang angguk.

“Orang Melayu tidak rasa Umno milik mereka lagi. Umno seperti telah dikorporatkan untuk kepentingan beberapa individu sahaja,” kata rakan itu lagi.

Ada logiknya cadangan rakan saya itu. Ketika Umno hidup dalam suasana yang memusuhinya dan hanya boleh digerakkan dengan ganjaran wang, kontrak, saham, projek dan konsesi balak, langkah memperbanyakkan ahli baru memang wajar “diswastakan.”

Pastinya ahli-ahli Umno akan bergerak cergas untuk mengejar ganjaran RM10 bagi setiap anggota yang ditawarkan itu dan komisyen “overriding” yang banyak.

“Ini formula yang baik, sambil berkhidmat untuk parti kita dapat habuan,” sokong saya pula, setelah cuba melihat kerelevanan saranan itu.

Sepanjuang perbualan itu, tergambar kekecewaannya terhadap Umno. Beliau menyifatkan parti itu sebagai kapal yang dipenuhi pelarian ekonomi dan diterajui oleh seorang nakhoda yang mengemudi dengan kompas yang rosak.

“Ramai ahli Umno sudah tidak tahan dengan keadaan sekarang. Telah ada bibit-bibit kebangkitan. Umno dan Presidennya sekarang sedang dibuai ombak. Mungkin sedikit masa lagi ombak akan bertukar menjadi gelombang atau ribut taufan yang hanya akan berhenti bila nahkhodanya terjun ke laut,” rakan saya itu bersatira.

...................................................
Petikan Malaysiakini.com


        
Ke atas    Tarikh Artikal : 22 Disember 2000

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com